BERITA DALAM TALIAN: TUN AHMAD FUZI TERIMA IJAZAH KEHORMAT DOKTOR PERHUBUNGAN ANTARABANGSA USM
Astro Awani
Tun Ahmad Fuzi terima Ijazah Kehormat Doktor Perhubungan Antarabangsa USM
Bernama | 18 November 2024
Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Perhubungan Antarabangsa bersempena Upacara Konvokesyen USM. - Gambar fail/ Bernama
GEORGE TOWN: Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Perhubungan Antarabangsa bersempena Upacara Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) ke-62, yang akan berlangsung esok hingga 26 Nov ini.
Naib Canselor USM Profesor Datuk Seri Dr Abdul Rahman Momamed berkata Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail merangkap Canselor USM berkenan berangkat menyampaikan anugerah tersebut pada sidang pertama, esok.
"Tuan Yang Terutama Tun (Ahmad Fuzi) dianugerahkan dengan Ijazah Kehormat Doktor Perhubungan Antarabangsa sebagai penghargaan atas jasa dan sumbangan besar beliau kepada negara.
"Selain itu, anugerah ini adalah pengiktirafan tertinggi atas pengalaman luas Tun Ahmad Fuzi dalam bidang pentadbiran dan perkhidmatan awam, diplomasi antarabangsa, pembangunan ekonomi dan kepimpinan merentas pelbagai sektor," katanya pada sidang media khas Upacara Konvokesyen ke-62 USM di sini hari ini.
Selain Tun Ahmad Fuzi, Abdul Rahman berkata USM turut mengiktiraf tokoh korporat terkemuka negara dengan memberikan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada Pengerusi Prasarana Tan Sri Jamaludin Ibrahim.
Beliau berkata ia sebagai menghargai sumbangan luar biasa Jamaludin terhadap transformasi digital dan telekomunikasi di seluruh dunia serta pertumbuhan sektor pengangkutan awam negara.
Sementara itu, beliau berkata gelaran Profesor Emeritus pula dianugerahkan kepada dua tokoh akademia USM yang banyak berjasa dalam pembangunan ilmu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa iaitu Datuk Dr Chan Ngai Weng dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan dan Profesor Kehormat Pusat Pengajian Sains Kajihayat Dr Abu Hassan Ahmad.
Beliau berkata Chan yang turut dikenali dengan gelaran "Malaysia's Waterman", banyak memberi sumbangan kepakaran dalam bidang pengurusan sumber air lestari manakala Abu Hassan sangat dihormati dalam bidang penyelidikan berkaitan kawalan vektor dan penyakit bawaan nyamuk serta pengurusan perosak yang lestari.
"Sebanyak 8,971 graduan akan menerima ijazah masing-masing termasuk 3,396 bagi Ijazah Tinggi Doktor Falsafah (PhD) dan Sarjana, Ijazah Sarjana Muda (5,508) dan 56 graduan Diploma Kejururawatan pada upacara konvokesyen yang berlangsung selama lapan hari ini," katanya,
Terdahulu pada sidang media tersebut, Abdul Rahman turut memperkenalkan lima graduan cemerlang yang bakal menerima anugerah masing-masing pada upacara konvokesyen esok.
-- BERNAMA
- Created on .
- Hits: 115