BERITA DALAM TALIAN: BAHASA MELAYU PERLU DIPERTAHAN, DIANGKAT SEBAGAI BAHASA ILMU – MENTERI
Malaysia Gazette
Bahasa Melayu perlu dipertahan, diangkat sebagai bahasa ilmu – Menteri
Oleh Mohd Zaini Samsu Hadi | 4 October 2024
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bergambar bersama pemenang Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu, Prof. Madya Dr. Indirawati @ Indrawati Zahid (lima kiri), Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu, Prof. Madya Dr. Rozita Radhiah Said (dua kiri) Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal, Siti Suhaila Samian (tujuh kiri), Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Novel Anak Lyndon (kanan) dan Prof. Madya Dr. Goh Sang Seong (kiri) selepas Majlis Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2024 di Dewan Za'ba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 03 OKTOBER 2024
PUTRAJAYA – Bahasa Melayu perlu terus dipertahankan sebagai bahasa Kebangsaan dan diangkat sebagai bahasa ilmu.
Lantaran itu usaha untuk memartabatkannya bukan sekadar menjadi tanggungjawab institusi pendidikan semata-mata sebaliknya, ia perlu ditanamkan dalam jiwa dan sanubari seluruh rakyat Malaysia, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
“Bagi memastikan bahasa Melayu ini bukan hanya berfungsi menjadi bahasa ilmu, tetapi juga dapat berperanan dalam konteks bahasa di peringkat nusantara dan di peringkat dunia.
“Kita (Kementerian Pendidikan Tinggi) telah melaksanakan beberapa inisiatif termasuk mengadakan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di beberapa institusi pendidikan tinggi awam sejak tahun 2023 hinggalah tahun 2030.
“Ini menunjukkan komitmen yang berterusan untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di universiti awam,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penganugerahan Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2024, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini semalam.
Hadir sama pada Majlis berkenaan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dan Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Dr Zaini Ujang.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketikamenghadiri Majlis Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2024 di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 03 OKTOBER 2024
Zambry menegaskan, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai komitmen untuk terus memartabatkan Bahasa Melayu sesuai selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan.
Katanya, ia penting untuk diperingatkan supaya bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan perlu dipastikan dikuasai oleh semua peringkat usia dan harus dipertingkatkan.
Pada masa sama beliau menegaskan, pentingnya untuk menguasai bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Inggeris namun, Bahasa Melayu tidak boleh dipinggirkan.
“Ini adalah realiti yang ada dihadapan kita kerana dunia yang semakin kompleks dan semakin kecil tentunya dengan kepelbagaian bahasa itu merupakan satu kelebihan bagi seseorang pelajar ataupun mahasiswa serta sesiapa sahaja yang ingin menguasai dalam bidang-bidang yang lai.
“Ini adalah satu pendekatan yang harus kita perkenalkan malah, kita juga menggalakkan jabatan-jabatan bahasa di pelbagai universiti untuk memperkenalkan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan juga bahasa-bahasa lain sebagai bahasa pilihan kepada semua mahasiswa dan ini telahpun berjalan sekian lama,” ujarnya.
KPT menganjurkan Majlis Penganugerahan Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM) 2024 yang merupakan tahun ke-13 diadakan.
Ia merupakan satu majlis berprestij bagi mengiktiraf pencapaian ahli-ahli akademik yang telah memperlihatkan dampak penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
Setakat ini, secara kumulatifnya seramai 11 orang ahli akademik IPTA dari pelbagai bidang kepakaran telah dinobatkan sebagai penerima Tokoh Akademik Bahasa Melayu.
Pensyarah Kanan Bahasa Melayu (Semantik Leksikal, Fonetik dan Fonologi, Pragmatik) Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Indirawati @ Indrawati Zahid dinobatkan sebagai Pemenang ATABM tahun ini.
Penerima Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu, Prof. Madya Dr. Indirawati @ Indrawati Zahid bergambar selepas Majlis Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2024 di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 03 OKTOBER 2024
Kemenangan beliau adalah bertepatan dengan karisma dan kesarjanaan dalam arena tempatan mahupun antarabangsa.
Dalam usaha menggalakkan penglibatan ahli akademik bagi memartabatkan bahasa Melayu, KPT turut memberi laluan dan peluang pengiktirafan kepada pensyarah-pensyarah muda Universiti Awam (UA).
Malah, peluang itu tidak hanya terhad kepada UA, sebaliknya turut diperluas kepada pensyarah di Politeknik dan Kolej Komuniti melalui pemberian Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu dan Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal.
Bersempena tahun kelima pemberian anugerah bagi dua kategori berkenaan diperingkat kementerian, Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu tahun ini dimenangi oleh Prof. Madya Dr. Rozita Radhiah Said dari Universiti Putra Malaysia (UPM) manakala Siti Suhaila Samian dari Politeknik Ibrahim Sultan pula dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal.
Penerima Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu, Prof. Madya Dr. Rozita Radhiah Said bergambar pada Majlis Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2024 di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 03 OKTOBER 2024
Buat julung kalinya pada tahun ini, KPT telah mewujudkan Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi sebagai simbol pemerkasaan bahasa Melayu dan usaha berterusan mengangkat bahasa Melayu ke tahap yang lebih tinggi.
Dua penerima sulung anugerah tersebut diberikan kepada Profesor. Dr. Novel Anak Lyndon dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong dari Universiti Sains Malaysia.
Penerima Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Novel Anak Lyndon bergambar pada Majlis Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2024 di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 03 OKTOBER 2024
Melalui pengiktirafan itu ia sedikit sebanyak dapat memberi motivasi kepada ahli-ahli akademik yang lain untuk terus memperjuang serta memartabat bahasa Melayu dalam setiap cabang disiplin ilmu. – MalaysiaGazette
- Created on .
- Hits: 160