BERITA DALAM TALIAN: PESAKIT TAK INGAT LOKASI, DI MANA KEBERADAAN, SIMPTOM NYANYUK
Berita Harian
Pesakit tak ingat lokasi, di mana keberadaan, simptom nyanyuk
Oleh Hazira Ahmad Zaidi | 10 Ogos 2024
Kemerosotan memori jangka masa pendek, pesakit juga boleh menunjukkan perubahan perilaku atau personaliti antara kemungkinan menghidap nyanyuk. - Foto hiasan
Penyakit demensia sering kali dikaitkan dengan faktor usia tua dan genetik, namun banyak punca lain yang menyebabkan situasi itu termasuk diakibatkan penyakit kronik lain seperti darah tinggi, diabetes dan kolesterol tinggi.
Dr Siti Nurbaya Mohd Nawi
Demensia atau nyanyuk adalah sindrom membabitkan kemerosotan atau penurunan fungsi otak yang memberi kesan kepada kehidupan harian pesakit dan berlaku secara perlahan-lahan serta mengakibatkan seseorang itu tidak berupaya untuk menguruskan diri sendiri.
Pensyarah dan Pakar Perubatan Geriatrik, Jabatan Perubatan Penyakit Dalam, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Siti Nurbaya Mohd Nawi, berkata sindrom demensia sering dikaitkan dengan proses penuaan, namun ia bukan perkara normal dalam proses penuaan.
Simptom demensia
Katanya, demensia sindrom dan terdapat beberapa penyebab yang boleh mengakibatkan seseorang mengalami kemerosotan fungsi otak seperti 'Alzheimer Disease', 'Vascular Dementia', 'Lewy Body Dementia' dan 'Frontotemporal Dementia', Parkinson dan banyak lagi.
"Simptom demensia kebiasaannya boleh dikesan apabila pesakit mengalami kesulitan dalam mengingat informasi atau memori perkara yang baharu berlaku.
"Selain kemerosotan memori jangka masa pendek, pesakit juga boleh menunjukkan perubahan perilaku atau personaliti, menghadapi masalah apabila bercakap dan sukar mencari perkataan yang sesuai untuk memulakan percakapan.
"Malah, ada juga pesakit yang hilang keupayaan untuk mengingati lokasi yang boleh menyebabkan mereka tersesat kerana tidak dapat mengenal pasti keberadaannya," katanya.
Rawatan nyanyuk
Pemeriksaan akan dilakukan bagi mengetahui dan memastikan pesakit mengalami kemerosotan fungsi otak dengan mendapatkan pengesahan sejarah pesakit daripada ahli keluarga, ujian memori, ujian darah dan imbasan otak.
"Terdapat rawatan yang boleh diberikan kepada pesakit iaitu menggunakan ubat untuk membantu simptom demensia dengan menambah baik sedikit memori dan fokus pesakit serta melakukan aktiviti harian supaya demensia tidak melarat dengan cepat.
"Namun, buat masa ini tiada rawatan yang dapat memulihkan demensia secara penuh dan pemantauan setiap tiga hingga enam bulan akan dilakukan bergantung kepada tindak balas terhadap rawatan dan perkembangan pesakit," katanya.
Justeru, keprihatinan masyarakat terhadap demensia amat penting kerana Malaysia menuju ke arah negara menua.
"Semua pihak perlu lebih cakna dan mengambil tahu mengenai simptom demensia agar pemeriksaan, siasatan dan rawatan dapat diberikan seawal mungkin.
"Kita juga harus mengambil tahu mengenai faktor boleh meningkatkan risiko seseorang mendapat demensia agar langkah yang sepatutnya dapat diambil bagi mengurangkan risiko seseorang untuk mendapat demensia," katanya.
Beliau menasihatkan masyarakat lebih peka mengenai keperluan dan sokongan diperlukan oleh individu demensia agar kualiti hidup yang lebih baik dan bermakna.
"Ambil perhatian dengan setiap keperluan individu demensia. Jika ada dalam kalangan ahli keluarga dan cuba penuhi keperluannya," katanya.
'Alzheimer's Disease International' menganggarkan terdapat 123,000 orang mengalami demensia di Malaysia pada 2015 dan ia dijangka meningkat dua kali ganda pada 2030 dan bertambah kepada 590,000 menjelang 2050.
Menurut statistik 'Malaysian National Health and Morbidity Survey 2018: Elderly Health', seramai 8.5 peratus rakyat Malaysia mempunyai demensia.
- Created on .
- Hits: 162