USM NEWS PORTAL 

Selamat Pagi USM 22–28 Disember 2025


22–28 Disember 2025

USM Perkasa Pemindahan Ilmu Melalui Bengkel ToT Alat Inovasi P-LOCK

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 24 Disember 2025 – Sebagai usaha meningkatkan kefahaman peserta terhadap konsep dan fungsi alat inovasi P-LOCK, Kumpulan Rehab Shine, Unit Perubatan Pemulihan dari Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Hospital Pakar USM (HPUSM) telah menganjurkan Bengkel Training of Trainers (ToT) Alat Inovasi P-LOCK pada 18 Disember lalu di Dewan Peperiksaan, Kompleks Pentadbiran, Kampus Kesihatan USM.
Berita Penuh
Sustainable Mobility Week 2025 Tingkat Kesedaran Mobiliti Aktif dan Mampan di Kampus USM
USM PULAU PINANG, 23 Disember 2025 – Bike Commute USM (BCUSM) dengan kerjasama Rapid Penang, Pusat Pengajian Komunikasi, dan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) telah berjaya menganjurkan Program Sustainable Mobility Week 2025 selama tiga hari bermula 16 Disember 2025 di DK Foyer.
Berita Penuh
Revolusi Biru Sebenarnya Adalah Hijau: Transformasi Akuakultur Lestari Dengan Kiambang Air (Duckweed)
USM PULAU PINANG, 23 Disember 2025 – Ketika industri akuakultur global berdepan dengan tekanan kos makanan ternakan dan cabaran kelestarian alam sekitar, penyelidikan tempatan menunjukkan bahawa penyelesaiannya mungkin datang daripada tumbuhan akuatik kecil yang sering dipandang remeh – kiambang air atau duckweed.
Berita Penuh
IPPT USM Perkasa Penjagaan Paliatif 
Melalui Palliative Charity Fun Run
BERTAM, PULAU PINANG, 20 Disember 2025 – Program Palliative Charity Fun Run 2025 anjuran Pertubuhan Paliatif Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Unit Paliatif Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB) berlangsung meriah dengan penyertaan lebih 180 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Berita Penuh
USM FC Terus Unggul di Liga A2 Amateur 2025/2026: Rekod Sempurna, Tempah Tiket ke Separuh Akhir

USM PULAU PINANG, 22 Disember 2025 – USM FC terus membuktikan keunggulan mereka dalam saingan Liga A2 Amateur musim 2025/2026 apabila mencatat prestasi luar biasa sepanjang kempen pusingan awal dan suku akhir.

Berita Penuh
Pesta Hoki USM-Penang International ke-48: Platform Mahasiswa Asah Ciri Graduan Hebat

USM PULAU PINANG, 22 Disember 2025 – Pesta Hoki USM-Penang International (PHI) merupakan salah satu kejohanan hoki padang paling berprestij dan terbesar di Malaysia, malah di rantau Asia Tenggara.

Berita Penuh
USM Rai Kecemerlangan Kelestarian Melalui Majlis Penarafan Pejabat Hijau 2025 dan Peluncuran SDTRC@USM

USM PULAU PINANG, 22 Disember 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengukuhkan peranannya sebagai peneraju kelestarian apabila menganjurkan Majlis Penarafan Pejabat Hijau 2025 yang digabungkan dengan Peluncuran Smart Drive-Thru Recycling Centre (SDTRC@USM) pagi ini di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), Kampus Induk USM.

Berita Penuh
Sustainability@USM: Let’s Connect 
with the Younger Generation
USM PENANG, 22 December 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) is one of the higher education institutions in the world where a Regional Centre of Expertise (RCE) on Education for Sustainable Development (ESD) has been established.
Berita Penuh

Hong Kim Lan

Setiausaha Pejabat

Pentadbiran Pusat Hal Ehwal Pelajar

Universiti Sains Malaysia

Berasal dari Kedah, Hong Kim Lan, atau lebih mesra dikenali sebagai Carren, telah berkhidmat di Universiti Sains Malaysia (USM) sejak 1 Jun 2005, menjadikan perjalanan kerjayanya di kampus ini melebihi dua dekad.


Sepanjang tempoh tersebut, beliau telah menimba pengalaman di pelbagai jabatan termasuk Bahagian Sumber Manusia, Pusat Pengajian Pengurusan, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Pusat Pengajian Seni dan kini di Pusat Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), yang secara tidak langsung membentuk beliau sebagai seorang profesional yang berdaya tahan, fleksibel dan sentiasa komited terhadap amanah kerja.


Bagi Carren, peranan seorang setiausaha bukan sekadar mengurus jadual atau mesyuarat, sebaliknya memastikan kelancaran keseluruhan operasi pejabat, merangkumi aspek pentadbiran, koordinasi kerja serta kebajikan staf dan pelajar, tanpa mengira siapa individu yang dipertanggungjawabkan sebagai ketua.


Beliau menganggap dirinya bertuah kerana USM merupakan tempat kerja pertamanya selepas menamatkan pengajian di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, dan tanpa perancangan khusus, di sinilah bermulanya sebuah perjalanan kerjaya yang penuh pembelajaran dan perkembangan diri.


Pengalaman bekerja dalam persekitaran berbeza, daripada HR yang berstruktur dan berdisiplin, hinggalah ke dunia akademik dan pelajar — telah membuka perspektif baharu kepadanya, sekali gus mendorong beliau melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang pengurusan pendidikan.


Ketika berkhidmat di Pusat Pengajian Seni, Carren diberi kepercayaan menguruskan tiga timbalan dekan serentak, terlibat dalam projek komuniti, pengurusan produksi teater dan bahkan memegang peranan kecil dalam filem tempatan, membuktikan bahawa potensi seorang setiausaha tidak pernah terhad kepada tugasan pejabat semata-mata.


Pengalaman di Pusat Perumahan Alumni serta penglibatan dalam projek komuniti di Perak turut memperkukuh keyakinannya bahawa peranan pentadbiran mampu memberi impak besar kepada masyarakat, sama ada melalui pendidikan seni, teater mahupun pengurusan aktiviti komuniti.


Bagi Carren, setiap hari di USM adalah peluang untuk terus belajar, berkembang dan menyumbang, kerana beliau percaya bahawa dedikasi, keinginan menimba ilmu dan keberanian mencuba akan membawa seseorang melangkaui jangkaan, walaupun bermula dari jawatan yang kelihatan biasa.


Kisah beliau menjadi bukti bahawa seorang Setiausaha Pejabat bukan sekadar penyelaras tugasan, tetapi juga pemimpin, pengurus dan agen perubahan yang memainkan peranan penting dalam kelangsungan organisasi.

Azfar Al Hafiz Azman


Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar


Universiti Sains Malaysia 2025/2026 
(MPPUSM 25/26)

Pelajar Teknologi Makanan dari Pusat Pengajian Teknologi Industri (PPTI), Azfar Al Hafiz Azman menampilkan contoh kepimpinan mahasiswa yang mengimbangi kecemerlangan akademik, kekuatan sahsiah dan keteguhan spiritual dalam satu perjalanan yang holistik.


Sebagai seorang hafiz Al-Quran, beliau berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk dalam tempoh 1 tahun 4 bulan 21 hari di SM Imtiaz YT Besut, Terengganu, satu pencapaian luar biasa yang menjadi asas kepada disiplin, kesabaran dan komitmen tinggi yang terus membentuk pendekatan kepimpinannya hari ini.


Perjalanan kepimpinan Azfar di USM berkembang secara konsisten melalui pelbagai amanah sebelum beliau diberi kepercayaan memimpin Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, termasuk sebagai Pembimbing Program Siswa Lestari (PPSL), Exco Dakwah dan Perpaduan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) USM, Pembantu Exco Perkumpulan Mahasiswa/i Selangor dan Wilayah Persekutuan (PERMAS) USM serta Exco Akademik Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Darat USM.


Setiap peranan tersebut membentuk keupayaannya memimpin dengan hikmah, ketegasan dan kepekaan terhadap keperluan siswa-siswi.


Komitmen Azfar tidak terhenti dalam lingkungan kampus semata-mata. Beliau turut aktif dalam gerakan belia dan aktivisme di peringkat negeri dan nasional apabila terpilih sebagai Ahli Sidang Muda Pulau Pinang 2025 serta memegang peranan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia N25 Pulau Tikus. Kepercayaan yang diberikan kepadanya turut terserlah melalui pelantikan sebagai Presiden Ikatan Legasi Mahasiswa Ulul Albab Nasional (ILMUAN) bagi penggal 2025–2027, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai suara siswa-siswi berteraskan ilmu dan nilai.


Dalam bidang hafazan Al-Quran, Azfar terus mengorak langkah cemerlang apabila terpilih sebagai finalis Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQ) Peringkat IPT ASEAN 2025/2026 yang dijadualkan berlangsung pada awal tahun 2026. Beliau juga merupakan penerima Ithbat Hafazan Al-Quran Negeri Selangor selama empat tahun berturut-turut dari 2022 hingga 2025. Kejayaannya sebagai Naib Johan MTHQ peringkat Daerah Hulu Selangor turut membuka peluang untuk mengikuti Akademi Literasi Al-Quran Selangor (ALAS) bagi memperkukuhkan lagi penguasaan ilmu Al-Quran secara holistik.


Di peringkat universiti, Azfar membuktikan kebolehan intelektual dan komunikasi apabila merangkul Naib Johan Debat Piala Naib Canselor (DPNC). Beliau juga diberi kepercayaan mewakili USM sebagai orator dalam pertandingan Malaysian Institute of Food Technology (MIFT) 14th National Food Science and Technology Competition di Taylor’s University.


Berpegang pada prinsip “membesar jangan sekadar umur, tetapi juga dengan pemikiran”, Azfar percaya bahawa siswa-siswi harus memiliki horizon pemikiran yang luas dan tidak mudah dipengaruhi tanpa asas ilmu. Melalui wacana intelektual, keterlibatan bersama masyarakat serta refleksi berterusan terhadap ilmu dan pengalaman, beliau yakin bahawa akal yang cerah mampu melahirkan siswa-siswi berprinsip, berani dan bersedia memimpin masa hadapan.


Selamat Menyambut Hari Krismas
PURDUE Formalizes 3 Partnerships with Malaysian Universities During Delegation Visit

USM Trending!

Laporan Penuh
USM Perak, pernah wujud di kawasan dikenali sebagai Tronoh, di antara Ipoh dan Bota sekitar 1980-an. Ianya menempatkan fakulti akademik yang mengkhususkan bidang kejuruteraan mineral, sesuai dengan landskap lokasi ianya ditubuhkan. Pada awalnya, IPTA kampus satelit ini berkongsi tapak dengan IPTS milik Petronas, sebelum dijadikan kampus Universiti Teknologi Petronas sepenuhnya sekitar awal tahun 2000.

#USM #WeLead #Nostalgia


Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025