BERITA DALAM TALIAN: KOMUNIKASI BERKESAN DALAM MENANGANI CABARAN GLOBAL MENJADI TUMPUAN DI ICSR KE-11
Bernama BM
Komunikasi Berkesan Dalam Menangani Cabaran Global Menjadi Tumpuan Di ICSR Ke-11
5 September 2024
PUTRAJAYA, 5 Sept (Bernama) -- Komunikasi yang berkesan dalam menangani cabaran global menjadi tumpuan pada Persidangan Antarabangsa Tanggungjawab Sosial, Etika dan Kelestarian (ICSR) ke-11 di sini hari ini.
Persidangan anjuran Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) itu diserikan lagi dengan keberangkatan tiba Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, diiringi Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah,
Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) USM Prof Dr Azlan Amran berkata persidangan itu diadakan berikutan keperluan komunikasi berkesan dengan pelbagai komuniti dan industri dalam menangani cabaran global semasa.
"Ini adalah peranan persidangan ini, untuk menjadi platform bagi penglibatan sedemikian, memupuk dialog dan kerjasama merentasi disiplin dan sempadan," katanya dalam ucapan perasmiannya pada persidangan itu.
Azlan berkata keputusan untuk membawa ICSR ke Asia, mencerminkan pengiktirafan global yang semakin meningkat tentang kepentingan rantau ini dalam meningkatkan tanggungjawab sosial korporat dan amalan perniagaan yang mampan serta peranan Malaysia yang baru muncul sebagai peneraju dalam bidang kritikal ini.
Ini adalah kali pertama persidangan itu diadakan di luar Eropah sejak penubuhannya pada 2012. Persidangan ICSR berfungsi sebagai wadah untuk dialog ilmiah dan pandangan praktikal, merapatkan jurang antara keperluan kemampanan dan keperluan masyarakat yang penting untuk merealisasikannya.
Turut hadir Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapha Sakmud.
Sementara itu Azlan dalam ucapannya turut membincangkan peranan dan cabaran teknologi dan transformasi digital dalam mencapai pembangunan mampan, yang akan menjadi pusat perbincangan semasa persidangan yang akan berakhir pada Sabtu.
Beliau berkata semasa teknologi menawarkan peluang yang belum pernah berlaku sebelum ini bagi meningkatkan kecekapan, mengurangkan pembaziran dan menggalakkan amalan mampan; ia juga menampilkan cabaran besar, terutamanya dari segi ekuiti digital dan kesan alam sekitar pengeluaran dan pelupusan teknologi.
"Jurang digital kekal sebagai penghalang kritikal ke arah mencapai pembangunan yang saksama. Semasa kita menerima transformasi digital, adalah penting untuk kita berusaha merapatkan jurang ini, memastikan semua komuniti, tanpa mengira status sosioekonomi mereka, mempunyai akses kepada alatan dan peluang yang disediakan oleh teknologi.
"Ini adalah cabaran yang memerlukan bukan sahaja penyelesaian inovatif tetapi juga perkongsian kukuh antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat sivil," katanya.
-- BERNAMA
- Created on .
- Hits: 205