BERITA DALAM TALIAN: USM, UNIVERSITI PERTAMA TERIMA HAK AKSES IMEJ DIGITAL SURAT LIGHT
Bernama BM
USM, Universiti Pertama Terima Hak Akses Imej Digital Surat Light
28 Ogos 2024
GEORGE TOWN, 28 Ogos (Bernama) -- Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Penyelidikan Dasar dan Perpustakaan Hamzah Sendut melakar sejarah apabila menjadi universiti pertama yang diberikan hak mengakses imej digital surat-surat Francis Light oleh School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London.
USM dalam kenyataan memaklumkan persetujuan itu dicapai menerusi memorandum perjanjian Loan of Light Letters yang ditandatangani pada September 2018 yang memberikan akses kepada imej digital surat-surat Light untuk tatapan penyelidik, sarjana dan orang awam secara dalam talian.
Surat-surat berkenaan yang diletakkan di bawah Koleksi Warkah-Warkah Kepulauan Melayu 1768-1794, diklasifikasikan kepada surat yang dikirim kepada Light, surat yang dikirim kepada Scott iaitu rakan niaga Light, nota, catatan, draf surat dan salinan yang dikirim oleh Light, surat raja-raja dan pembesar serta dokumen lain seperti bil, resit, petisyen dan kontrak.
“Melalui perjanjian tersebut USM mendapat hak simpanan imej tersebut selama mana perjanjian tidak dilanggar oleh kedua-dua belah pihak dan akan diperbaharui setiap tahun.
"Koleksi Warkah-Warkah Kepulauan Melayu 1768-1794 merupakan koleksi manuskrip Melayu terbesar di dunia yang mengandungi surat-surat berjumlah 1,200 pucuk surat tersimpan dalam 11 jilid," menurut kenyataan itu.
Menurut USM, koleksi surat termasuk mengandungi surat dari Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Selangor, Perak, Terengganu, Kelantan, Borneo, Acheh, Asahan, Batu Bahara, Siak, Palembang dan Pontianak.
Sementara itu, Naib Canselor USM Profesor Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed dalam kenyataan sama berkata hak eksklusif yang diberikan kepada Perpustakaan USM itu memberikan peluang besar kepada penyelidik dalam bidang Ilmu Kemanusiaan untuk menjalankan kajian-kajian baharu tentang sejarah tanah air.
"Surat-surat Light amat berpotensi untuk dikaji dari pelbagai bidang dan membantu penyelidikan terutamanya dalam bidang sejarah nusantara dan akses ini memberikan banyak manfaat kepada dunia akademik khususnya dalam meningkatkan ketersediaan serta kualiti sumber sejarah untuk penyelidik dan sarjana selain menyokong usaha untuk memelihara dan memahami warisan sejarah yang berharga,” katanya.
Terdahulu, Majlis Penyerahan Koleksi Warkah-Warkah Kepulauan Melayu 1768-1794 kepada Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berlangsung di Istana Anak Bukit, Kedah.
-- BERNAMA
- Created on .
- Hits: 119