
KUALA LUMPUR: Universiti Sains Malaysia (USM) mencatatkan pencapaian cemerlang dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings (QSWUR) by Subject 2026 berbanding tahun sebelumnya.
Universiti berkenaan tersenarai di antara 1,912 universiti terpilih serta merangkul kedudukannya dalam 31 subjek yang khusus.
Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed, berkata pencapaian ini mencerminkan usaha bersepadu seluruh warga universiti dalam memacu kecemerlangan akademik dan penyelidikan bertaraf global.
"Pencapaian ini sekali gus memberi impak nyata kepada masyarakat, industri dan komuniti global serta menjadi kebanggaan negara", katanya dalam kenyataan hari ini.
Kejayaan tahun ini turut menyaksikan lonjakan ketara dalam lima bidang utama iaitu bidang Seni dan Kemanusiaan yang meningkat 26 anak tangga ke kedudukan ke-181, diikuti Kejuruteraan dan Teknologi yang naik 20 anak tangga ke kedudukan ke-157.
Sains Hayat dan Perubatan pula melonjak 28 anak tangga ke kedudukan ke-185, Sains Tulen meningkat 18 anak tangga ke kedudukan ke-201 serta Sains Sosial dan Pengurusan mencatatkan peningkatan dengan naik 10 anak tangga ke kedudukan ke-166 dunia.
Selari dengan perkembangan teknologi semasa, USM turut merekodkan kemasukan sulung yang memberangsangkan dalam bidang Sains Data dan Kecerdasan Buatan apabila berada dalam kelompok 101 hingga 200 terbaik dunia.
Secara keseluruhan, sebanyak 19 subjek universiti berkenaan kini berada dalam kelompok 200 terbaik dunia, dengan 11 daripadanya menunjukkan peningkatan memberangsangkan.
Antara subjek tersenarai, termasuk Farmasi dan Farmakologi, Sains Bahan, Kimia, Sains Komputer dan Teknologi Maklumat serta Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris.
Hasil ini menegaskan keterampilan kedudukan USM sebagai universiti terkemuka di negara ini dan membuktikan daya saingnya di peringkat antarabangsa.