USM RAI KECEMERLANGAN KELESTARIAN MELALUI MAJLIS PENARAFAN PEJABAT HIJAU 2025 DAN PELUNCURAN SDTRC@USM

USM PULAU PINANG, 22 Disember 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengukuhkan peranannya sebagai peneraju kelestarian apabila menganjurkan Majlis Penarafan Pejabat Hijau 2025 yang digabungkan dengan Peluncuran Smart Drive-Thru Recycling Centre (SDTRC@USM) pagi ini di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), Kampus Induk USM.
Majlis yang dianjurkan oleh Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) melalui inisiatif Kampus Sejahtera tersebut bertujuan mengiktiraf komitmen serta pencapaian Pusat Tanggungjawab (PTJ) dalam melaksanakan amalan hijau, di samping mengarusperdanakan agenda kelestarian dalam tadbir urus dan operasi harian universiti.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed yang turut melancarkan Smart Drive-Thru Recycling Centre (SDTRC@USM), sebuah inisiatif lestari berteraskan ekonomi kitaran dan kecekapan tenaga melalui penggunaan tenaga solar.
Fasiliti ini memudahkan pengurusan sisa kitar semula secara lebih sistematik, mesra pengguna, dan berasaskan pendigitalan.

Menerusi konsep pandu lalu, SDTRC@USM menyokong peningkatan kadar kitar semula kampus serta membolehkan pengumpulan data dilakukan dengan lebih berkesan.
Majlis penarafan tahun ini menyaksikan pencapaian yang amat memberangsangkan apabila 72 Pusat Tanggungjawab (PTJ) berjaya memperoleh Penarafan 5 Daun, diikuti 32 PTJ menerima 4 Daun, 6 PTJ dengan 3 Daun, 5 PTJ dengan 2 Daun, dan 5 PTJ dengan 1 Daun.

Selain itu, sebanyak 10 PTJ turut menerima Anugerah Projek/Program/Inisiatif Lestari Berimpak Tinggi sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan inovatif mereka dalam memperkukuh agenda kelestarian universiti.

Majlis turut mengiktiraf 11 PTJ melalui Anugerah Saguhati 5 Daun, manakala 3 PTJ iaitu Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), Kampus Induk; Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh; dan Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti (UKKP), Kampus Induk telah diumumkan sebagai penerima Anugerah Penarafan 5 Daun Berkongsi Tempat Pertama, sekali gus membawa pulang sijil penghargaan dan insentif kewangan.
Dalam ucapan perasmian, Naib Canselor menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian PTJ yang berjaya mencapai penarafan tertinggi serta menegaskan bahawa agenda kelestarian kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya merupakan keperluan mendesak dalam mendepani cabaran perubahan iklim dan krisis sumber global.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dr. Azlan Amran dalam ucapan alu-aluan, memaklumkan bahawa pada tahun hadapan, USM akan melaksanakan Penarafan Kampus Lestari Anugerah Alam Sekitar (KLAAS), iaitu program penarafan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Malaysia, sebagai usaha memperkukuh pengiktirafan kelestarian universiti di peringkat nasional.

Majlis tersebut bukan sahaja menjadi platform pengiktirafan, malah memperlihatkan kesungguhan USM untuk terus berfungsi sebagai institusi kelestarian yang menyatukan ilmu, inovasi, dan nilai kemanusiaan demi kesejahteraan komuniti kampus, masyarakat setempat, dan alam sejagat.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Pengarah Kampus Kesihatan USM, serta Pengarah Kampus Kejuruteraan USM.
Teks: Liyana Adhwa Khalid, BJIM, USM/Foto: Unit Media & Penerbitan BHEPA, USM
- Created on .
- Hits: 232