USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM FC TERUS UNGGUL DI LIGA A2 AMATEUR 2025/2026: REKOD SEMPURNA, TEMPAH TIKET KE SEPARUH AKHIR

597722692 25305652132410470 7404959029819060842 n

USM PULAU PINANG, 22 Disember 2025 – USM FC terus membuktikan keunggulan mereka dalam saingan Liga A2 Amateur musim 2025/2026 apabila mencatat prestasi luar biasa sepanjang kempen pusingan awal dan suku akhir.

Pasukan yang mewakili Universiti Sains Malaysia (USM) itu menamatkan pusingan awal dengan rekod bersih, menang kesemua lapan perlawanan dan mengutip 24 mata penuh, sekali gus menduduki tangga teratas Zon Utara dengan meninggalkan pasukan Kuala Perlis Titans FC dengan perbezaan 14 mata di tangga kedua.

Kejayaan ini diteruskan dalam aksi suku akhir apabila USM FC menewaskan MBMB Warrior FC (Melaka) dengan agregat 7-2, menunjukkan dominasi yang konsisten di pentas lebih tinggi.

Dalam perlawanan pertama pada 13 Disember di gelanggang lawan iaitu Stadium Hang Jebat, Melaka, USM FC mencatat kemenangan bergaya 5-2, sebelum melengkapkan kemaraan dengan kemenangan 2-0 di Stadium Olahraga USM dalam perlawanan timbal balik pada Sabtu lalu.

597716411 25300362689606081 2640824870490203708 n

Kemenangan ini melayakkan USM FC ke peringkat separuh akhir, sekali gus mengukuhkan reputasi mereka sebagai pencabar utama kejuaraan Liga A2 Amateur musim ini.

Pada aksi separuh akhir nanti, USM FC bakal berdepan AAK Puncak Alam FC (Selangor).

Aksi separuh akhir pertama dijadualkan berlangsung di Stadium Olahraga USM pada 3 Januari 2026, disusuli perlawanan timbal balik di laman lawan pada 10 Januari 2026.

601808842 25305651145743902 4933139318217390767 n

Dengan barisan pemain muda yang bertenaga dan taktikal mantap, USM FC kini menjadi tumpuan peminat bola sepak amatur tanah air.

Menurut Pendaftar USM yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), Mohd Azizudin Mohd Shariff, “Sejak ditubuhkan pada tahun 2009, USM FC telah menjadi platform penting bagi staf USM untuk berkecimpung dalam bidang bola sepak, bukan sahaja sebagai pemain, malah juga sebagai jurulatih dan pengurusan.”

“USM FC bukan sekadar sebuah kelab bola sepak, tetapi ia mencerminkan komitmen, disiplin, dan semangat kesatuan staf USM.

“Kejayaan-kejayaan sebelum ini dan pencapaian USM FC setakat ini pada musim ini membuktikan bahawa staf USM bukan sahaja hebat dalam akademik dan pengurusan, tetapi juga mampu menyerlah di arena sukan tanah air,” tambah Aziz.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pengurusan Tertinggi USM, khususnya Naib Canselor, serta seluruh warga USM yang telah menjadi tulang belakang dalam memberikan sokongan padu kepada pasukan USM FC.

604543558 25305651782410505 7888559908632979922 n

Mampukah USM FC terus mengekalkan rentak kemenangan dan menjulang trofi musim ini?

Sama-sama kita nantikan persembahan mereka di pentas separuh akhir yang pastinya menjanjikan aksi penuh dramatik serta mendebarkan.

Teks: Tan Ewe Hoe

________________________

LATAR BELAKANG PASUKAN USM FC DAN PERTANDINGAN LIGA A2 AMATEUR MUSIM 2025/2026

Kelab Bola Sepak Staf Universiti Sains Malaysia atau USM FC berdaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 sejak tahun 2009.

Majoriti ahlinya terdiri daripada staf-staf Universiti Sains Malaysia (USM). Kelab ini memberikan platform kepada warga USM terutamanya dalam kalangan staf Kumpulan Pelaksana untuk menabur bakti kepada USM melalui kemahiran dalam sukan bola sepak sama ada sebagai pemain, jurulatih mahu pun pengurusan.

Secara amnya, USM FC memiliki rekod prestasi yang cemerlang di pertandingan bola sepak peringkat Universiti Awam, negeri Pulau Pinang, dan kebangsaan.

USM FC pernah bermain dalam Liga Malaysia di pertandingan Liga Premier tahun 2010 hingga 2012 dan pertandingan Liga FAM tahun 2009.

Pertandingan Liga Premier merupakan peringkat pertandingan bola sepak profesional kedua tertinggi negara, anjuran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

USM FC juga telah beberapa kali menjadi Juara acara bola sepak Kejohanan Sukan Antara Universiti Awam (SUKUM) apabila mewakili pasukan bola sepak senior staf USM di kejohanan tersebut.

Senarai pencapaian utama USM FC adalah seperti berikut:-

NO.

NAMA PERTANDINGAN (BOLA SEPAK)

Peringkat

TAHUN

KEDUDUKAN

1

Liga Perdana Malaysia (Premier League)

Kebangsaan

2010

Ke-9

2011

Ke-6

2012

Ke-6

2

Piala FAM (FAM Cup)

Kebangsaan

2009

Ketiga

3

Liga Divisyen Satu (1) Pulau Pinang

Negeri                 Pulau Pinang

2018

Naib Juara

2022

Naib Juara

2023/2024

Naib Juara

4

Sukan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) – Bola Sepak

Kebangsaan

2024

Tempat Ketiga

2023

Suku Akhir

5

Kejohanan Bola Sepak Antara Agensi Kerajaan Peringkat Negeri Kelantan

Negeri Kelantan

2024

Juara

Pada tahun 2025 ini, USM FC sedang/akan menyertai beberapa pertandingan di peringkat kebangsaan dan negeri Pulau Pinang seperti berikut:-

  • Pertandingan Liga A2 Amateur Musim 2025/2026 anjuran Amateur Football League [Kebangsaan]. AFL merupakan sebuah organisasi yang bernaung di bawah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
  • Kejohanan Sukan Badan Berkanun Malaysia (SUKANUN) [Kebangsaan].
  • Pertandingan Liga Divisyen 1 Pulau Pinang anjuran Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) [Negeri Pulau Pinang].

USM FC layak menyertai Pertandingan Liga A2 Amateur musim 2025/2026 setelah berjaya menjadi Naib Johan pada Pertandingan Liga Divisyen Satu (1) Pulau Pinang musim 2023/2024 yang dianjurkan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP).

USM FC diletakkan dalam Zon Utara yang melibatkan lima (5) kelab/pasukan, termasuk USM FC. Empat (4) pasukan lain adalah seperti berikut:-

  • Kuala Perlis Titans FC (Perlis)
  • Bintong FC (Perlis)
  • Kubang Pasu-MPKP (Kedah)
  • Kuala Muda FA (Kedah)

Pertandingan ini akan berlangsung mulai 13 September 2025 hingga 24 Januari 2026 (5 bulan).

Venue ‘home match’ USM FC adalah di Stadium Olahraga USM manakala masa perlawanannya adalah di sebelah petang (mulai jam 4.45 petang)

Majoriti barisan pemain, kejurulatihan dan pengurusan USM FC adalah terdiri daripada staf-staf USM.

Penyertaan USM FC ini turut mendapat bantuan sejumlah kewangan daripada Universiti di bawah Inisiatif Tahun 2025-Kesejahteraan Staf.

USM FC telah menerima penajaan set pakaian rasmi pasukan yang berjenama Line 7 bernilai hampir RM40 ribu daripada Syarikat Eutag Global (M) Sdn. Bhd. dengan kerjasama Syarikat Tan Line Sports Sdn. Bhd.

Berasaskan rekod prestasi dan pengalaman USM FC ini serta kehebatan USM dalam sukan bola sepak staf dalam kalangan Universiti Awam, USM FC yakin akan menunjukkan prestasi yang cemerlang dan seterusnya mengharumkan nama USM dalam pertandingan Liga A2 Amateur musim 2025/2026.

September 2025

  • Created on .
  • Hits: 378

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025