PESTA HOKI USM-PENANG INTERNATIONAL KE-48: PLATFORM MAHASISWA ASAH CIRI GRADUAN HEBAT

USM PULAU PINANG, 22 Disember 2025 – Pesta Hoki USM-Penang International (PHI) merupakan salah satu kejohanan hoki padang paling berprestij dan terbesar di Malaysia, malah di rantau Asia Tenggara.
Kejohanan ini unik kerana ia dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) dengan sokongan penuh daripada Pusat Sukan dan Rekreasi USM.
Pada tahun ini, sebanyak 142 pasukan bertanding dalam 10 kategori yang melibatkan sejumlah 2,000 pemain dalam 242 perlawanan yang berlangsung dari 20-21 Disember 2025.

Gelanggang akhir Pesta Hoki USM-Penang International Ke-48 menyaksikan dua pasukan terbaik berentap bagi merebut gelaran juara untuk setiap kategori yang dipertandingkan iaitu Lelaki Veteren, Wanita Terbuka, Lelaki Terbuka Klasik, dan Lelaki Terbuka Premier.
Hadir di Stadium Hoki USM Kampus Induk untuk menyaksikan perlawanan akhir kategori Lelaki Terbuka Premier antara RAMD A (W.P. Kuala Lumpur) menentang DHT COBRA (Selangor) dan merasmikan majlis penutupan ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, mewakili Naib Canselor USM.

Dalam ucapannya, Wan Ahmad Jaafar berkata, Pesta Hoki USM-Penang International ini pertama kalinya dianjurkan pada tahun 1973, dan sejak itu, ia telah menjadi sinonim dengan acara sukan ‘flagship’ kebanggaan USM bertaraf antarabangsa yang diuruskan sepenuhnya oleh mahasiswa kita.
“Mereka telah membuktikan bahawa mereka berupaya untuk menganjur dan menguruskan sebuah acara sukan yang sebegitu besar, tanpa mengabaikan pencapaian akademik mereka. Penglibatan dan kesungguhan mereka itu turut menonjolkan kualiti kepimpinan dan semangat kerja berpasukan yang tinggi,” ujarnya lagi.

“Ia turut menunjukkan usaha USM dalam melahirkan graduan yang memiliki ciri-ciri HEBAT, iaitu Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate dan Thinking, telah membuahkan hasil.”
Sementara itu, Runeshwaran A/L Arunasalam selaku Pengarah Projek, Pesta Hoki USM-Penang International Ke-48 dalam ucapannya berkata, sejak penganjuran sulungnya, Pesta Hoki USM bukan sekadar sebuah kejohanan sukan semata-mata, malah telah berkembang menjadi satu platform penting dalam memupuk kecemerlangan sukan hoki di peringkat universiti, negeri, kebangsaan, malah di rantau Asia-Pasifik.

Menurutnya lagi, kejohanan ini berjaya mengeratkan hubungan persahabatan merentas sempadan, serta membentuk jati diri para pelajar dan belia melalui pengalaman kepimpinan dan pengurusan acara berskala besar.

Hadir bersama adalah Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff; Pengarah Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM) USM merangkap Yang Dipertua Kelab Sukan Staf USM, Profesor Dr. Irfan Naufal Umar; Timbalan Pengarah, Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Mohd Hafezi Mat Zain; Pengurus Jualan, Edaran Otomobil Nasional Berhad (penaja), Nik Mohd Saifuddin; Penasihat, Pesta Hoki USM-Penang International Kali Ke-48, Mustaffa Kamal Esa; pegawai-pegawai utama Universiti; dan barisan Sekretariat pelajar.

Berikut ialah senarai pemenang mengikut kategori di hari kedua Pesta Hoki USM-Penang International Ke-48:
KATEGORI LELAKI VETEREN
- Johan: TPCA (SELANGOR)
- 1st Runner up: KELAB SUKAN STAF USM (PULAU PINANG)
- 2nd Runner up: ALUMINI HC INDON (INDONESIA)
- 3rd Runner up: K2 HOCKEY CLUB (SELANGOR)
KATEGORI WANITA TERBUKA
- Johan: MSN TERENGGANU (TERENGGANU)
- 1st Runner up: SOUL SISTERS (W.P. KUALA LUMPUR)
- 2nd Runner up: UKM PYTHON (SELANGOR)
- 3rd Runner up: X PLAYER B (KELANTAN)
- Milo Most Outstanding Player: NOOR ASYIKIN SYAKIRAH BINTI NOOR HISHAM (MSN TERENGGANU)
KATEGORI LELAKI TERBUKA KLASIK
- Johan: RAMD B (W.P. KUALA LUMPUR)
- 1st Runner up: X PLAYER A (KELANTAN)
- 2nd Runner up: DOLPHIN A (PERAK)
- 3rd Runner up: RAJAWALI ULTRA (W.P. KUALA LUMPUR)
- Milo Man of the Match: MUHAMMAD HILMI BIN MIDI (RAMD B)
KATEGORI LELAKI TERBUKA PREMIER
- Johan: RAMD A (W.P. KUALA LUMPUR)
- 1st Runner up: DHT COBRA (SELANGOR)
- 2nd Runner up: USM PSR (PULAU PINANG)
- 3rd Runner up: UTEM DRAGON (MELAKA)
- Milo Man of the Match: MUHAMMAD NAZREY BIN DIN (RAMD A)
Teks & Foto: Unit Media dan Penerbitan BHEPA, USM/ Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 56