BERITA DALAM TALIAN: KANSER REKTUM BOLEH DIRAWAT TANPA PEMBEDAHAN
Berita Harian Online
Kanser rektum boleh dirawat tanpa pembedahan
Oleh Dr. Muhammad Irfan Mohamad Salmi & Profesor Dr. Andee Dzulkarnaen Zakaria | 30 Mac 2026

"DOKTOR, bolehkah kanser ini dirawat tanpa pembedahan?"
Soalan inilah yang paling kerap diajukan oleh pesakit, khususnya warga emas, sebaik sahaja mereka dimaklumkan menghidap kanser rektum.
Kebimbangan utama mereka ialah risiko pembedahan besar, keperluan memakai beg najis (stoma), serta kesan jangka panjang terhadap kualiti hidup.
Selama bertahun-tahun, pembedahan dianggap satu-satunya rawatan yang mampu memberi peluang penyembuhan kepada pesakit kanser rektum.
Dalam erti kata lain, mereka yang berjaya menjalani pembedahan berpeluang melepasi fasa penyakit yang mengancam nyawa. Namun, perkembangan pesat dalam bidang onkologi dan pembedahan kolorektal membuka lembaran baharu dan kini rawatan tanpa pembedahan kini bukan lagi sekadar teori.
Pendekatan rawatan konvensional
Rawatan kanser rektum lazimnya bergantung kepada tahap penyakit.
Bagi kanser tahap satu, pesakit biasanya dirawat secara pembedahan sejak awal dan kebiasaannya tidak memerlukan rawatan susulan seperti kemoterapi.
Untuk kanser bersaiz kecil, sebahagian pesakit boleh menjalani pembedahan minimum melalui dubur, dikenali sebagai transanal operation.
Bagi kanser tahap dua dan tiga, pendekatan standard ialah rawatan prabedah menggunakan gabungan kemoterapi dan radioterapi, diikuti pembedahan membuang rektum.
Dalam sesetengah keadaan, pesakit terpaksa memakai beg stoma sementara akibat risiko kebocoran sambungan usus.
Bagi kanser tahap empat pula, jika kanser yang merebak masih sedikit dan boleh dibuang, pesakit masih mempunyai peluang untuk sembuh walaupun pembedahannya lebih kompleks. Namun, sekiranya kanser sudah merebak secara meluas, rawatan lebih tertumpu kepada kemoterapi bagi mengawal penyakit, kecuali jika timbul komplikasi serius seperti usus tersumbat, pendarahan teruk atau usus pecah.
Risiko pembedahan dan kualiti hidup
Walaupun pembedahan berjaya, kesannya terhadap kualiti hidup tidak boleh dipandang ringan.
Jika kanser terletak terlalu hampir dengan otot kawalan dubur, pesakit mungkin perlu menjalani pembedahan membuang dubur sepenuhnya dan memakai beg stoma kekal.
Selain itu, pembedahan rektum juga membawa risiko kebocoran sambungan usus serta gangguan fungsi kawalan pembuangan najis, yang boleh menjejaskan kehidupan harian pesakit.
Revolusi rawatan tanpa pembedahan
Pendekatan rawatan tanpa pembedahan mula mendapat perhatian dunia selepas seorang pakar bedah dari Brazil, Dr Angelita Habr-Gama, menerbitkan pengalaman beliau pada tahun 2004.
Beliau mendapati, sebahagian pesakit yang menunjukkan pengecutan kanser sepenuhnya selepas rawatan prabedah boleh dipantau tanpa menjalani pembedahan. Pendekatan ini dikenali sebagai konsep watch and wait.
Pada peringkat awal, hanya sebilangan kecil pesakit tahap dua dan tiga yang mencapai pengecutan kanser sepenuhnya. Namun, bermula tahun 2021, beberapa kajian besar dari Eropah memperkenalkan teknik rawatan prabedah yang lebih intensif dan tersusun, sekali gus meningkatkan kadar pengecutan kanser sehingga dua kali ganda.
Ini membuka peluang kepada lebih ramai pesakit untuk dirawat tanpa pembedahan.
Perhatian kini turut diberikan kepada pesakit kanser tahap satu. Dengan saiz kanser yang lebih kecil dan penyebaran yang terhad, kumpulan ini menunjukkan hasil yang sangat memberangsangkan.
Sebahagian besar pesakit tahap ini boleh dirawat sepenuhnya tanpa pembedahan besar, malah ada yang hanya memerlukan prosedur kecil melalui dubur.
Masih perlu berhati-hati
Walaupun perkembangan ini amat menggembirakan, rawatan tanpa pembedahan tidak boleh menggantikan pembedahan sepenuhnya.
Risiko kanser tumbuh semula serta kemungkinan merebak ke organ lain tetap menjadi kebimbangan utama. Tambahan pula, rawatan ini memerlukan pemantauan rapi jangka panjang menggunakan kolonoskopi, imbasan MRI dan pemeriksaan klinikal berkala.
Oleh itu, pendekatan ini hanya sesuai dijalankan di hospital rujukan utama yang mempunyai kepakaran dan kemudahan lengkap.
Ia mungkin lebih sesuai bagi pesakit berusia lanjut atau mereka yang mempunyai risiko tinggi untuk menjalani pembedahan besar.
Kepentingan saringan awal
Paling penting, pengesanan awal mampu menyelamatkan nyawa.
Masyarakat digalakkan menjalani saringan kanser usus seawal usia 50 tahun, atau 40 tahun bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser usus.
Amalan pemakanan sihat, pengurangan pengambilan daging proses dan daging merah, serta gaya hidup aktif turut memainkan peranan penting dalam pencegahan kanser.
Kemajuan dalam dunia perubatan telah membuka ruang rawatan yang lebih selamat, kurang invasif dan berfokus kepada kualiti hidup pesakit.
Namun, kunci utama kejayaan rawatan tetap bergantung kepada kesedaran masyarakat dan pengesanan awal penyakit.
- Created on .
- Hits: 11