BERITA DALAM TALIAN: KEKAL GUNA BAHASA MELAYU BUKTI JATIDIRI SEMANGAT CINTAKAN NEGARA
Malaysia Gazette
Kekal Guna Bahasa Melayu Bukti Jatidiri Semangat Cintakan Negara
Oleh Mohd Zaini Samsu Hadi | 4 October 2024
Penerima Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu, Prof. Madya Dr. Indirawati @ Indrawati Zahid (tengah), Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu, Prof. Madya Dr. Rozita Radhiah Said (dua kiri) Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal, Siti Suhaila Samian (empat kiri), Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Novel Anak Lyndon (kanan) dan Prof. Madya Dr. Goh Sang Seong (kiri) bergambar bersama selepas Majlis Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2024 di Dewan Za'ba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 03 OKTOBER 2024
PUTRAJAYA – Penerima-penerima Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2024 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) masing-masing mempunyai pandangan tersendiri mengenai langkah untuk menobatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Dua penerima Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi ketika ditemui MalaysiaGazette menyatakan pentingnya Bahasa Melayu dikekalkan sebagai bahasa pengantara bagi membuktikan jatidiri dan semangat cintakan negara sentiasa subur dalam sanubari rakyat Malaysia.
Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong berkata, beliau telah banyak menerbitkan buku-buku karya ilmiah asli yang membantu penterjemah-penterjemah khususnya daripada bahasa Cina ke dalam bahasa Melayu.
Penerima Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi, Prof. Madya Dr. Goh Sang Seong bergambar pada Majlis Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2024 di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 03 OKTOBER 2024
Katanya, melalui terjemahan ia dapat mengimport ilmu-ilmu dari dunia luar khususnya dalam bahasa Cina ke dalam bahasa Melayu sekaligus dapat mengembangkan keintelektualan individu untuk menguasai bahasa dalam kehidupan.
Tambah beliau, dengan cara itu juga ia dapat memperkenalkan budaya pemikiran dan falsafah masyarakat Melayu kepada dunia luar melalui karya-karya terjemahan yang dihasilkannya.
“Saya berusaha untuk mengantarabangsakan Bahasa Melayu dengan mengadakan kerjasama yang erat dengan pelbagai universiti dan kolej di China yang menawarkan program pengajian Melayu bagi peringkat ijazah pertama,” katanya.
Tidak terhenti di situ beliau menjelaskan, turut mengadakan program mobiliti dengan pelajar-pelajar dari China di Universiti Sains Malaysia untuk enam atau pun 12 bulan bagi mereka mempelajari bahasa dan budaya masyarakat Melayu.
Sementara itu seorang lagi penerima anugerah berkenaan yang merupakan anak jati Sarawak, Profesor. Dr. Novel Anak Lyndon berpendapat, beliau merasakan Bahasa Melayu itu bukan sahaja bahasa ilmu sebaliknya, ia harus menjadi satu bahasa antarabangsa.
Penerima Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Novel Anak Lyndon bercakap ketika ditemubual pada Majlis Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2024 di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 03 OKTOBER 2024
Baginya, seseorang warganegara seharusnya menjadi pencinta bahasa kerana pengunaan Bahasa Melayu itu sendiri boleh dianggap sebagai bahasa Nusantara.
“Bahasa ini melambangkan jatidiri dan budaya serta menunjukkan siapa diri kita yang sebenarnya.
“Untuk mempertingkatkan Bahasa Melayu dalam kehidupan masyarakat di Sarawak misalnya, perlu diadakan program-program tertentu seperti seminar atau simposium untuk memastikan anak-anak muda terlibat dalam penulisan bahasa Melayu dan sebagainya.
“Jangan hanya terikat dengan penggunaan Bahasa Inggeris semata-mata kerana bagi saya di Jepun juga sudah pun diwujudkan supaya warganya dapat mempelajari Bahasa Melayu,” katanya yang merupakan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Tambah beliau, kawasan pertuturan Bahasa Melayu ini besar dan beliau mengharapkan semua pihak menyedarkan anak-anak muda untuk menggunakan bahasa Melayu secara betul. – MalaysiaGazette
- Created on .
- Hits: 92