BERITA DALAM TALIAN: RAKYAT BELUM BERSEDIA DITARIK SUBSIDI PETROL
Malaysia Gazette
Rakyat belum bersedia ditarik subsidi petrol
Oleh Khuzairi Ismail | 9 July 2024
Pengguna, Supian Ramzan, kelihatan sedang mengisi minyak diesel berikutan tiada lagi subsidi diesel ketika tinjauan Malaysia Gazette di Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 10 JUN 2024
ADA kelegaan besar dalam kalangan rakyat berkenaan jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai keperluan merasionalisasikan subsidi petrol RON95.
Sekurang-kurangnya buat masa ini, rakyat tidak perlu bimbang terhadap kemungkinan berlakunya peningkatan harga petrol yang sudah pastinya akan menambah beban perbelanjaan buat mereka.
Sementelah, kesan daripada penyelarasan subsidi diesel yang dilaksanakan kira-kira sebulan lalu juga sudah mula dirasai rakyat.
Beberapa syarikat berkaitan pengangkutan yang bergantung kepada penggunaan diesel khususnya tidak menunggu lama untuk menaikkan harga perkhidmatan mereka.
Seperti yang dijangka, bebanan kos kepada pengeluar akibat peningkatan harga diesel itu kini dialihkan kepada pengguna.
Dr. Abdul Rais Abdul Latiff
Sebab itu, kerajaan perlu berhati-hati sekiranya berhasrat melaksanakan penyelarasan subsidi petrol pada masa depan yang mana kesannya kepada rakyat pastinya lebih meluas.
Seperti yang dikongsikan Pensyarah Kanan Ekonomi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff, paling terkesan sudah semestinya golongan M40.
Katanya, kumpulan itu sekali lagi akan menjadi golongan paling terhimpit kerana mereka sudah semestinya tidak termasuk dalam golongan sasaran menerusi pelaksanaan subsidi petrol bersasar kelak.
Sedangkan, ujar beliau, mereka adalah golongan terbesar yang melakukan perbelanjaan harian dan terlibat dalam kebanyakan kegiatan ekonomi negara.
Ujarnya, penyelarasan subsidi petrol kelak akan menyebabkan berlaku peningkatan kos yang ketara dalam kehidupan golongan itu.
Tambah beliau, ia pastinya akan mempengaruhi kedudukan kewangan mereka dan menekan golongan itu untuk berhadapan dengan peningkatan kos dalam menjalani kehidupan.
“Akibatnya, sebahagian besar daripada mereka mungkin perlu melakukan kerja sampingan termasuk terlibat dalam aktiviti ekonomi gig untuk menambah pendapatan.
“Apa yang kita risaukan apabila lebih ramai rakyat terpaksa melakuan kerja tambahan untuk mencari pendapatan sampingan, kualiti hidup mereka akan terjejas.
“Ini kerana mereka terpaksa lebih fokus untuk mencari keperluan hidup dan aktiviti masa lapang mereka kini perlu dipenuhi dengan kerja sampingan untuk menampung kos kehidupan atau mencari tabungan.
“Tidak mustahil juga, tabungan mereka akan berkurangan disebabkan kos tambahan dan akan mempengaruhi keperluan mereka pada masa depan terutama keperluan untuk kecemasan,” katanya.
Apa yang pasti, kerajaan perlu memikirkan pelan sokongan atau mekanisme yang tepat untuk memastikan rakyat bersedia dengan situasi peningkatan kos kehidupan sekiranya penyelarasan subsidi petrol perlu dilaksanakan.
Ini bagi memastikan kuasa beli pengguna tidak terjejas dan boleh memberi kesan kepada kerancakan ekonomi yang akhirnya merugikan kerajaan sendiri.
Walaupun kerajaan mempunyai rancangan untuk menaikkan pendapatan isi rumah pada masa depan, namun ia belum mampu untuk menampung kos peningkatan sara hidup rakyat termasuk golongan M40.
Perlu juga dipastikan sekiranya penyelarasan subsidi petrol itu dilaksanakan, penjimatannya disalurkan kepada golongan tepat yang benar-benar memerlukan.
Penjimatan daripada penyelarasan subsidi petrol itu juga perlu dipastikan digunakan untuk penyediaan pelbagai kemudahan dan infrastruktur yang memanfaatkan rakyat, supaya manfaatnya dapat dirasai oleh semua pihak. – MalaysiaGazette
- Created on .
- Hits: 184