BERITA DALAM TALIAN: VISUAL COMEL, MESEJ TERSEMBUNYI: MANIPULASI PERSEPSI DIGITAL
Bernama Online
Visual Comel, Mesej Tersembunyi: Manipulasi Persepsi Digital
Oleh Dr. Miharaini Md Ghani | 17 Mac 2026
Dalam era transformasi digital yang semakin pesat, animasi dan visual kartun tidak lagi terhad kepada fungsi hiburan kanak-kanak.
Ia telah berkembang menjadi satu bahasa komunikasi visual arus perdana yang digunakan secara meluas dalam media sosial, pemasaran, pendidikan, kempen kesedaran awam serta perbincangan isu semasa.
Visual yang menarik, berwarna-warni dan mudah difahami menjadikan animasi medium yang sangat berkesan untuk menarik perhatian masyarakat.
Namun, di sebalik sifatnya yang kelihatan comel dan bukan suatu ancaman, animasi mempunyai keupayaan besar untuk membentuk persepsi, emosi dan cara berfikir khalayak secara senyap.
Menurut Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Seri Ir Dr Abdul Rahman Mohamed, pengukuhan literasi animasi dan literasi visual wajar dilihat sebagai sebahagian daripada agenda strategik pembangunan komunikasi dan pendidikan digital negara.
Beliau menegaskan bahawa dalam era masyarakat bermaklumat, animasi bukan sekadar medium kreatif atau hiburan, sebaliknya merupakan alat komunikasi berpengaruh yang mampu membentuk kefahaman, nilai serta tingkah laku awam.
Sehubungan itu, keupayaan rakyat untuk mentafsir kandungan animasi secara kritikal dan beretika perlu diperkasakan agar selari dengan aspirasi pembangunan insan berteraskan nilai, pemikiran kritis dan kesejahteraan sosial seperti yang digariskan dalam kerangka Malaysia MADANI, serta Matlamat Pembangunan Mampan SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 16 (Institusi Kukuh dan Masyarakat Bermaklumat).
Pandangan ini disokong oleh Dr Naimah Musa, pensyarah Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM), yang melihat animasi sebagai medium visual komunikasi berimpak tinggi dalam masyarakat digital.
Menurut beliau, animasi bukan sekadar visual bergerak, tetapi satu bentuk bahasa komunikasi yang menggabungkan emosi, simbol dan naratif dalam masa yang singkat, sekali gus berupaya membentuk persepsi audiens tanpa disedari.
Animasi dan Kuasa Emosi dalam Komunikasi Digital
Salah satu kekuatan utama animasi ialah keupayaannya membangkitkan emosi dengan pantas. Karekter kartun yang comel, ekspresi wajah yang jelas, pergerakan, serta muzik latar yang menyentuh perasaan mampu mencetuskan rasa empati, simpati dan kepercayaan dalam masa beberapa saat.
Dalam konteks komunikasi digital, emosi sering menjadi pintu masuk kepada penerimaan mesej.
Dr Naimah Musa menjelaskan bahawa apabila mesej disampaikan melalui animasi, audiens cenderung menurunkan tahap penilaian kritikal kerana visual kartun sering dianggap tidak mengancam.
Keadaan ini menyebabkan mesej lebih mudah diterima tanpa soal, terutamanya apabila ia disampaikan dalam bentuk penceritaan ringkas dan beremosi.
Namun, pemudahan mesej ini juga membawa risiko apabila konteks, fakta dan sudut pandang alternatif diketepikan demi kesan visual semata-mata.
Dalam isu-isu semasa seperti kesihatan awam, ekonomi, keselamatan atau sosial, animasi yang menyentuh emosi boleh membentuk tanggapan awal masyarakat.
Apabila tanggapan ini diulang dan diperkuat melalui perkongsian berterusan di media sosial, ia berpotensi menjadi “kebenaran sosial” walaupun tidak semestinya tepat.
Dari Hiburan ke Manipulasi Halus di Media Sosial
Peranan animasi menjadi semakin signifikan apabila digabungkan dengan algoritma media sosia
Platform digital lazimnya mempromosikan kandungan yang mendapat kadar tontonan, perkongsian dan interaksi tinggi, tanpa mengambil kira ketepatan atau implikasi mesej yang dibawa.
Kini, kebanjiran kandungan digital yang kurang sesuai dengan norma budaya, agama dan masyarakat mudah didapati dalam platform digital.
Kandungan yang diolah dalam bentuk animasi yang sensasi, emosional dan mudah difahami selalunya lebih cepat tular berbanding kandungan yang bersifat analitikal dan seimbang.
Dalam persekitaran ini animasi boleh berfungsi sebagai alat manipulasi halus. Isu yang kompleks sering dipersembahkan secara hitam putih, seolah-olah hanya terdapat satu tafsiran mutlak.
Apabila audiens terdedah kepada naratif visual yang sama secara berulang, persepsi mereka terbentuk secara perlahan tanpa disedari.
Keadaan ini lebih membimbangkan apabila melibatkan kanak-kanak dan belia.
Tanpa bimbingan yang mencukupi, animasi boleh menjadi “guru senyap” yang membentuk nilai, sikap dan kepercayaan dan pembentukan karakter mereka tentang dunia di sekeliling.
Literasi Animasi Sebagai Keperluan Dasar dan Tanggungjawab Bersama
Isu ini menuntut perhatian serius terhadap literasi animasi sebagai sebahagian daripada literasi media dan digital.
Selama ini, literasi media sering difokuskan kepada teks dan berita palsu, sedangkan animasi dan visual bergerak juga membawa ideologi, nilai dan agenda.
Tanpa keupayaan mentafsir visual secara kritikal, masyarakat berisiko menjadi pengguna media yang pasif dan mudah dipengaruhi.
Literasi animasi bukan bermaksud menolak kreativiti, hiburan atau sisi positif, tetapi memahami bagaimana animasi berfungsi sebagai alat komunikasi.
Soalan asas seperti siapa yang menghasilkan kandungan tersebut, untuk tujuan apa, dan emosi apa yang cuba dibangkitkan perlu menjadi kebiasaan dalam kalangan pengguna media.
Peranan ibu bapa, pendidik, penggiat industri kreatif dan pembuat dasar amat penting dalam usaha ini.
Mengawal masa skrin sahaja tidak mencukupi; perbincangan, penjelasan dan refleksi bersama perlu diperkukuh.
Pada masa sama, garis panduan etika penghasilan animasi digital perlu dipertimbangkan, khususnya bagi kandungan yang menyasarkan audiens rentan.
Kesimpulannya, animasi bukan sekadar elemen hiburan dalam dunia digital, tetapi satu kuasa komunikasi dan juga ejen pemindahan ilmu yang semakin dominan dalam membentuk persepsi masyarakat.
Seperti yang ditegaskan oleh kepimpinan universiti dan sarjana, cabaran sebenar hari ini ialah memastikan masyarakat memiliki literasi animasi yang mencukupi untuk mentafsir visual secara kritikal dan beretika.
Visual yang comel tidak semestinya membawa mesej yang baik, dan mesej yang ringkas tidak semestinya benar.
Dalam usaha membina masyarakat digital yang matang dan berdaya tahan, animasi perlu difahami sebagai medium yang menuntut tanggungjawab bersama, bukan sekadar sebagai hiburan.
- Created on .
- Hits: 31