BERITA DALAM TALIAN: MEMBACA, MENULIS DAN MEMBINA TAMADUN

Setiap tahun, dunia meraikan Hari Buku Sedunia pada tanggal 23 April sebagai simbol penghargaan terhadap penulis, penerbit buku, serta masyarakat yang gemar akan buku dan membudayakan amalan membaca.
Bagi umat Islam, sambutan ini mengingatkan kita kepada akar tamadun yang dibina atas wahyu pertama, iaitu melalui seruan iqra’ yang bermaksud bacalah. Seruan ini bukan sekadar arahan membaca teks, tetapi suatu tuntutan bagi membina peradaban ilmu yang berterusan melalui pembacaan, penulisan dan penyebaran ilmu.
Dalam konteks kehidupan pada hari ini khususnya dalam kalangan ahli akademik, wujud satu cabaran yang nyata apabila penulisan jurnal sering menjadi penunjuk utama prestasi, diukur pula dengan indeks sitasi dan impak faktor.
Persoalannya, di manakah kedudukan buku dalam ekosistem keilmuan dan ahli akademik kita? Apakah kita sedang meninggalkan warisan penulisan yang lebih mendalam, bersifat jangka panjang dan mampu membina pemikiran masyarakat?
Pada hakikatnya, penghasilan dan penerbitan buku dari perspektif Islam lebih daripada sekadar penghasilan teks untuk bahan bacaan. Islam meletakkan ilmu pada kedudukan yang sangat tinggi. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.” (Surah al-‘Alaq 96:1).
Ayat ini bukan sahaja mengangkat kepentingan membaca, bahkan menunjukkan bahawa ilmu mesti dihubungkan dengan kesedaran ketuhanan. Dalam tradisi Islam, buku bukan sekadar medium maklumat, tetapi wasilah pembentukan jiwa, akal dan akhlak.
Begitu juga firman Allah yang mengangkat darjat orang yang beriman dan orang yang diberikan ilmu dari sisi-Nya. Rasulullah SAW juga turut bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.” (Hadis riwayat Muslim, no. 2699).
Dalam konteks ini, membaca dan menulis merupakan sebahagian daripada jalan ilmu tersebut. Maka itu, ahli akademik bukan sekadar penyelidik, tetapi pewaris tradisi kenabian dalam penyampaian ilmu.
Sejarah Islam membuktikan bahawa tamadun agung tidak dibina dengan kekuatan fizikal semata-mata, tetapi dengan kekuatan ilmu. Lihat sahaja kegemilangan tamadun di Andalusia, khususnya di kota seperti Cordoba dan Granada.
Di Cordoba, terdapat perpustakaan yang mengandungi ratusan ribu naskhah buku, iaitu suatu angka yang jauh mengatasi perpustakaan di Eropah pada ketika itu. Para ilmuwan seperti Ibn Rushd dan Ibn Hazm bukan sahaja membaca, tetapi menghasilkan karya yang menjadi rujukan berabad-abad lamanya.
Sejarawan Philip K. Hitti dalam History of the Arabs menggambarkan Cordoba sebagai kota ilmu yang memiliki perpustakaan luar biasa besar. Hal ini mencerminkan budaya membaca yang meresap dalam kehidupan masyarakatnya.
Sementara itu, Will Durant dalam The Story of Civilization menegaskan bahawa buku di Andalusia jauh lebih melimpah berbanding dengan Eropah pada zaman yang sama, bahkan tahap literasi masyarakatnya jauh lebih tinggi. Hakikat ini menunjukkan bahawa masyarakat Andalusia tidak sekadar mengenal buku, tetapi menghidupkannya sebagai nadi tamadun. Buku dibaca, dimiliki dan diwariskan sebagai simbol keunggulan ilmu. Demikian asas kepada kemajuan sains, falsafah, perubatan dan seni yang akhirnya mempengaruhi kebangkitan Eropah.
Dalam dunia akademik moden, penulisan jurnal memang penting bagi memastikan ketelitian metodologi dan pengiktirafan antarabangsa. Namun demikian, buku mempunyai kekuatan yang berbeza. Buku membolehkan penghuraian mendalam yang tidak terikat dengan had perkataan yang ketat. Tidak semua lapisan masyarakat membaca jurnal, tetapi buku mampu merapatkan jurang antara akademik dengan masyarakat awam.
Karya berbentuk buku lebih mudah diwarisi dan dibaca merentas generasi. Sejarah ulama membuktikan perkara ini. Imam al-Ghazali menulis Ihya’ ‘Ulum al-Din bukan dalam bentuk artikel ringkas, tetapi sebuah karya besar yang membentuk pemikiran umat hingga hari ini. Begitu juga Ibn Khaldun dengan Muqaddimahnya.
Selain penulisan, budaya membaca juga perlu diperkasakan. Masyarakat yang membaca ialah masyarakat yang berfikir. Tanpa budaya membaca, ilmu akan terhenti pada elit akademik sahaja.
Dalam Islam, membaca bukan sekadar aktiviti intelektual, tetapi ibadah. Membaca al-Quran pula suatu bentuk ibadah yang diberikan ganjaran pahala. Hal ini menunjukkan bahawa budaya membaca telah diinstitusikan dalam kehidupan umat Islam.
Realiti pada hari ini menyaksikan masyarakat lebih cenderung kepada kandungan ringkas dalam media sosial. Budaya menatal peranti pintar telah menggantikan budaya tadabur. Dalam hal ini, usaha menghidupkan kembali tradisi membaca memerlukan pendekatan yang lebih strategik, bersepadu, serta berakar pada nilai agama dan sejarah tamadun.
Beberapa kaedah seperti yang berikut perlu dikembangkan secara lebih serius:
- Memperkenalkan Buku dalam Bahasa yang Mudah Difahami
Satu daripada cabaran utama bagi membudayakan pembacaan ialah jurang antara bahasa akademik dengan kefahaman masyarakat umum. Banyak karya ilmiah yang berkualiti tinggi, namun sukar diakses kerana gaya bahasa yang terlalu teknikal.
Di sinilah perlunya usaha “membumikan ilmu”. Para sarjana terdahulu tidak hanya menulis untuk golongan elit. Imam al-Ghazali misalnya, mampu menghasilkan karya yang mendalam tetapi tetap menyentuh jiwa pembaca awam. Begitu juga tradisi ulama Nusantara yang menulis kitab dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi agar ilmu dapat difahami masyarakat setempat, contohnya Kitab Hikam Jawi yang dikarang oleh Tuk Pulau Manis, seorang ulama negeri Terengganu.
Maka itu, ahli akademik pada hari ini perlu berani menulis dalam dua lapangan: satu untuk jurnal dan satu lagi untuk masyarakat. Buku popular berasaskan ilmu perlu menggunakan bahasa yang jelas, contoh yang dekat dengan realiti semasa, serta gaya penulisan yang menarik tanpa mengorbankan ketepatan ilmiah. Perkara ini selari dengan prinsip dakwah Islam yang menuntut penyampaian ilmu dengan hikmah dan kebijaksanaan.
- Menggalakkan Penulisan Popular Berasaskan Ilmu
Penulisan popular bukan bermaksud mempermudah sehingga menghilangkan nilai ilmiah, tetapi menjadikan ilmu itu hidup dan dekat dengan masyarakat. Dalam sejarah Islam, banyak karya besar ditulis dengan pendekatan naratif, kisah dan ibrah, menjadikan pembaca bukan sahaja memahami, tetapi juga merasai inti pati penulisan tersebut.
Sebagai contoh, karya Muqaddimah oleh Ibn Khaldun bukan sekadar analisis sejarah, malah mengandungi falsafah sosial yang boleh difahami merentas zaman. Begitu juga pelbagai karya adab dan tasawuf yang menyentuh aspek jiwa manusia.
Hari ini, ahli akademik boleh memanfaatkan pelbagai medium, buku, artikel popular, bahkan platform digital untuk menyampaikan hasil kajian dalam bentuk yang lebih mesra pembaca. Hal ini penting agar ilmu tidak terkurung dalam jurnal semata-mata, tetapi mengalir ke dalam masyarakat sekali gus membentuk cara masyarakat berfikir dan bertindak.
- Menjadikan Masjid dan Institusi Pendidikan sebagai Pusat Budaya Membaca
Dalam sejarah Islam, masjid bukan sekadar tempat ibadah, tetapi pusat ilmu. Masjid Nabawi pada zaman Rasulullah SAW menjadi tempat pengajaran, perbincangan dan pembentukan generasi sahabat yang berilmu.
Tradisi ini berkembang dalam tamadun Islam sehingga lahirnya institusi seperti Bayt al-Hikmah di Baghdad, yang menjadi pusat penterjemahan dan pengembangan ilmu. Perpustakaan dan majlis ilmu menjadi nadi kehidupan masyarakat.
Fungsi tersebut perlu dihidupkan semula dalam masyarakat masa ini. Masjid boleh berperanan sebagai pusat bacaan dengan sudut perpustakaan kecil, tempat diskusi buku dan halaqah ilmu, serta ruang interaksi antara ilmuwan dengan masyarakat
Begitu juga institusi pendidikan, dari sekolah sehingga universiti, perlu membudayakan pembacaan bukan sekadar untuk peperiksaan, tetapi sebagai gaya hidup. Program seperti “satu bulan satu buku”, kelab buku dan forum ilmiah boleh menjadi pemangkin kepada budaya ini.
- Menghubungkan Tradisi Lama dengan Cabaran Baharu
Cabaran zaman ini berbeza daripada masa lalu. Ledakan teknologi, media sosial dan kecerdasan buatan telah mengubah cara manusia memperoleh maklumat. Namun demikian, prinsip asas ilmu tidak berubah.
Sejarah kegemilangan Andalus menunjukkan bahawa tamadun dibina melalui integrasi ilmu; antara wahyu dengan akal; serta antara tradisi dan inovasi. Para ilmuwan Andalusia tidak menolak ilmu asing bahkan mengolahnya dalam kerangka Islam.
Pendekatan yang sama perlu dilaksanakan pada hari ini. Tradisi membaca dan menulis perlu disesuaikan dengan medium baharu. Buku boleh dipersembahkan dalam bentuk digital atau audio. Ringkasan buku boleh digunakan sebagai pintu masuk kepada pembacaan mendalam. Media sosial boleh menjadi wadah promosi ilmu, bukan pengganti buku. Apa-apa yang penting adalah dengan memastikan bahawa kedalaman ilmu tidak hilang dalam arus kepantasan maklumat.
Hari Buku Sedunia sepatutnya menjadi titik muhasabah. Umat Islam pernah memimpin dunia melalui buku, penulisan, pembacaan dan pengembangan ilmu. Hari ini, kita berdepan dengan cabaran baharu, umpamanya ledakan maklumat, budaya digital dan perubahan cara berfikir masyarakat. Akan tetapi, prinsipnya tetap sama, iaitu ilmu merupakan asas bagi sesebuah tamadun.
Ahli akademik perlu keluar daripada kepompong sempit penulisan teknikal semata-mata, dan berani menghasilkan karya yang mendidik masyarakat. Pada masa yang sama, masyarakat perlu kembali kepada budaya membaca sebagai jalan bagi membina kesedaran dan kefahaman.
Jika Andalusia mampu bangkit dengan buku, tiada alasan untuk kita tidak mengulangi kegemilangan tersebut dalam bentuk yang baharu. Maka itu, marilah kita jadikan membaca sebagai amalan, penulisan sebagai sumbangan, dan ilmu sebagai jalan menuju keredaan Allah SWT.
Penulis merupakan Profesor Madya di Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.
- Created on .
- Hits: 155