BERITA DALAM TALIAN: SYARAHAN KERIS MAS KALI KE-4 ANGKAT NILAI PEMIKIRAN MELAYU DALAM SAUDAGAR BESAR DARI KUALA LUMPUR
Dewan Budaya
Syarahan Keris Mas Kali Ke-4 Angkat Nilai Pemikiran Melayu dalam Saudagar Besar dari Kuala Lumpur
Oleh Zafirah Nuraina Mohd Naziar | 25 Jun 2025
Pulau Pinang – Syarahan Keris Mas Kali Ke-4 yang berlangsung di Dewan Pembangunan Siswa 1, Universiti Sains Malaysia (USM), pagi tadi, mengangkat nilai pemikiran Melayu dalam novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur karya Sasterawan Negara (SN) Keris Mas.
Menurut Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBrs. Prof. Dr. Goh Sang Seon, nilai pemikiran Melayu yang terdapat dalam Novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur karya Sasterawan Negara (SN) Keris Mas dapat diterjemahkan untuk pemahaman masyarakat pelbagai kaum, khususnya melalui penterjemahan silang budaya antara masyarakat Melayu dengan Cina.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan utama bertajuk “Keutuhan Masyarakat Madani melalui Terjemahan Pemikiran Melayu dalam Saudagar Besar dari Kuala Lumpur” yang dikendalikan oleh pensyarah bebas, YBrs. Dr. Raja Rajeswari Settha Raman sebagai moderator.

Beliau menjelaskan bahawa novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur dipilih sebagai teks utama perbincangan dalam program tersebut kerana ketersediaan terjemahan, latar Dasar Ekonomi Baharu (DEB), dan konflik antara pemikiran tradisi dengan moden yang memaparkan hubungan antara masyarakat Melayu dengan Cina.
Novel ini telah diterjemahkan ke bahasa Mandarin oleh Datin Lee Ngeok Lan dan diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) pada tahun 2015.
“Pemilihan karya ini bertepatan kerana menampilkan pertembungan pemikiran tradisi dengan moden, serta menggambarkan hubungan antara etnik Melayu dengan Cina dalam konteks pembangunan ekonomi negara,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Sains Malaysia (USM), YBrs. Profesor Dr. Habibah A. Wahab dalam ucapan perasmiannaya berkata, Keris Mas bukan sekadar penerima Anugerah Sasterawan Negara yang pertama, tetapi pembentuk pemikiran rakyat, pemacu kesedaran nasional dan penyumbang besar terhadap usaha penginstitusian sastera kebangsaan pascamerdeka.

“Karya sastera pada hari ini dilihat mampu mendidik empati, menggalakkan kefahaman rentas budaya dan menanamkan rasa tanggungjawab moral dalam masyarakat berpengetahuan.
“Aspek yang terkandung dalam karya sastera juga penting untuk mencorak nilai kemanusiaan, kefahaman antara tamadun dan keutuhan identiti bangsa.” katanya.
Dalam ucapan alu-aluan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari yang dibacakan oleh Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa, beliau berkata, pelaksanaan Syarahan Keris Mas Kali Ke-4 merupakan satu daripada usaha DBP untuk mengangkat sastera sebagai wadah penyatuan ilmu dan budaya, merentas batas sains, teknologi dan kemanusiaan.
“Sastera dan terjemahan merupakan dua disiplin yang saling melengkapi dalam membina jalinan persefahaman antara kaum dan tamadun,” katanya.

Program anjuran DBP melalui Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan dengan kerjasama Pusat Penerbitan USM ini bertujuan untuk memperkaya wacana intelektual kesusasteraan kebangsaan melalui pandangan menyeluruh (Weltanschauung), khususnya daripada tokoh luar bidang sastera.
Pendekatan ini memperlihatkan kesusasteraan sebagai bidang yang merentas disiplin, serta relevan dalam pelbagai cabang ilmu seperti sains, teknologi dan kejuruteraan, sekali gus memperluas jangkauan khalayaknya.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengarah DBP Wilayah Utara, YBrs. Encik Sharrul Rizal Hashim; Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, YBrs. Encik Saifullizan Yahaya; YBrs. Dr. Muhammad Amir Kamaluddin (anak SN Keris Mas), Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (2PNP), Persatuan Karyawan Pulau Pinang, para pensyarah, mahasiswa USM dan pelajar sekolah.
- Created on .
- Hits: 25