USM NEWS PORTAL 

BERITA DALAM TALIAN: HUBUNGAN HARMONIS SAUDAGAR MELAYU DENGAN CINA DALAM SAUDAGAR BESAR DARI KUALA LUMPUR

Dewan Sastera
Hubungan Harmonis Saudagar Melayu dengan Cina dalam Saudagar Besar dari Kuala Lumpur
Oleh Zafirah Nuraina Mohd Naziar | 26 Jun 2025

Pulau Pinang – Novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur menampilkan usaha sama saudagar Melayu dengan saudagar Cina sehingga terbentuknya situasi menang-menang dalam dunia perniagaan.

Hal ini secara tidak langsung memberikan gambaran bahawa hubungan perniagaan antara orang Melayu dengan Cina terjalin dengan mesra, harmoni dan sama-sama mendapat faedah yang diinginkan.

Demikian menurut YBrs. Profesor Dr. Goh Sang Seong, Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merangkap Pengarah Pusat Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM) ketika menyampaikan Syarahan Keris Mas Kali ke-4 yang bertajuk “Keutuhan Masyarakat MADANI melalui Terjemahan Pemikiran Melayu dalam Saudagar Besar dari Kuala Lumpur” di Dewan Pembangunan Siswa 1, USM pagi semalam.

Beliau menjelaskan, Saudagar Besar dari Kuala Lumpur menampilkan bagaimana peniaga Melayu boleh berjaya kerana mampu menangkis segala taktik yang mungkin dipermainkan dan dipergunakan oleh peniaga Cina yang berkongsi perniagaan dengan mereka.

Sasterawan Negara Keris Mas sebagai pengarang novel itu telah meletakkan sempadan bahawa orang Melayu juga tergolong dalam kelompok peniaga yang bijak dan mengetahui pelbagai taktik dalam dunia perniagaan.

Tambah beliau, “Jika kita ikuti ekonomi semasa negara, gambaran itu sangat relevan pada masa kini.

 

“Setiap pengurusan tertinggi syarikat korporat diterajui oleh pelbagai kaum dan masing-masing memainkan peranan yang agak khusus dalam pentadbirannya.”

Menariknya lagi, Keris Mas menggunakan kata pinjaman Cina, iaitu ‘tauke’. Walaupun pada zaman 70-an dan 80-an, pengaruh bahasa Inggeris sangat menebal, tetapi pengarang tetap menggunakan kata pinjaman itu.

Secara tidak langsungnya, perkataan ‘tauke’ telah menjadi bahasa basahan dalam masyarakat di Malaysia, menunjukkan betapa orang Melayu mengiktiraf peranan rakan-rakan Cina dalam dunia perniagaan.

Mengulas lanjut, pemilihan diksi ini sememangnya difokuskan untuk pembaca dalam masyarakat Malaysia. Apabila perkataan ini sentiasa diguna pakai sebagai bahasa basahan, secara tidak langsungnya akan terbinanya rasa kekitaan dalam masyarakat Cina di Malaysia.

Novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur memaparkan kemunculan ahli korporat Melayu dalam dunia peniagaan yang penuh persaingan dan cabaran.

Pelbagai tipu daya, muslihat, taktik, dan strategi digunakan dalam dunia perniagaan yang materialistik. Walau bagaimanapun, pembangunan ekonomi yang dimiliki perlulah seiring dengan nilai moral dan agama agar tidak tersasar daripada akidah serta tidak merosakkan bangsa.

Majlis tersebut disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dr. Habibah A. Wahab, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM yang turut menzahirkan penghargaan atas kerjasama erat antara DBP dengan USM dalam menjayakan majlis ilmu ini.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Encik Sharrul Rizal bin Hashim, Pengarah DBP Wilayah Utara; Encik Saifullizan Yahaya, Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera; Dr. Muhammad Amir Kamaluddin, anak Keris Mas; Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (2PNP); Persatuan Karyawan Pulau Pinang; para pensyarah; serta mahasiswa USM.

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
 

Keratan Akhbar

  • Created on .
  • Hits: 22

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024