USM NEWS PORTAL 

BERITA DALAM TALIAN: SAKIT GIGI BOLEH BAWA MAUT!

My Metro
Sakit gigi boleh bawa maut!
Oleh Nurul Husna Mahmud | 9 Februari 2025 

RAWATAN segera elak bakteria merebak. - FOTO Pexels
RAWATAN segera elak bakteria merebak. - FOTO Pexels

Meskipun ramai beranggapan sakit gigi disusuli bengkak gusi adalah sesuatu yang biasa, implikasinya boleh menyebabkan kehilangan nyawa.

Komplikasi jangkitan kuman biasanya bermula daripada dua masalah utama iaitu karies gigi (gigi berlubang) dan penyakit gusi.

Ia boleh berlanjutan menjadi abses otak yang jarang berlaku atau Ludwig's angina yang berisiko kehilangan nyawa.

Senario komplikasi akibat sakit gigi atau bengkak gusi lebih tinggi apabila ramai mengambil mudah mengenai rawatan awal bagi masalah gigi terbabit.

Menurut Pensyarah Pergigian Pelatih Pembedahan Oral dan Maksilofasial di Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Fattirah Auni Fauzi, jangkitan kuman dari gigi bukan sahaja menyebabkan kesakitan, malah boleh merebak ke bahagian muka, otak dan saluran pernafasan jika tidak dirawat.

"Kebanyakan kes membabitkan jangkitan kuman bermula daripada dua masalah gigi utama iaitu karies gigi (gigi berlubang) dan penyakit gusi.

"Karies gigi terjadi apabila lapisan enamel gigi rosak akibat asid yang dihasilkan bakteria.

"Jika tidak dirawat, kerosakan ini boleh mencecah pulpa gigi iaitu tisu lembut di tengah gigi seterusnya menyebabkan jangkitan," katanya.

Tambah pakar itu lagi, penyakit gusi pula bermula dengan keradangan gusi ('gingivitis') akibat plak bakteria yang terkumpul di celah gigi dan gusi.

Jika tidak dikawal, ia boleh berkembang menjadi 'periodontitis,' apabila bakteria menyusup ke tisu yang lebih dalam, merosakkan struktur tisu di sekeliling gigi. Bakteria terbabit boleh merebak ke bahagian lain lebih berisiko.

"Jangkitan yang bermula dari gigi dan gusi boleh merebak ke bahagian lain. Jika jangkitan bermula dari gigi atas, ia boleh merebak ke bahagian sinus sehingga menyebabkan keradangan sinus atau lebih teruk, ke bahagian otak.

"Satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of Clinical and Experimental Dentistry pada 2020 melaporkan mengenai jangkitan dari gigi atau tisu sekeliling gigi adalah antara penyebab nanah atau abses otak yang jarang berlaku, tetapi berbahaya.

"Bagi gigi bawah, jangkitan boleh merebak ke kawasan leher dan saluran pernafasan. Dalam kes yang lebih serius, ia boleh menyebabkan 'Ludwig's angina," katanya.

Fattirah Auni menjelaskan Ludwig's angina ialah keadaan apabila saluran pernafasan akan tertutup akibat bengkak yang teruk.

BENGKAK gusi yang semakin serius.
BENGKAK gusi yang semakin serius.

BENGKAK yang dijangkiti kuman.
BENGKAK yang dijangkiti kuman.

"Menurut kajian yang diterbitkan dalam International Journal of Oral and Maxillofacial Surgery pada 2019, Ludwig's angina memerlukan rawatan segera kerana risiko komplikasi maut.

"Bagaimanapun, kajian dari The American Journal of Emergency Medicine menyatakan kadar kematian akan menurun secara drastik dari 50 peratus kepada lapan peratus jika pesakit mendapat rawatan mencukupi.

"Rawatan yang diberikan dalam kes komplikasi jangkitan kuman membabitkan masalah gigi berbeza mengikut tahap serius penyakit itu," katanya.

"Sementara itu, rawatan akar gigi adalah pilihan utama jika jangkitan mencapai pulpa gigi iaitu tisu lembut di tengah gigi yang mengandungi saraf dan salur darah.

"Prosedur ini membabitkan prosedur pembersihan kawasan dijangkiti untuk membuang tisu rosak dan bakteria. Selepas itu, saluran akar akan diisi dan ditutup dengan bahan tampalan untuk mencegah jangkitan semula.

"Proses ini bukan sahaja membantu menyelamatkan gigi yang terjejas, tetapi juga memastikan fungsi gigi dapat dikekalkan untuk jangka masa panjang," katanya.

Beliau juga menambah, pengambilan antibiotik pula diperlukan apabila jangkitan sudah merebak ke kawasan sekeliling atau ke bahagian tubuh lain.

"Antibiotik bertindak untuk mengawal penyebaran bakteria dan mengurangkan keradangan. Bagaimanapun, antibiotik bukanlah pengganti rawatan mekanikal seperti pembersihan akar gigi atau pembedahan.

"Kaedah ini hanya digunakan sebagai rawatan tambahan untuk menangani jangkitan yang lebih serius. Penting untuk mengambil antibiotik mengikut dos disarankan oleh doktor gigi bagi memastikan keberkesanannya," katanya.

Sementara itu, dalam kes jika abses atau nanah terjadi, pembedahan mungkin diperlukan untuk mengeluarkan nanah atau membuang tisu yang dijangkiti.

Prosedur ini membabitkan pemotongan kecil kawasan terjejas membantu mengurangkan tekanan dan kesakitan, serta mencegah penyebaran jangkitan ke kawasan lain.

Jika gigi yang dijangkiti tidak dapat diselamatkan, gigi dicabut menjadi langkah terakhir menghentikan penyebaran jangkitan.

Pesakit juga disarankan mempertimbangkan rawatan penggantian gigi seperti implan untuk memastikan keseimbangan gigitan dan fungsi mulut.

Keratan Akhbar

  • Created on .
  • Hits: 36

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024