MOBILITI KE UNESA: DESASISWA RESTU USM PERKASA KEPIMPINAN GLOBAL DAN KELESTARIAN MAHASISWA
Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan dan pembangunan mahasiswa menerusi program Hebat Leaders Beyond Borders 2026: USM–UNESA Strategic Student Leaders Exchange yang dianjurkan Majlis Penghuni Desasiswa Restu (MPDR) dengan kerjasama Fakultas Ekonomika dan Bisnis (FEB), Universitas Negeri Surabaya (UNESA), Indonesia.
Program mobiliti antarabangsa yang berlangsung dari 24 hingga 28 Ogos itu menjadi platform pembelajaran rentas sempadan yang menggabungkan pembangunan kepimpinan, perkongsian akademik, kelestarian, pengurusan mahasiswa dan pembinaan jaringan antarabangsa.
Penggawa Desasiswa Restu merangkap Pensyarah Kanan Bahagian Ekonomi, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh USM, Dr. Lim Chee Ann berkata, pengalaman mobiliti antarabangsa memberikan nilai tambah kepada proses pembangunan mahasiswa kerana pembelajaran bukan sahaja berlaku menerusi aktiviti akademik, malah melalui interaksi secara langsung dengan rakan sebaya daripada latar belakang institusi dan budaya berbeza.
Katanya, pendedahan antarabangsa penting dalam membentuk mahasiswa yang lebih terbuka, adaptif dan berkeyakinan, selain meningkatkan keupayaan mereka untuk berkomunikasi, bekerjasama serta mengurus program dalam persekitaran rentas budaya.
Komponen akademik program diperkukuh menerusi kuliah jemputan yang disampaikan beliau kepada mahasiswa UNESA menerusi syarahan bertajuk Global Sustainability Leadership in the Digital Era: Advancing Inclusive Growth and Economic Transformation.
Syarahan itu membincangkan hubungan antara kepimpinan kelestarian, transformasi digital, pertumbuhan inklusif dan transformasi ekonomi dalam mendepani cabaran pembangunan semasa, termasuk keperluan memastikan kemajuan teknologi dan pertumbuhan ekonomi bergerak seiring dengan prinsip pembangunan mampan.
Menurut Lim, program berkenaan turut menampilkan sesi dialog mahasiswa yang menghimpunkan MPDR dan mahasiswa FEB UNESA bagi berkongsi pengalaman berkaitan program serta aktiviti pembangunan mahasiswa di kedua-dua universiti.
“Perbincangan memberi tumpuan kepada aspek kepimpinan, pembangunan sahsiah dan bakat, penglibatan mahasiswa dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), selain pendekatan yang boleh digunakan bagi mempersiapkan mahasiswa menghadapi tuntutan alam pekerjaan dan masyarakat global.
“Mahasiswa MPDR juga turut berkongsi pengalaman berkaitan pelaksanaan program mahasiswa di USM, manakala mahasiswa UNESA berkongsi pendekatan serta pengalaman dalam pembangunan dan pengurusan aktiviti kemahasiswaan,” katanya lagi.
Lim menegaskan, pertukaran pandangan itu membolehkan mahasiswa kedua-dua negara membandingkan pendekatan yang dilaksanakan di universiti masing-masing, sekali gus membuka ruang kepada idea baharu serta kemungkinan pelaksanaan program bersama pada masa hadapan.
“Kerjasama berkenaan bukan sahaja memperluas jaringan antarabangsa mahasiswa, malah memberi pengalaman kepada mereka untuk bekerjasama dengan individu daripada latar belakang budaya, sistem pendidikan dan cara kerja yang berbeza.
“Inisiatif itu turut selari dengan Agenda H.E.B.A.T. USM yang menekankan pembangunan mahasiswa secara holistik serta usaha melahirkan graduan berkompetensi dan berdaya saing pada peringkat global,” jelasnya.
Ketua Unit Internasionalisasi dan Akreditasi (UIA) FEB UNESA, Heni Purwa Pamungkas, yang bertindak sebagai pegawai penyelaras dan penghubung pihak UNESA bagi program berkenaan, turut memainkan peranan dalam menyelaras pelaksanaan aktiviti serta interaksi antara delegasi USM dengan warga universiti itu.
Selain pembangunan kepimpinan, aspek pengurusan kediaman mahasiswa turut diberi perhatian menerusi sesi perkongsian bersama pihak Badan Pengelola Usaha (BPU) UNESA. Delegasi USM berpeluang mengadakan perbincangan bersama pegawai BPU UNESA, Dr. Prima Vidya Asteria, selain melakukan lawatan ke kemudahan kediaman mahasiswa di universiti berkenaan.
Sesi itu membolehkan kedua-dua pihak bertukar pengalaman mengenai pendekatan pengurusan asrama, penyediaan kemudahan, kebajikan penghuni serta usaha membentuk komuniti mahasiswa yang kondusif.
Pertukaran pengalaman berkenaan turut memberi perspektif bahawa kediaman mahasiswa bukan sekadar ruang penginapan, sebaliknya sebahagian daripada ekosistem pembangunan pelajar yang berupaya menyumbang kepada pembentukan kemandirian, disiplin, komunikasi, tanggungjawab dan kemahiran hidup bermasyarakat.
Elemen kelestarian kampus turut menjadi antara fokus program apabila delegasi USM diberi pendedahan kepada pendekatan yang diterapkan UNESA dalam mewujudkan persekitaran universiti lebih lestari.
Dalam sesi jelajah kampus, mahasiswa USM berpeluang menggunakan kenderaan elektrik Migo Bike, sekali gus memperoleh pengalaman secara langsung mengenai penggunaan mobiliti elektrik bagi perjalanan jarak dekat dalam kawasan universiti. Penggunaan teknologi mobiliti elektrik itu memberikan perspektif kepada mahasiswa mengenai bagaimana inovasi teknologi dan perubahan tingkah laku boleh digabungkan bagi menyokong persekitaran kampus lebih lestari.
Mobiliti elektrik seperti Migo Bike juga memperlihatkan potensi institusi pendidikan tinggi sebagai ruang untuk memperkenalkan dan membudayakan penggunaan teknologi rendah karbon dalam kehidupan seharian.
Peserta program, Sofia Natasha Khor Muhammad Azmi Khor dalam pada itu berkata, penyertaan dalam program itu memberikan pengalaman baharu dalam membina keyakinan berkomunikasi dan berinteraksi dengan mahasiswa daripada institusi serta latar belakang berbeza.
Katanya, program itu turut memberinya pemahaman lebih luas mengenai pengurusan program antarabangsa, kerja berpasukan dan kepentingan menyesuaikan diri ketika bekerjasama dalam persekitaran rentas budaya.
Sementara itu, Nur Azura Ibrahim pula melihat interaksi bersama mahasiswa UNESA sebagai peluang untuk bertukar pendapat serta memahami pendekatan pembangunan mahasiswa daripada perspektif universiti luar negara.
Katanya, pengalaman berkenaan membuka minda mahasiswa terhadap idea baharu, selain meningkatkan keupayaan mereka untuk berkomunikasi, bekerjasama dan membina jaringan antarabangsa.
Delegasi program turut diiringi Pegawai Pengiring, Mohd Fariz Izwan Komarudin, yang membantu dalam penyelarasan dan pelaksanaan aktiviti sepanjang program berlangsung.
Program berkenaan turut mendukung SDG 4 – Pendidikan Berkualiti menerusi pembelajaran dan pertukaran ilmu rentas institusi, selain SDG 17 – Perkongsian untuk Matlamat melalui pengukuhan jaringan dan kerjasama antarabangsa antara USM dengan UNESA.
Program mobiliti USM–UNESA memperlihatkan bahawa pengalaman pembelajaran rentas sempadan mampu menjadi medium penting dalam pembangunan mahasiswa menerusi gabungan aspek akademik, kepimpinan, teknologi hijau, kelestarian, pengurusan mahasiswa dan pertukaran budaya.
Menerusi program berimpak seperti itu, USM bukan sahaja memperluas peluang pendedahan antarabangsa kepada mahasiswa, malah memperkukuh usaha melahirkan generasi pemimpin berpengetahuan, berfikiran global, adaptif dan mempunyai kesedaran terhadap agenda pembangunan mampan.
Kerjasama USM dan UNESA juga diharap dapat membuka ruang kepada pelaksanaan lebih banyak inisiatif bersama pada masa hadapan, khususnya dalam bidang pembangunan mahasiswa, kepimpinan, kelestarian, akademik dan pengantarabangsaan.