Skip to main content

USM KUKUHKAN KEDUDUKAN ANTARABANGSA, CATAT PENCAPAIAN CEMERLANG DALAM QS WORLD UNIVERSITY RANKINGS BY SUBJECT 2026

PENARAFAN GLOBAL 27 Mac 2026 USM PULAU PINANG
Pencapaian USM dalam QS World University Rankings by Subject 2026
Universiti Sains Malaysia terus cemerlang merangkul kedudukan dalam 31 subjek khusus menerusi QS World University Rankings by Subject 2026.

Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkuatkan reputasinya di pentas global dengan pencapaian gemilang dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings by Subject 2026. Daripada 6,277 institusi yang dinilai di seluruh dunia, hanya 1,912 universiti berjaya tersenarai dan USM menonjol dengan merangkul kedudukan dalam 31 subjek yang khusus.

Pencapaian tahun ini menyaksikan lonjakan signifikan di kesemua lima bidang utama:

  • Seni & Kemanusiaan: melonjak 26 anak tangga ke kedudukan ke-181
  • Kejuruteraan & Teknologi: meningkat 20 anak tangga ke-157
  • Sains Hayat & Perubatan: naik 28 anak tangga ke-185
  • Sains Tulen: meningkat 18 anak tangga ke-201
  • Sains Sosial & Pengurusan: melonjak 10 anak tangga ke-166
Pencapaian Utama Subjek

Farmasi & Farmakologi kekal sebagai bidang unggulan USM pada kedudukan ke-48 dunia, di samping menduduki tempat teratas di Malaysia bagi subjek Kimia dan Arkeologi.

Kategori Subjek Khusus dan Penguasaan Nasional

Dalam kategori subjek khusus, Farmasi & Farmakologi terus menjadi bidang unggulan USM, dengan menduduki kedudukan ke-48 dunia dan meneguhkan status USM sebagai universiti teratas Malaysia dalam disiplin tersebut. Selain itu, USM turut menjuarai dalam negara bagi subjek Kimia dan Arkeologi.

Selaras dengan revolusi teknologi semasa, USM juga mencatatkan kemasukan sulung yang memberangsangkan dalam Sains Data & Kecerdasan Buatan, berada dalam kelompok 101–200 dunia. Secara keseluruhan, 19 subjek USM kini tersenarai dalam kelompok 200 terbaik dunia, dengan 11 subjek menunjukkan peningkatan, antaranya:

Farmasi & Farmakologi (48), Sains Bahan (124), Kimia (140), Sains Komputer & Teknologi Maklumat (160), Bahasa & Kesusasteraan Inggeris (101-150), Sains Persekitaran (151-200), Seni & Reka Bentuk (151-200), Bahasa Moden (151-200), Statistik & Penyelidikan Operasi (151-200), Kejuruteraan Mekanikal, Aeroangkasa & Pembuatan (151-200), Sains Biologi (201-250).

"Kejayaan ini jelas adalah hasil dedikasi tinggi seluruh warga USM dalam memacu kecemerlangan akademik dan penyelidikan bertaraf antarabangsa, sekaligus memberi impak nyata kepada masyarakat, industri dan komuniti global serta menjadi kebanggaan negara."

— Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, Naib Canselor USM

Pencapaian ini menegaskan keterampilan kedudukan USM sebagai universiti terkemuka Malaysia dan membuktikan daya saing universiti di peringkat antarabangsa. Syabas kepada seluruh warga USM atas dedikasi yang tidak berbelah bagi dalam menjulang nama universiti di pentas dunia.

Teks: Profesor Dr. Saidatulakmal Mohd (Pusat Perancangan Institusi dan Strategik, IPSC)
Suntingan: Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail (Perunding Editorial Kanan @ MPRC USM)
Foto: Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC)
Created on 27 March 2026.