SUSTAINABLE MOBILITY WEEK 2025 TINGKAT KESEDARAN MOBILITI AKTIF DAN MAMPAN DI KAMPUS USM

USM PULAU PINANG, 23 Disember 2025 – Bike Commute USM (BCUSM) dengan kerjasama Rapid Penang, Pusat Pengajian Komunikasi, dan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) telah berjaya menganjurkan Program Sustainable Mobility Week 2025 selama tiga hari bermula 16 Disember 2025 di DK Foyer.
Program tersebut bertujuan memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga kampus terhadap kepentingan penggunaan mod pengangkutan aktif dan mampan seperti berjalan kaki, berbasikal, dan pengangkutan awam.

Inisiatif tersebut merupakan langkah proaktif ke arah mewujudkan persekitaran kampus yang lebih sihat, selamat, dan mampan, di samping mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan kenderaan persendirian bermotor.

Penganjuran program tersebut turut diperkaya dengan pelbagai pameran bertemakan kelestarian dan kesejahteraan masyarakat hasil inisiatif pelajar daripada pelbagai pusat pengajian.
Antaranya termasuk Pameran Kelestarian dan Kesejahteraan Masyarakat oleh pelajar kursus Pentadbiran Awam; Pameran ‘Less Car, More Life’ oleh pelajar kursus Pengurusan Sektor Awam dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan; dan Pameran Komunikasi untuk Kelestarian oleh pelajar Pusat Pengajian Komunikasi.
Kesemua pameran tersebut berfungsi sebagai platform pendidikan yang berkesan dalam menyampaikan mesej kelestarian secara kreatif dan interaktif kepada komuniti kampus.

Selain pameran, program tersebut turut menyediakan perkhidmatan pendaftaran Pas Mutiara menerusi reruai Rapid Penang yang dibuka khas untuk pelajar dan staf USM.
Sepanjang tempoh penganjuran, lebih 200 orang pengunjung telah mengunjungi reruai Bike Commute USM (BCUSM) dan Rapid Penang, sekali gus mencerminkan sambutan yang memberangsangkan daripada warga kampus.

Pelaksanaan Program Sustainable Mobility Week 2025 ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), iaitu SDG 3: Kehidupan Sihat dan Kesejahteraan melalui pembudayaan gaya hidup aktif dan SDG 13: Tindakan Terhadap Perubahan Iklim melalui usaha mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan bermotor dan menggalakkan penggunaan pengangkutan rendah karbon.

Sehubungan itu, penganjuran program seumpama itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada inisiatif berterusan dalam memperkukuh perancangan serta reka bentuk persekitaran kampus yang lebih mesra mobiliti mampan dan aktif, sekali gus menyokong aspirasi USM sebagai sebuah kampus hijau, inklusif, dan mampan.
Teks & Foto: Bike Commute USM/ Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA USM
- Created on .
- Hits: 165