USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IPPT USM PERKASA PENJAGAAN PALIATIF MELALUI PALLIATIVE CHARITY FUN RUN

FB IMG 1766488900613

BERTAM, PULAU PINANG, 20 Disember 2025 – Program Palliative Charity Fun Run 2025 anjuran Pertubuhan Paliatif Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Unit Paliatif Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB) berlangsung meriah dengan penyertaan lebih 180 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Program yang diadakan di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), USM itu bertujuan mengumpul dana bagi pembinaan Bangunan Paliatif Kepala Batas yang berkonsepkan ‘hospice house’ serta meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan penjagaan paliatif.

FB IMG 1766488913731

Program berteraskan kebajikan dan kesihatan tersebut selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 3: Kehidupan Sihat dan Sejahtera) melalui usaha mempromosikan gaya hidup sihat di samping menyokong kesejahteraan fizikal, mental dan emosi pesakit paliatif serta keluarga mereka.

Penglibatan pelbagai pihak termasuk universiti, hospital, badan bukan kerajaan, sektor korporat, dan komuniti setempat turut mencerminkan sokongan terhadap SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat, yang menekankan kepentingan kerjasama strategik dalam menjayakan inisiatif pembangunan mampan.

FB IMG 1766488938686

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam, YB Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican.  

Dalam ucapannya, beliau menzahirkan sokongan penuh terhadap usaha murni yang digerakkan oleh USM dan rakan strategik dalam memastikan pesakit paliatif menerima penjagaan yang lebih bermaruah, berperikemanusiaan, dan berfokus kepada kualiti hidup.

Turut hadir ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, yang menegaskan komitmen berterusan USM dalam melaksanakan Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) melalui program berimpak tinggi yang menyentuh aspek kesihatan, kebajikan, dan kemanusiaan.

FB IMG 1766488950174

Sepanjang program berlangsung, para peserta telah menyertai pelbagai aktiviti termasuk larian sejauh lima kilometer, sesi senaman zumba, cabutan bertuah, pameran dan pemeriksaan kesihatan.

Turut diadakan ialah majlis penyerahan mock cheque sebagai simbolik sokongan dan komitmen berterusan Pertubuhan Paliatif USM terhadap usaha pembinaan Bangunan Paliatif Kepala Batas.

Pembinaan bangunan tersebut dianggarkan melibatkan kos sebanyak RM4 juta, dengan inisiatif pengumpulan dana yang telah bermula sejak tahun 2022.

Dalam usaha menyokong pembinaan Bangunan Paliatif Kepala Batas, Pertubuhan Paliatif USM turut menerima sumbangan dana daripada Reezal Merican, dan beberapa penyumbang, antaranya Warisan SW Enterprise yang diwakili oleh Syed Ahmad Syed Osman; Min’s Mart yang diwakili oleh Mohamed Mumin Abd Majid; serta sumbangan melalui Badan Sokongan Pesakit Kanser Seberang Perai dan Orpheus Capital Sdn. Bhd. yang disumbangkan melalui Dr. Imran Abdul Khalid.

603773453 1424474509566691 8853565477195130453 n

Sumbangan ini amat signifikan dalam menyokong usaha menyediakan fasiliti penjagaan paliatif yang lebih selesa, mesra pesakit, dan berfokus kepada kualiti hidup.

Usaha ini juga dilihat sebagai langkah signifikan dalam memperluas akses kepada perkhidmatan penjagaan paliatif yang lebih komprehensif, sekali gus memberi manfaat kepada pesakit dan keluarga yang memerlukan sokongan rawatan berteraskan kualiti hidup dan ihsan kemanusiaan.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyumbang bagi menyokong usaha pembinaan Bangunan Paliatif Kepala Batas dialu-alukan untuk menyalurkan sumbangan melalui Pertubuhan Paliatif USM.

Menurut Pengerusi Program merangkap Penyelaras Unit Paliatif PPUSMB, Dr. Siti Nooraini Mohamad Yusof, Palliative Charity Fun Run 2025 bukan sekadar acara riadah, sebaliknya mencerminkan solidariti masyarakat dalam menyokong pesakit paliatif dan keluarga mereka.

“Program seperti ini diyakini mampu mengurangkan stigma terhadap penjagaan paliatif serta memperkukuh sokongan komuniti dalam memastikan penjagaan hujung hayat yang lebih holistik dan berfokus kepada nilai kemanusiaan,” ujarnya.

605117123 1424474456233363 1684124339560379539 n

Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penaja dan rakan sokongan yang telah sama-sama menjayakan program ini, antaranya Bertam Best, Warisan Enterprise, Min’s Mart, Orpheus Capital, Tekno Design, Badan Sokongan Pesakit Kanser Seberang Perai, ATLAS, Kopi Hang Tuah, dan El Hajj Products, selain sokongan berterusan daripada Ahli Parlimen Kepala Batas dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam.

Secara keseluruhan, penganjuran Palliative Charity Fun Run 2025 membuktikan bahawa pendekatan berasaskan empati, kesedaran kesihatan, dan kerjasama pelbagai pihak mampu memberi impak positif kepada masyarakat.

Inisiatif tersebut bukan sahaja menyokong agenda pembangunan mampan negara, malah memperkukuh peranan USM sebagai institusi yang komited terhadap kesejahteraan komuniti dan nilai kemanusiaan sejagat.

Teks: Nur Aqilah Tajul Ashikin/Suntingan: Dr. Siti Nooraini Mohamad Yusof, IPPT USM

  • Created on .
  • Hits: 146

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025