BERITA DALAM TALIAN: JOM JADI SAINTIS! PUPUK MINAT SAINS KALANGAN MURID
www.edisi9.com.my
Jom Jadi Saintis! pupuk minat sains kalangan murid
Oleh Wartawan Edisi 9 | 29 Mac 2026

USAHA Universiti Sains Malaysia (USM) melahirkan generasi celik sains terus diperkukuh apabila seramai 354 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang terlibat dalam program Jom Jadi Saintis! yang berlangsung penuh interaktif dan bermakna.
Program melibatkan sukarelawan dari Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), USM itu merupakan sebahagian daripada inisiatif STI 100³ (100 Saintis, 100 Sekolah, 100 Hari) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan sokongan Persatuan Pegawai Sains Malaysia sebagai agensi penggerak.
Sepanjang program, suasana dewan sekolah bertukar menjadi ‘makmal mini’ apabila murid-murid diberi peluang menjalankan sendiri pelbagai eksperimen sains secara praktikal di lebih 12 stesen aktiviti yang disediakan.
Menurut Pegawai Sains PKTAAB, Nursyatina Abdul Raof, pendekatan santai dan mesra digunakan bagi memastikan konsep sains dapat difahami dengan mudah oleh murid.
“Kita tidak mengharapkan murid-murid ini terus menjadi saintis selepas hari ini, tetapi jika mereka pulang dengan satu persoalan baharu dalam fikiran, itu sudah cukup bermakna,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Tambah beliau, pendedahan awal seperti ini penting bagi menyemai minat terhadap bidang sains, teknologi dan inovasi dalam kalangan murid sekolah rendah, khususnya di kawasan yang kurang akses kepada program seumpama ini.
Program tersebut turut mendapat kerjasama Jabatan Tenaga Atom yang memperkenalkan konsep asas atom dan sinaran radioaktif secara lebih dekat dan interaktif.
Dalam pada itu, Guru Besar SK Permatang Bertam, merakamkan penghargaan terhadap penganjuran program berkenaan yang disifatkan sebagai peluang berharga kepada murid-murid.
“Program seperti ini membuka ruang kepada murid untuk melihat sains bukan sekadar teori dalam buku, tetapi sesuatu yang boleh disentuh, diuji dan difahami sendiri,” ujarnya.
Kemuncak program menyaksikan penyampaian hadiah termasuk basikal sebagai ganjaran utama kepada peserta, sekali gus menceriakan lagi suasana.
Walau bagaimanapun, di sebalik kemeriahan tersebut, nilai sebenar program ini terletak pada impak jangka panjang iaitu menyemai rasa ingin tahu, keberanian bertanya serta keyakinan bahawa sains adalah bidang yang dekat dan mampu diceburi.
Inisiatif seperti ini dilihat mampu menjadi titik permulaan kepada lahirnya lebih ramai saintis muda negara pada masa hadapan.
- Created on .
- Hits: 58