BERITA DALAM TALIAN: DEDAHKAN OKU DENGAN AKTIVITI LUAR, SUPAYA TAHU REALITI KEHIDUPAN SEBENAR
Berita Harian Online
Dedahkan OKU dengan aktiviti luar, supaya tahu realiti kehidupan sebenar
Oleh Mahani Ishak | 20 Julai 2024
Peserta OKU bersiap sedia untuk ke Pulau Langkawi bagi menyertai The Adventure of Trainers 2.0: Fly High Together 2024. - Foto/Ihsan USM
KUALA LUMPUR: Mendedahkan golongan kurang upaya (OKU) kepada persekitaran luar dan pembabitan dalam pelbagai aktiviti mencabar mampu menjadikan mereka lebih bersedia berdepan dengan realiti kehidupan sebenar.
Justeru, Universiti Sains Malaysia (USM), umpamanya menyediakan program memperkasakan keupayaan pelatih kurang upaya yang menjalankan aktiviti di Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dalam kampus induknya.
Program membabitkan penyertaan seramai 121 orang terdiri daripada pelatih, ibu bapa dan guru diterbangkan ke Langkawi, Kedah mengikuti
program The Adventure of Trainers 2.0: Fly High Together 2024.
Program bertujuan memberi pendedahan mereka menimba pengalaman luar serta mencabar kebolehan diri ketika dalam persekitaran luar.
Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Prof Dr Azlan Amran, berkata program itu juga bertujuan melatih ibu bapa pelatih (TOT) supaya bersedia menghadapi situasi luar selain turut mendedahkan pelatih kepada realiti kehidupan sebenar, meningkatkan kawalan tingkah laku dan emosi mereka.
"Pada masa sama, ia diharapkan dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran keibubapaan dalam persekitaran baharu.
"Selain itu, program ini juga bertujuan mewujudkan kerjasama komuniti PPDK demi kemajuan dan perkembangan 24 pelatih berusia antara tiga hingga 16 tahun," katanya ketika hadir menyaksikan pelepasan program diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, semalam.
Hadir sama, Ketua Stesen Malaysia Aviation Group (MAG), Wan Mohd Shamshah Mohamad Akhir; Eksekutif Pemasaran Zon Utara MAG, Naslinda Nasbah dan Pengurus Kumpulan Rangkaian Hotel Seri Malaysia (RHSM), Farrah Sharizah Mohd Yunus.
Program anjuran PPDK Kampus Induk USM dan Peneraju Inovasi Sosial dan Pemindahan Ilmu (BJIM) USM tiga hari bermula semalam hingga esok mendapat penajaan penebangan daripada MAG selain RHSM dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).
Kira-kira 121 peserta termasuk OKU, ibu bapa dan pelatih ikuti program The Adventure of Trainers 2.0: Fly High Together 2024. - Foto/Ihsan USM
Dalam pada itu Azlan berkata, USM adalah universiti awam (UA) yang memulakan inisiatif menubuhkan PPDK di dalam kampus sejak 19 Julai 2019 dan kini mempunyai seramai 56 orang pelatih dalam pelbagai kategori yang terdiri daripada anak kakitangan dan komuniti setempat.
"Selaras dengan aspirasi misi dan visi USM, projek PPDK ini memberi impak sangat positif kepada kakitangan, komuniti setempat dan universiti sendiri.
"Perkembangan dan potensi pelatih terus digilap sehingga PPDK USM dijadikan penanda aras oleh 20 UA di negara ini, selain turut menerima kunjungan pakar perubatan hospital, sekolah pendidikan khas bagi melihat proses pemulihan dilakukan kepada pelatih.
"Sehubungan itu, USM akan terus memperkasakan perkembangan berterusan pelatih dan memberi sokongan penuh dalam memastikan perkembangan mereka dapat dioptimumkan," katanya.
Katanya, USM amat terbuka untuk melakukan kolaborasi dengan industri dan agensi bagi bersama-sama dalam memperkasa golongan kurang upaya.
"Ia kerana program seumpama ini satu bentuk terapi pemulihan untuk meningkatkan kemahiran integrasi pelatih dalam kelompok masyarakat," katanya.
- Created on .
- Hits: 127