USM NEWS PORTAL 

BERITA DALAM TALIAN: 'SYUKUR TAK PERLU POTONG LIDAH'

BERITA DALAM TALIAN: 'SYUKUR TAK PERLU POTONG LIDAH'

Harian Metro
'Syukur tak perlu potong lidah'
Oleh Nur Izzati Mohamad | 29 April 2024

Kepala Batas: Guru lelaki yang disahkan menghidap kanser menarik nafas lega selepas rawatan brakiterapi yang dijalaninya di Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) di Bertam, di sini bukan sahaja menyembuhkan penyakitnya namun menyelamatkan lidahnya dari dipotong.

Hasbullah Rashid, 42 yang mengajar subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Paya Besar di Kulim, Kedah disahkan menghidap kanser berkenaan pada 2018.

Bapa kepada tiga anak itu, berkata pada mulanya dia mendapati bahagian lidahnya mengalami 'ulser' namun tidak melakukan sebarang rawatan kerana menganggap ia perkara biasa.

"Saya pada mulanya tidak ambil kisah mengenai 'ulser' kerana ia kejap ada kejap baik semula yang perkara itu sering berlaku dekat sesiapa sahaja hingga dianggap normal.

"Bagaimanapun, semua itu berubah apabila terasa sakit untuk makan hingga satu masa saya bangun tidur ada tompokan darah pada pipi lalu mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta.

"Saya kemudian dirujuk ke pakar kepala dan leher di Hospital Bukit Mertajam (HBM) yang mendapati sel kanser berada pada tahap dua sebelum saya dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ).

"Doktor di situ menawarkan rawatan pemotongan sebahagian lidah bagi mengekang sel kanser merebak," katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup Program April Bulan Kesedaran Kanser Kepala dan Leher yang disempurnakan Naib Canselor USM Profesor Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (USM) di Bertam, di sini, hari ini.

Hasbullah berkata, dia tidak mampu berkata-kata selepas mendengar rawatan yang perlu dijalaninya bahkan berisiko kehilangan upaya untuk bertutur sekiranya dia bersetuju dengan kaedah rawatan berkenaan.

"Bayangkan selama 38 tahun (usia disahkan kanser) saya boleh bercakap tiba-tiba perlu belajar bahasa isyarat, apatah lagi saya seorang guru yang memerlukan suara untuk berinteraksi dengan murid.

"Saya rasa dunia tiba-tiba gelap dan fikir hanya untuk mati.

"Namun, segala-galanya berubah apabila ada doktor yang mengesyorkan saya mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan USM tanpa perlu memotong lidah yang kini saya sudah bebas sepenuhnya dari penyakit ini selepas empat berjuang," katanya yang seolah-olah diberikan peluang hidup kali kedua.

Bagi seorang warga emas Shariffuddin Chaplang, 71, berkata dia sudah sembuh dari kanser yang dialaminya sejak 2019 selepas empat tahun menjalani rawatan.

"Sama seperti pejuang lain, saya hanya mampu reda dengan ujian ini dan bersyukur masih lagi dipanjangkan usia selain sembuh dari penyakit ini.

"Walaupun sudah berusia tetapi jangan kita berputus asa mencari jalan untuk kesembuhan kerana setiap penyakit ada penawarnya," katanya yang didiagnos mengalami kanser di bahagian pangkal hidung.

Sementara itu, Dr Abdul Rahman, berkata lebih 500 pesakit kanser kepala dan leher termasuk lidah dan mulut telah menerima rawatan di pusat perubatan, di sini sejak 2016 dengan menggunakan rawatan brakiterapi.

"Rawatan ini juga didapati menunjukkan 'success rate' (tahap kesembuhan) yang amat tinggi dan kita berharap fasiliti ini dapat memberikan perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada masyarakat sekitar Utara Semenanjung selain mengekalkan status sebagai Pusat Rujukan Brakiterapi Kepala dan Leher antara terbaik di dunia," katanya.

HASBULLAH menunjukkan gambarnya ketika menerima rawatan selepas menghidap kanser kepala dan leher pada 2018 . FOTO Danial Saad
 HASBULLAH menunjukkan gambarnya ketika menerima rawatan selepas menghidap kanser kepala dan leher pada 2018 . FOTO Danial Saad

BERITA DALAM TALIAN: 111 KES KERACUNAN AKIBAT PENDEDAHAN ROKOK ELEKTRONIK

Sinar Harian
111 kes keracunan akibat pendedahan rokok elektronik
27 Mac 2024

Sebanyak 111 kes berhubung pendedahan keracunan berkaitan rokok elektronik dan cecairnya telah dirujuk ke pusat panggilan Pusat Racun Negara (PRN) Universiti Sains Malaysia (USM) sejak 2015 hingga tahun lepas. Gambar hiasan Bernama
Sebanyak 111 kes berhubung pendedahan keracunan berkaitan rokok elektronik dan cecairnya telah dirujuk ke pusat panggilan Pusat Racun Negara (PRN) Universiti Sains Malaysia (USM) sejak 2015 hingga tahun lepas. Gambar hiasan Bernama

GEORGE TOWN - Sebanyak 111 kes berhubung pendedahan keracunan berkaitan rokok elektronik dan cecairnya telah dirujuk ke pusat panggilan Pusat Racun Negara (PRN) Universiti Sains Malaysia (USM) sejak 2015 hingga tahun lepas.

Ketua Pegawai Farmasi Perkhidmatan Maklumat Ubat dan Racun PRN USM, Sulastri Samsudin berkata, daripada jumlah itu pihaknya merekodkan panggilan kes pendedahan rokok elektronik yang tertinggi dengan 30.6 peratus iaitu lima kali ganda kenaikan pada tahun lepas berbanding 6.3 peratus pada 2019.

"Fasa pertama peningkatan adalah sebanyak dua kali ganda pada 2020 (13.5 peratus) dan 2021 (19.8 peratus) berbanding 6.3 peratus pada 2019 iaitu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19.

"Majoriti kes melibatkan kanak-kanak berusia kurang lima tahun. Situasi ini boleh dikaitkan dengan kebolehcapaian produk ini akibat penyimpanan tidak selamat dan bentuk pembungkusan produk serta kewujudan bahan perisa yang menarik seperti makanan dan gula-gula," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, fasa kedua iaitu pada 2022 dan 2023 pula menunjukkan perubahan tren dari kategori umur dengan lebih ramai remaja berusia lingkungan 15 hingga 19 tahun mengalami keracunan akibat penggunaan rokok elektronik secara sengaja.

Menurutnya, lebih 95 peratus kes yang dilaporkan adalah bergejala keracunan nikotin seperti muntah teruk, mengantuk, cirit-birit, sakit perut, pengsan dan sawan selain terdapat gejala lebih teruk seperti psikosis, halusinasi, perubahan tingkah laku yang agresif dan disyaki melibatkan penyalahgunaan dadah ke dalam cecair rokok elektronik.

Mengulas lanjut, Sulastri berkata, sejak 2021, PRN juga mula menerima kes pendedahan rokok elektronik yang dikaitkan dengan dadah Magic Mushroom atau bahan aktifnya psilosibin dan telah merekodkan 23 kes sehingga kini.

Justeru, beliau berkata, pihaknya meminta kerajaan supaya menyegerakan pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang telah diluluskan tahun lepas dengan memastikan kawalan terhadap produk rokok elektronik diberi penekanan terhadap beberapa perkara.

BERITA DALAM TALIAN: APA SAHAJA UNTUK ANAK TERSAYANG

My Metro
Apa sahaja untuk anak tersayang
Oleh Nurul Husna Mahmud, Redzuan Muharam, Hidayatidayu Razali, Mary Victoria Dass, Zuhainy Zulkiffli dan Ahmad Hasbi | 12 Mei 2024

ROSMAWATI tinggal Bersama Nursyuhaila di asrama USM sejak Oktober lalu.
ROSMAWATI tinggal Bersama Nursyuhaila di asrama USM sejak Oktober lalu.

Georgetown: "Tak boleh berjalan, buat apa mengaji (belajar) tinggi-tinggi?"

Itu antara kata-kata terpaksa 'ditelan' Rosmawati Salleh, 56, selepas anak bongsunya yang lumpuh menyambung pengajian ke universiti.

Tidak mahu mengalah dengan takdir, Rosmawati mengambil keputusan tinggal bersama anaknya, Nursyuhaila Abdullah, 22, di desasiswa atau asrama Universiti Sains Malaysia (USM) sejak Oktober lalu untuk membantu gadis terbabit dalam pengurusan diri.

Rosmawati berkata, keputusan itu mengubah cara hidupnya yang perlu tinggal di desasiswa dan terpaksa melupakan pengurusan rumah tangga di Kulim, Kedah.

Bercerita pengalamannya, dia amat terhutang budi kepada pihak universiti kerana memberi kebenaran kepada waris tinggal di asrama berikutan kedua belah kaki Nursyuhaila yang lumpuh hingga paras pinggang dan hanya boleh bergerak menggunakan kerusi roda.

Tambahan pula penyakit dihidapi pelajar Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan itu boleh menyerang pada bila-bila masa menyebabkan kesakitan dirasa 'menusuk hingga ke tulang'.

"Keadaan fizikal Nursyuhaila berubah sejak berusia 15 tahun selepas mengalami tuberkulosis atau tibi yang turut menyerang saraf tunjang namun belum pernah terbit di bibirnya bahawa dia mahu 'mengalah' dengan menamatkan pelajaran.

"Berikutan itu, Nursyuhaila memerlukan penjagaan kerana tidak boleh mengangkat badan bagi menguruskan diri seperti mandi atau duduk.

"Tidak mengapa jika saya terpaksa tinggal bersamanya di asrama kerana ia tidak lama, hanya tiga tahun sahaja," katanya.

Mengulas lanjut Rosmawati berkata, kesungguhan Nursyuhaila sejak kecil terutama dalam hal pelajaran menyebabkan mereka sekeluarga beri dorongan penuh dan berharap mampu mengubah nasibnya apabila dia tiada kelak.

Sudah menjadi rutin kepada Rosmawati bagi menyiapkan Nursyuhaila setiap hari sebelum menjalani kuliah dengan menaiki van disediakan pihak universiti.

"Selain memastikan kebersihan bilik asrama yang diubah suai menjadi mesra orang kurang upaya (OKU), saya turut menjadikan amalan membaca sebagai hobi pada waktu terluang.

"Kini pengajiannya masuk semester kedua dan saya sudah biasa dengan keadaan ini, begitu juga Nursyuhaila. Bapanya meninggal dunia 17 tahun lalu dan kerana itu semangatnya kuat.

"Sakit, demam dan soal kesihatan biarlah hanya saya yang tahu," kata suri rumah itu lagi.

BERITA DALAM TALIAN: CIKGU HASBULLAH BERSYUKUR LIDAH TAK PERLU DIPOTONG

Kosmo
Cikgu Hasbullah bersyukur lidah tak perlu dipotong
Oleh NOOR HASLIZA NUSI | 29 April 2024

Cikgu Hasbullah (kanan) bersama Shariffuddin (tengah) berkongsi pengalaman menjalani rawatan brakiterapi di PPUSMB, hari ini.

SEBERANG PERAI – Seorang guru yang juga pesakit kanser lidah tahap tiga tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila dia dikhabarkan bebas daripada menghidap penyakit itu selain tidak perlu menjalani pembedahan memotong lidah, dua tahun lalu.

Hasbullah Rashid, 42, guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Paya Besar, Kulim di Kedah itu berkata, dia umpama diberi peluang hidup buat kali kedua selepas empat tahun berjuang dengan kanser lidah.

Menurutnya, dia sememangnya tidak menyangka dapat menempuh liku-liku sepanjang mendapatkan rawatan menerusi teknik brakiterapi atau Hybrid Brachytherapy-Intensity Modulated Radiotherapy (HyBIRT) di Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUSMB) sejak 2018.

“Rasa seperti hidup kali kedua sebaik disahkan bebas kanser pada tahun 2022. Semasa awal didiagnos memang saya berada pada tahap hendak mati dan memikirkan keadaan tiga anak yang masih kecil.

“Lebih tak dapat terima apabila doktor di sebuah hospital kerajaan memaklumkan yang separuh lidah saya terpaksa dipotong dan kesannya saya sudah tidak boleh bercakap lagi.

“Bagaimanapun, setelah menjalani rawatan brakiterapi di sini (PPUSMB), saya akhirnya disahkan bebas kanser,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penutup Program April Bulan Kesedaran Kanser Kepala dan Leher 2024 di PPUSMB, di sini hari ini.

Teknik brakiterapi yang diperkenalkan di PPUSMB berupaya untuk mengekalkan pertuturan dan fungsi menelan.

Sementara itu, seorang lagi warga emas yang juga pesara tentera, Sharifuddin Chaplang, 71, pula memberitahu, dia didiagnos sebagai penghidap kanser pangkal hidung tahap empat ketika berusia 68 tahun.

Bapa kepada empat orang anak itu berkata, dia kini disahkan bebas daripada kanser setelah menjalani rawatan dengan teknik (HyBIRT) di hospital berkenaan.

“Saya positifkan diri dan tak fikir tentang apa yang dihadapi. Pernah kawan-kawan mengatakan 60 peratus yang menghidap kanser akan mati. Saya langsung tak ambil kisah dan kuat diri sehinggalah ke saat ini,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, sehingga kini, hampir 500 kes kanser kepala dan leher telah dirawat PPUSMB dan lebih daripada 70 kes brakiterapi untuk kanser rongga mulut telah dilakukan oleh pakar di hospital berkenaan.

“Setakat ini, PPUSMB merupakan satu-satunya pusat di Asia Tenggara yang mampu merawat kanser kepala dan leher dengan brakiterapi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE


Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024