BERITA DALAM TALIAN: KEPAYAHAN IBU DORONG WONG YONG JIE RANGKUL ANUGERAH PELAJARAN DIRAJA
Kepayahan Ibu Dorong Wong Yong Jie Rangkul Anugerah Pelajaran Diraja
GEORGE TOWN, 18 Nov (Bernama) -- Diuji dengan kehilangan bapa ketika berusia lapan tahun dan melihat kepayahan ibu membesarkan dua anak sendirian menguatkan tekad Wong Yong Jie berusaha mengubah nasib keluarga.
Wong, 23, ialah penerima Anugerah Pelajaran Diraja oleh Majlis Raja-raja Malaysia bagi Kategori Bukan Bumiputera bersempena Upacara Konvokesyen ke-62 Universiti Sains Malaysia (USM).
Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanik (Kepujian) itu berkata awalnya dia bukan seorang pelajar cemerlang namun ibunya Ooi Siew Lee, 58, yang sering menitipkan nasihat bahawa hanya dengan ilmu mampu mengubah nasib hidup membuatkan dia bersemangat untuk belajar.
“Selepas kematian bapa akibat kemalangan jalan raya pada 2009, ibu mengambil tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan berniaga barangan perkakasan secara kecil-kecilan bagi menampung kehidupan serta pelajaran saya dan abang.
“Ketika di Tingkatan Satu, saya pernah diejek rakan-rakan kerana tidak ada bapa dan itulah yang menjadi titik tolak kepada saya untuk tidak menoleh ke belakang. Saya berjanji dengan diri sendiri untuk bekerja keras demi masa depan lebih baik buat kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui pada sidang media khas dan pengenalan graduan cemerlang di sini hari ini.
Wong berkata dia bersyukur usahanya itu membuahkan hasil sekali gus membuktikan bukan sekadar berjaya menggenggam segulung ijazah tetapi juga terpilih antara penuntut cemerlang.
“Kejayaan ini juga hadiah buat ibu yang bersusah payah memastikan saya mendapat pendidikan terbaik selain menjadi tulang belakang penting dalam hidup saya,” tambahnya.
Mengenai perancangan masa depan, anak jati Kepala Batas itu berhasrat menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah secara laluan pantas dalam bidang sama dan mahu menabur bakti sebagai pensyarah di USM suatu hari nanti.
Sementara itu, penerima Hadiah Pingat Emas USM bagi pelajar kelainan upaya (PKU) Nurul Asyiqin Shafie, 23, tidak menganggap kekurangan diri sebagai penghalang untuk menggapai apa yang diimpikan.
Meskipun pihak universiti menyediakan kemudahan kepada pelajar sepertinya namun anak kelahiran Setiu, Terengganu itu lebih suka mencabar diri sendiri dan tidak mahu dibeza-bezakan dengan pelajar normal yang lain.
“Saya mengalami kemalangan ketika membonceng motosikal dengan sepupu menyebabkan urat pada keempat-empat jari kaki kanan putus dan terpaksa dipotong 15 sentimeter. Sejak itu saya tidak boleh melakukan aktiviti lasak.
“Ketika semester terakhir pula saya terlibat dengan kemalangan kecil menyebabkan kaki kiri pula retak dan terpaksa bergantung pada kaki kanan. Doktor berikan saya cuti 58 hari tapi saya ambil risiko dengan hanya bercuti selama empat hari sahaja kerana tidak mahu menangguhkan pengajian, jika tidak saya mungkin akan terlepas sesi konvokesyen ini,” kata anak kedua daripada empat beradik itu.
Biarpun berdepan pelbagai halangan namun graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Tesol (Kepujian) itu akhirnya berjaya membuktikan kejayaan boleh dicapai asalkan ada kemahuan dan tidak berputus asa.
Nurul Asyiqin yang kini mengajar tuisyen dalam talian secara sambilan turut mendedikasikan kejayaan itu buat bapanya Shafie awang, 61, yang bekerja sebagai mekanik dan ibu Maziah Hamid,45, yang menghidap sakit buah pinggang.
Selain Wong dan Nurul Asyiqin, tiga lagi graduan cemerlang turut menerima anugerah masing-masing pada upacara konvokesyen yang berlangsung selama lapan hari bermula esok hingga 26 Nov.
-- BERNAMA
- Created on .
- Hits: 148