BERITA DALAM TALIAN: TIADA KENDERAAN UNTUK DAFTAR DIRI, USM JEMPUT SENDIRI PELAJAR ORANG ASLI DARI PERAK
Berita Harian
Tiada Kenderaan Untuk Daftar Diri, Usm Jemput Sendiri Pelajar Orang Asli dari Perak
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof | 4 Oktober 2024
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed (kiri) beramah mesra dengan pelajar Orang Asli, Khaikal Jaafar, 19, (kanan) dan pelajar kelainan upaya (OKU), Siti Nur Aishah Abdul Rani, 20, (dua dari kanan) pada pendaftaran sidang akademik 2024/2025 di Dewan Utama Desasiswa USM. - Foto NSTP/DANIAL SAAD
GEORGERTOWN: Tidak mahu pelajar ketinggalan meneruskan pengajian, Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif mengambil sendiri calon untuk mendaftar ke universiti itu, hari ini.
USM menjemput pelajar Orang Asli, Khaikal Jaafar, 19, dari Kampung Kepayang, Simpang Pulai, Perak selepas dimaklumkan pelajar itu ada kesulitan kerana tidak mempunyai kenderaan untuk mendaftar hari ini.
Pelajar cemerlang yang meraih 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan PNGK 3.95 ketika menuntut di Matrikulasi Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar itu, berkata dia adalah anak pertama dalam keluarganya yang berjaya menyambung pengajian di universiti.
"Ketika saya mendaftar matrikulasi dulu, saya angkut barang naik bas dan tiada sesiapa teman, semua saya buat sendiri dan kali ini istimewanya pihak USM sanggup datang jauh-jauh masuk sampai ke dalam kampung, untuk ambil saya seorang naik van.
"Semalam, van USM sampai di rumah keluarga saya di Perak kira-kira 7 malam semalam.
"Sebenarnya sangat jarang Orang Asli di kampung saya masuk universiti, dan dalam keluarga saya sendiri, saya ada dua kakak belajar sehingga tamat SPM manakala dua abang dan adik belajar setakat darjah enam.
"Jadi kisah saya masuk universiti ini sebenarnya agak 'viral' di kampung dan saya pernah dapat anugerah dari Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) peringkat kebangsaan kerana cemerlang dalam bidang akademik," katanya ditemui pada hari pendaftaran di USM, hari ini.
Khaikal, anak kelima daripada enam beradik itu memilih bidang Pendidikan Khas berharap dapat membanggakan bapanya, Jaafar Yok Tah Toh, 60, dari suku Temiar dan ibunya Rohani Uda, 48, suku Semai dan kembali berbakti kepada komuniti tempatnya dibesarkan selepas tamat pengajian kelak.
Seramai 4,807 calon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi, Asasi, Diploma menerima tawaran mengikuti program Ijazah Sarjana Muda dan Diploma mendaftar sebagai pelajar baharu USM bagi sidang akademik 2024/2025.
Sementara itu sepasang adik-beradik kembar mengambil langkah kreatif menjual pin tudung buatan sendiri menerusi aplikasi TikTok dalam usaha menampung perbelanjaan menyambung pelajaran ke menara gading.
Usaha Ainul Kamilah Zolkifly, 19, dan adiknya Ainul Mardhiah, 19, membuahkan hasil apabila mereka bukan saja berjaya menjual lebih 1,000 pin dalam tempoh dua bulan.
Kedua-duanya remaja itu ditawarkan mengikuti pengajian perakaunan.
Ainul Kamilah dan Ainul Mardhiah yang masing-masing memperoleh purata nilai gred terkumpul (PNGK) 4.0 semasa menuntut di Kolej Matrikulasi Pahang itu berkata, mereka berdua tidak pernah berpisah sejak kecil selain mempunyai minat serta hobi yang sama.
"Rasa bersyukur ditempatkan dalam bilik penginapan yang sama di USM kerana kami berkongsi laptop serta mesin cetak untuk kemudahan belajar nanti malah kami juga pernah berkongsi telefon bimbit sehingga berusia 18 tahun.
"Kami juga bertekad membalas jasa ibu yang bertungkus-lumus membesarkan kami berdua sejak berpisah dengan bapa ketika kami berusia tujuh tahun," katanya.
- Created on .
- Hits: 173