BERITA DALAM TALIAN: MENCAPAI KEBAHAGIAAN, KEREDAAN ALLAH SWT
myMetro On-line
Mencapai kebahagiaan, keredaan Allah SWT
18 Mac 2025
Umat Islam membaca Al Quran dan bertadarus bersama di Masjid sempena bulan Ramadhan. FOTO AHMAD UKASYAH
Perkataan penghayatan berasal daripada bahasa Arab 'hayah' yang bererti hidup atau kehidupan. Apabila disebut penghayatan sesuatu bererti menghidupkan atau menjadikannya sebagai sesuatu yang hidup dengan sentiasa dipelihara, dijaga dan diberi perhatian agar dapat berfungsi dengan sewajarnya.
Bertitik-tolak dari sini, dapatlah difahami bahawa perkara yang dimaksudkan dengan penghayatan al-Quran itu ialah memelihara dan memberi perhatian kepadanya. Hal ini boleh berlaku sama ada melalui usaha-usaha membaca, memahami dan seterusnya mengamalkannya agar ia dimanfaatkan di dalam pelbagai lapangan kehidupan, sehingga meninggalkan kesan yang diharap-harapkan dalam diri individu dan masyarakat.
Sesuatu itu dianggap hidup apabila ia mempunyai roh dan tenaga. Tanpa roh dan tenaga segala pergerakan akan terhenti dan sesuatu itu akan menjadi kaku, beku dan mati. Begitulah dengan penghayatan al-Quran, ia mestilah menampakkan pergerakan yang aktif dalam kehidupan umat Islam. Tanpa pergerakan seperti ini bererti tiada penghayatan yang berlaku.
Kerana itulah peranan al-Quran tidak terasa dalam kehidupan umat Islam, malah ia seolah-olah tidak mempunyai roh lagi. Sedangkan Allah SWT sendiri menurunkan al-Quran sebagai roh, sepertimana dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu roh (al-Quran) daripada urusan Kami." (Surah al-Syuara' ayat 52)
Roh ialah rahsia kehidupan sesuatu. Oleh itu, perhatian hendaklah sentiasa diberikan untuk menyubur dan memperkembangkannya agar roh dapat memainkan peranannya dalam pembinaan diri umat Islam.
Semua umat Islam perlu beriman bahawa al-Quran adalah wahyu Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui malaikat Jibril untuk disampaikan kepada seluruh umat manusia sebagai pedoman dan petunjuk dalam kehidupan.
Hidup berpandukan pedoman dan petunjuk al-Quran membolehkan seseorang itu mencapai kebahagiaan dan keredaan Allah SWT di dunia dan di akhirat.
Perkara ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan rasul-Nya dan (kepada) kitab (al-Quran) yang telah diturunkan kepada Rasul-Nya (Muhammad) dan juga kepada kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur (ingkar) kepada Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para rasul-Nya dan hari akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan (yang) sejauh-jauhnya." (Surah al-Nisa' ayat 136)
Ayat ini membuktikan beriman kepada kitab suci al-Quran dan menjadikan isi kandungannya sebagai pedoman dan panduan hidup, adalah suatu kewajipan bagi semua umat Islam. Tidak ada seorang Mukmin pun yang boleh mengatakan isi dan suruhan di dalam al-Quran tidak sesuai pada zaman moden ini. Bagi orang-orang yang mengatakan sedemikian, dengan maksud menghina dan memperkecilkan isi kandungan al-Quran, sesungguhnya ia menjadi kufur. Pada Hari Akhirat kelak ia akan diazab oleh Allah SWT.
Meskipun telah lama al-Quran diwahyukan, namun isi kandungannya tetap utuh dan segar. Ia tidak sedikitpun terjejas oleh peredaran zaman yang begitu lama. Hal ini kerana isi kandungannya itu berupa kebenaran mutlak yang terpancar dari alam ketuhanan Yang Maha Tinggi.
Tambahan pula, ia diberi jaminan oleh Allah SWT dalam pemeliharaannya. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan sesungguhnya Kamilah yang benar-benar memeliharanya." (Surah al-Hijr ayat 9)
Ramai umat Islam kini memandang ringan dan sambil lewa terhadap al-Quran. Mereka hanya mendekati al-Quran dalam upacara tertentu sahaja. Ada juga yang meminati al-Quran sekadar untuk menikmati kemerduan dan kelunakan bacaannya sahaja sebagai suatu adat. Sesuatu yang amat menyedihkan apabila terdapat sesetengah orang yang hanya membaca al-Quran pada majlis kematian; terdapat juga orang-orang tertentu yang menggunakan ayat-ayat suci al-Quran untuk tujuan mengemis, malah ada juga yang menggunakannya untuk dibuat azimat atau amalan tertentu.
Sesungguhnya al-Quran diwahyukan oleh Allah SWT untuk dibaca, difahami, dihayati maknanya seterusnya menjadikan ia sebagai panduan hidup. Firman Allah SWTyang bermaksud: "(Al-Quran ini) sebuah kitab yang Kami turunkan kepada kamu (dan umat kamu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar." (Surah Sad ayat 29)
Menurut Imam al-Zarqaniy dalam Kitab Manahil al-'Irfan fi 'Ulum al-Quran, umat Islam kini tidak akan maju sekiranya mereka tidak memberi penghayatan kepada ajaran al-Quran, yang merupakan sumber kebahagiaan di dunia mahupun akhirat. Begitu juga dengan pengamalan ajaran al-Quran, ia tidak dapat diamalkan melainkan setelah difahami makna dan maksudnya.
Perlu ditegaskan bahawa semua fakta yang terkandung dalam al-Quran adalah mutlak sifatnya. Sama saja seperti fakta yang dimanifestasikan oleh alam semesta ini. Jika alam ini merupakan ayat-ayat atau ungkapan yang diam membisu, tetapi dapat dibaca atau diperoleh idea dan pengajaran daripadanya, maka ayat-ayat al-Quran pula merupakan alam yang berkata-kata, yang memperkenalkan kepada manusia akan Tuhannya, membimbing serta menerajui mereka dengan wajar melalui liku-liku hidup di dunia ini.
Pengajian tentang al-Quran dari pelbagai sudutnya adalah penting untuk memahami isi kandungannya serta meletakkan nilainya yang wajar dalam kehidupan manusia. Pengajian ini juga seterusnya bertujuan untuk dihayati dan dijadikan panduan dan pedoman dalam segala bidang kehidupan.
Hal ini kerana kehidupan yang tidak berpandukan kebenaran akan terus menderita dan sengsara dilanda berbagai krisis dan sentiasa dikunjungi bermacam-macam masalah yang kian hari semakin parah.
Misalnya, pada abad kebelakangan ini kepemimpinan hidup telah diterajui oleh 'isme' sekular, atheistik, dan materalistik yang melepaskan diri daripada bimbingan wahyu Allah SWT. Malah, memisahkan sebarang urusan agama dengan segala urusan hidup.
Pada abad ini, kita sedang menyaksikan pelbagai situasi kacau-bilau dan porak-peranda sebagai akibat daripada keangkuhan serta kebodohan manusia yang tertipu dengan keupayaan akalnya sendiri. Kononnya ideologi dan 'isme' yang mereka cipta dan dukungi itu dapat menyelesaikan semua masalah yang dihadapi, malah sentiasa menjanjikan segala kemewahan yang sangat diidamkan dalam kehidupan ini.
Namun begitu, kenyataan dunia kini benar-benar mengecewakan harapan mereka. Dunia kian hari semakin parah, berbagai masalah semakin bertambah dan tamadun moden tergugat.
Pada ketika masyarakat kapitalis gempar dengan gejala penyakit Aids yang merebak dengan begitu cepat dan menggugat masa depan tamadun mereka, tiba-tiba dunia dikejutkan dengan kehancuran Tembok Berlin yang menandakan kemuflisan ideologi Marxis yang menguasai Eropah Timur sejak Revolusi Bolshevik pada 1917.
Jadi, untuk menyelamatkan dunia daripada kehancuran, kepemimpinan mestilah dipandukan kebenaran mutlak yang hanya didapati dalam al-Quran iaitu wahyu Allah SWT yang terakhir untuk semua manusia.
Perkara ini tentunya meletakkan tanggungjawab kepimpinan yang amat berat kepada umat Islam, iaitu kepimpinan yang bertujuan untuk menyelamatkan dunia ini serta mengembalikan kedamaian, keamanan dan keselesaan hidup kepada setiap penghuni dunia ini.
Umat Islam tidak mungkin dapat melaksanakan peranan besar lagi mencabar ini sekiranya gagal menghayati ajaran al-Quran. Umat Islam seharusnya kembali menghayati al-Quran sebagaimana yang dihayati oleh umat Islam pada zaman awal Islam dahulu. Terutamanya pada zaman Rasulullah SAW dan sahabatnya.
Penulis Pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM)
- Created on .
- Hits: 32