BERITA DALAM TALIAN: AIR, MANUSIA DAN ISLAM
Dewan Tamadun Islam
Air, Manusia dan Islam
Oleh:
Prof. Madya Dr Mohd Nizam Sahad
Bahagian Pengajian Islam
Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan
Universiti Sains Malaysia
11800 Pulau Pinang
22 Mac 2026

Hari Air Sedunia disambut pada 22 Mac setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan air bersih dan pengurusan sumber air secara lestari. Sambutan ini juga menekankan isu global seperti kekurangan air dan menggalakkan tindakan untuk memastikan akses air selamat kepada semua manusia.
Air merupakan antara nikmat paling asas yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia. Tanpa air, kehidupan tidak akan wujud. Setiap makhluk hidup bergantung padanya untuk terus hidup dan berkembang.
Pada hakikatnya, manusia bergantung pada Allah SWT yang menganugerahkan air sebagai nikmat bagi manusia. Walaupun manusia menggunakan air setiap hari untuk minum, memasak, membersihkan diri dan beribadah, namun hakikatnya banyak yang tidak benar-benar merenungi betapa besar nikmat yang terkandung dalam seteguk air. Islam mengajar umatnya agar melihat air bukan sekadar unsur fizikal kehidupan, tetapi sebagai tanda kekuasaan Allah SWT dan sumber syukur yang mendalam dalam kehidupan manusia.
Al-Quran secara jelas menegaskan bahawa air ialah asas kepada kehidupan seluruh makhluk. Dalam Surah al-Anbiya’ ayat 30, Allah SWT menyatakan bahawa daripada air dijadikan segala sesuatu yang hidup. Hal ini menunjukkan bahawa air bukan sekadar elemen sampingan dalam kehidupan, bahkan merupakan asas kepada kewujudan kehidupan.
Dari perspektif saintifik juga, tubuh manusia terdiri daripada sebahagian besar unsur air. Darah yang mengalir dalam tubuh, serta sel-sel yang membina organ dan pelbagai sistem dalam badan manusia bergantung pada air untuk berfungsi dengan baik. Apabila manusia berasa teramat dahaga, barulah dia menyedari bahawa air sebenarnya adalah antara nikmat terbesar dalam kehidupan.
Namun demikian, dalam keadaan kehidupan yang serba mudah hari ini, air sering dianggap sebagai sesuatu yang biasa dan sentiasa tersedia. Air keluar dari paip rumah tanpa memerlukan usaha yang besar. Keadaan ini kadangkala menyebabkan manusia terlupa bahawa air yang diminum itu sebenarnya datang daripada satu sistem alam yang sangat kompleks dan teratur yang diatur oleh Allah SWT.
Hal ini perlu dihayati supaya perbuatan minum air menjadi ibadah atas kesedaran untuk bersyukur kepada Allah SWT dan air yang berada di dalam badan menjadi rahmat, kesan daripada penghayatan akidah kepada air yang juga dicipta oleh Allah SWT.
Al-Quran mengajak manusia merenung asal usul air yang diminum setiap hari. Allah SWT bertanya kepada manusia tentang air yang mereka minum, adakah manusia yang menurunkannya dari awan atau Allah SWT yang menurunkannya? (Surah al-Waqi‘ah 56:68–69).
Pertanyaan ini sebenarnya mengajak manusia berfikir tentang sumber air yang kelihatan begitu mudah diperoleh. Hujan yang turun dari langit melalui kitaran alam yang sangat halus merupakan tanda rahmat dan kekuasaan Allah SWT. Manusia boleh membina empangan, loji rawatan air dan sistem paip yang canggih, namun manusia tetap tidak mampu mencipta hujan.
Apabila seseorang Muslim menyedari hakikat ini, maka setiap kali dia minum air, dia sepatutnya merasai perasaan syukur yang mendalam. Seteguk air bukan sekadar minuman yang menghilangkan dahaga, tetapi merupakan rahmat yang datang terus daripada Allah SWT kepada manusia.
Dalam tradisi Islam, Nabi Muhammad SAW mengajar umatnya berkaitan dengan adab yang sangat indah ketika minum. Baginda memulakan perbuatan minum minuman dengan menyebut nama Allah SWT dan mengakhirinya dengan memuji Allah SWT atas nikmat tersebut. Kesyukuran bukan hanya dilafazkan ketika mendapat nikmat yang besar seperti kekayaan atau kejayaan, bahkan terhadap nikmat kecil yang sering dianggap biasa, termasuklah seteguk air.
Dalam kehidupan moden yang serba pantas, manusia kadangkala minum air tanpa sedar, tanpa berfikir dan tanpa mengingati Pemberi nikmat tersebut. Sedangkan dalam pandangan Islam, setiap nikmat merupakan peluang untuk mengingati Allah SWT.
Selain mengajar manusia bersyukur, nikmat air juga boleh menjadi satu bentuk ujian. Allah SWT mengingatkan manusia bahawa jika air yang ada di bumi ini menjadi kering dan hilang dari dalam tanah, siapakah yang mampu mendatangkan air yang mengalir kembali kepada manusia? (Surah al-Mulk 67:30). Hal ini mengingatkan manusia bahawa nikmat air yang kelihatan biasa sebenarnya boleh hilang pada bila-bila masa.
Realiti dunia pada hari ini menunjukkan bahawa krisis air bukan lagi perkara yang mustahil. Banyak kawasan di dunia mengalami kemarau yang panjang sehingga masyarakat terpaksa berjalan jauh hanya untuk mendapatkan sedikit air bersih. Di sesetengah tempat, air menjadi sumber konflik dan perebutan. Di Gaza, Palestin sebagai contoh, krisis perang membawa kepada krisis air yang menyusahkan rakyatnya. Apabila manusia melihat realiti ini, barulah mereka menyedari bahawa nikmat air yang mereka nikmati setiap hari sebenarnya merupakan suatu rahmat yang sangat besar daripada Allah SWT.
Islam bukan sahaja mengajar manusia bersyukur terhadap nikmat air, tetapi juga menuntut manusia menggunakannya dengan penuh tanggungjawab. Rasulullah SAW pernah menegur seorang sahabat yang berwuduk dengan menggunakan air secara berlebih-lebihan. Baginda menjelaskan bahawa pembaziran air tidak sepatutnya berlaku walaupun seseorang berada di tepi sungai yang mengalir. Prinsip ini menunjukkan bahawa Islam mengajar keseimbangan dalam penggunaan sumber alam.
Air merupakan amanah Allah SWT kepada manusia. Dalam konsep Islam, manusia dilantik sebagai khalifah di bumi, iaitu penjaga dan pengurus alam. Oleh itu, air tidak boleh digunakan secara sewenang-wenangnya sehingga merosakkan alam atau menjejaskan kehidupan makhluk lain. Pembaziran air, pencemaran sungai dan kerosakan sumber air sebenarnya bercanggah dengan prinsip amanah yang diajarkan oleh Islam.
Menariknya, air juga memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan spiritual seseorang Muslim. Sebelum seseorang Muslim berdiri menghadap Allah SWT dalam solat, dia diwajibkan untuk berwuduk. Dengan air, manusia membersihkan anggota tubuh sebagai persediaan untuk beribadah. Dalam konteks ini, air bukan sekadar membersihkan tubuh secara fizikal, tetapi juga menjadi simbol penyucian diri sebelum bertemu dengan Allah SWT.
Ibadah lain seperti mandi wajib dan bersuci daripada najis juga bergantung pada air. Hal ini menunjukkan bahawa air mempunyai kedudukan yang sangat istimewa dalam kehidupan seseorang Muslim. Air menjadi perantara yang membantu manusia menjaga kebersihan diri dan kesucian ibadah.
Dalam sejarah tamadun Islam, kesedaran tentang kepentingan air turut mempengaruhi pembangunan masyarakat. Banyak bandar besar dalam sejarah Islam dibina dengan sistem pengairan yang terancang, taman yang subur, serta sumber air yang diuruskan dengan baik. Hal ini menunjukkan bahawa masyarakat Islam sejak dahulu memahami bahawa air adalah asas kepada kehidupan yang sejahtera.
Kesedaran terhadap nikmat air juga seharusnya melahirkan sikap rendah diri dalam diri manusia. Seteguk air yang mampu menghilangkan dahaga sebenarnya mengingatkan manusia bahawa kehidupan mereka sangat bergantung pada rahmat Allah SWT. Tanpa air, manusia yang kuat sekalipun tidak akan mampu bertahan lama.
Oleh itu, setiap kali manusia meneguk air, manusia seharusnya berhenti seketika untuk mengingati Pencipta yang memberikan nikmat tersebut. Mulakan dengan menyebut nama Allah SWT, minum dengan tenang dan akhiri dengan memuji Tuhan Yang Maha Pemurah. Amalan yang kelihatan kecil ini sebenarnya mempunyai makna spiritual yang sangat besar kerana melatih hati manusia untuk sentiasa bersyukur.
Sesungguhnya air bukan sekadar minuman yang menghilangkan dahaga, bahkan tanda kekuasaan Allah SWT, rahmat kepada makhluk-Nya dan peringatan kepada manusia tentang betapa mereka bergantung pada Pencipta mereka. Apabila manusia menyedari hakikat ini, maka setiap titisan air yang menyentuh bibir akan menjadi pengingat bahawa kehidupan seluruhnya berdiri atas rahmat Allah SWT.
- Created on .
- Hits: 26