BERITA DALAM TALIAN: KERAJAAN KELANTAN SALUR DANA KAJIAN KESAN PENYALAHGUNAAN MAGIC MUSHROOM
Sinar Harian Online
Kerajaan Kelantan salur dana kajian kesan penyalahgunaan magic mushroom
Oleh Adila Sharinni Wahid | 16 Mac 2025
Kajian dijalankan untuk mengenal pasti kaedah mengesan penyalahgunaan dadah jenis magic mushroom. Foto hiasan
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan telah menyalurkan dana berjumlah RM30,000 bagi menjalankan kajian untuk mengenal pasti kaedah terbaik dalam mengesan penyalahgunaan dadah jenis magic mushroom melalui rokok elektronik atau vape.
Exco Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad berkata, kajian tersebut sedang dilaksanakan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, dan dijangka mengambil tempoh dua tahun.
Menurutnya, dana tersebut telah diluluskan tahun lalu dan kini kajian sedang berjalan bagi membangunkan kaedah pengesanan yang lebih berkesan terhadap penyalahgunaan dadah tersebut.
“Kajian ini bertujuan mengenal pasti kesan kimia yang terhasil dalam badan individu selepas mengambil magic mushroom, sekali gus membolehkan satu kaedah ujian yang lebih tepat dibangunkan.
"Magic mushroom merupakan dadah yang sukar dikesan menggunakan kaedah sedia ada seperti ujian air kencing atau darah. Oleh itu, penyelidikan ini amat penting bagi memastikan pihak penguat kuasa memiliki alat pengesanan yang lebih efektif," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Libat Urus Isu Pencegahan dan Penyalahgunaan Dadah Negeri Kelantan 2025 di sebuah hotel di Tunjong, pada Ahad.
Tambahnya, penyelidikan yang dikendalikan oleh penyelidik USM itu turut membabitkan kajian terhadap bahan kimia yang terhasil selepas dadah itu diproses dalam tubuh manusia.
Zamakhshari turut menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan kes penyalahgunaan magic mushroom, yang mudah diperoleh secara dalam talian dan semakin popular dalam kalangan golongan muda.
"Mereka sering menggunakannya tanpa menyedari kesan buruknya, termasuk halusinasi berpanjangan serta masalah kesihatan mental.
"Kerajaan negeri melihat masalah ini sebagai satu ancaman serius yang memerlukan tindakan segera," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan kerjasama erat daripada pelbagai pihak, termasuk polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), bagi memantau penjualan dadah ini secara dalam talian.
Zamakhshari menegaskan bahawa usaha membanteras penyalahgunaan magic mushroom memerlukan sinergi antara kerajaan negeri, institusi akademik, dan agensi penguat kuasa.
“Kami berharap hasil kajian ini dapat digunakan dalam sistem pengesanan dadah di peringkat negeri dan kebangsaan supaya penyalahgunaannya dapat dibendung sebelum menjadi lebih berleluasa.
“Pada masa sama, pendidikan dan kesedaran dalam kalangan masyarakat, terutama ibu bapa dan guru, juga perlu dipertingkatkan supaya mereka dapat mengenali tanda-tanda awal penyalahgunaan dadah ini dalam kalangan anak-anak serta pelajar,” katanya.
“Kami berharap hasil kajian ini dapat digunakan dalam sistem pengesanan dadah di peringkat negeri dan kebangsaan supaya penyalahgunaan magic mushroom dapat dibendung sebelum menjadi lebih berleluasa.
“Pada masa sama, pendidikan dan kesedaran dalam kalangan masyarakat terutama ibu bapa dan guru juga perlu dipertingkatkan supaya mereka dapat mengenali tanda-tanda awal penyalahgunaan dadah tersebut dalam kalangan anak-anak serta pelajar,” katanya.
- Created on .
- Hits: 51