USM NEWS PORTAL 

BERITA DALAM TALIAN: PROGRAM SAINS FORENSIK USM SUDAH LAHIRKAN 500 GRADUAN SARJANA MUDA

My Metro
Program Sains Forensik USM sudah lahirkan 500 graduan sarjana muda
Oleh Hazira Ahmad Zaidi | 8 September 2024

Pensyarah Universiti, Program Sains Forensik dan Unit HID/DNA, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Nur Waliyuddin Hanis Zainal Abidin. FOTO  Ihsan Hospital USM
Pensyarah Universiti, Program Sains Forensik dan Unit HID/DNA, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Nur Waliyuddin Hanis Zainal Abidin. FOTO Ihsan Hospital USM

Kota Bharu: Program Sains Forensik di Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) Universiti Sains Malaysia (USM) sudah melahirkan lebih 500 graduan Sarjana Muda Sains Forensik dan 100 graduan pascasiswazah.

Pensyarah Program Sains Forensik dan Unit HID/DNA, PPSK USM Dr Nur Waliyuddin Hanis Zainal Abidin berkata, program yang bermula sejak 2000 diadakan sebelum siri televisyen 'Crime Scene Investigation' (CSI) disiarkan.

"Pada 2008, Unit HID/DNA di PPSK USM ditubuhkan untuk menyediakan perkhidmatan analisis ujian asid deoksiribonukleik (DNA) seperti ujian paterniti dan pengecaman individu serta unit ini sudah mendapat akreditasi ISO17025 oleh Jabatan Standard Malaysia," katanya.

Dr Nur Waliyuddin Hanis berkata, sains forensik adalah satu aplikasi sains dalam membantu sistem perundangan dengan menganalisis sampel biologi, kimia dan fizikal yang terdapat di tempat kejadian.

Menurutnya, dalam perundangan sains forensik terbabit dalam mengemukakan hasil ujian saintifik yang dijalankan.

"Sains forensik bukan untuk menentukan siapa yang terbabit atau bersalah sebaliknya jenayah yang dilakukan itu ditentukan oleh hakim berdasarkan hujah yang dibentangkan oleh peguam di mahkamah," katanya.

Menurutnya, DNA digunakan dalam forensik untuk pengecaman identiti dan menentukan hubungan kekeluargaan.

"DNA manusia terdiri daripada empat nukleotida iaitu A, T, C, dan G serta setiap sel akan membawa maklumat genetik yang sama. Rantaian nukleotida bes ini membentuk bebenang panjang dan berlingkar di dalam 23 pasang kromosom.

"Terdapat satu pasangan kromosom unik yang digelar kromosom seks yang menentukan lelaki atau wanita yang disebut sebagai kromosom X dan Y. Kromosom XX menentukan jantina seseorang itu adalah perempuan dan kromosom XY adalah lelaki.

"Secara umumnya, sebanyak 99.9 peratus DNA setiap individu adalah sama dan hanya 0.1 peratus DNA yang berbeza serta tidak mempengaruhi pembentukan protein dan fungsi badan," katanya.

Beliau berkata, DNA antara bukti paling banyak digunakan dalam kes sivil bagi penentuan bapa atau ibu kepada si anak, pengesahan DNA bagi menuntut kewarganegaraan dan menentukan salasilah keturunan atau keluarga jauh yang terpisah.

"Dalam kes polis yang membabitkan jenayah atau kematian, DNA digunakan untuk pengecaman identiti mangsa atau suspek dengan mengambil sampel biologi seperti darah atau cecair badan daripada mana-mana bahagian badan atau tulang untuk dijadikan sampel ujian.

"Konsep penyiasatan dalam drama agak berbeza dengan realiti kerana penyiasatan dalam drama memerlukan jalan cerita yang singkat dan mudah difahami bagi menarik perhatian penonton.

"Namun, realiti sebenar adalah berbeza kerana siasatan analisis makmal bagi menjana DNA memerlukan masa dan proses yang panjang mengikut peringkat. Sampel DNA perlu dibawa ke makmal dan keputusan analisis akan diserahkan kepada pihak polis untuk penyiasatan seterusnya," katanya.

Dr Nur Waliyuddin Hanis berkata, sekiranya sampel DNA yang diterima sudah terlalu lama terdedah kepada persekitaran, ia akan menyebabkan kualiti DNA yang diekstrak menjadi rendah serta menyukarkan analisis dijalankan.

Keratan Akhbar

  • Created on .
  • Hits: 267

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024