BERITA DALAM TALIAN: PENAMBAHBAIKAN SKDS PUPUK PERSEKITARAN EKONOMI SEIMBANG
Wilayahku
Penambahbaikan SKDS pupuk persekitaran ekonomi seimbang
Oleh Syed Hazique | 13 Jun 2024
Kredit: BERNAMA
PENAMBAHBAIKAN Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) akan memberi manfaat yang besar kepada golongan penerima serta memupuk persekitaran ekonomi yang seimbang.
Pensyarah Kanan Bahagian Ekonomi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Dr Abdul Rais Abdul Latiff berpandangan rasionalisasi subsidi ini akan memberi impak positif kepada ekonomi negara.
“Pemberian subsidi ini sebenarnya satu perkara baik buat ekonomi negara di mana ia menguatkan serta menambah pendapatan negara di samping mengurangkan perbelanjaan subsidi yang mencecah berbilion ringgit.
“Contohnya tambah baik daripada segi tambahan jenis kenderaan pengangkutan barangan serta meningkatkan kuota asas sedia ada dapat memberi peluang rangkaian golongan lebih ramai terhadap sasaran subsidi ini,” katanya ketika dihubungi Wilayahku baru-baru ini.
Walau bagaimanapun jelas Abdul Rais, kerajaan perlu lebih cekap dan telus dengan mekanisme pelaksaan agar dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat.
“Penyasaran subsidi juga sedikit sebanyak akan mempengaruhi corak isi rumah dan limpahan ekonomi, kita nak pastikan ekonomi terus kekal aktif agar ia terus berkembang dan stabil.
“Justeru itu, kerajaan perlu memastikan rakyat mampu adaptasi dengan pemberian subsidi agar golongan sasaran menerima manfaat tersebut,” jelasnya.
Terdahulu, media melaporkan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang meneliti semua asas permohonan dan rayuan berkaitan penambahbaikan SKDS.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata kesemua permohonan dan rayuan tersebut akan diangkat segera untuk pertimbangan Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel.
Menurut Armizan, susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel 10 Jun lalu, beberapa pihak telah mengemukakan permohonan terus kepada KPDN berkaitan penambahbaikan SKDS.
“Antara syor dikemukakan adalah mempertimbangkan beberapa tambahan jenis kenderaan pengangkutan barangan dalam senarai layak menikmati subsidi disesel di bawah SKDS 2.0.
“Kemudian, mempertingkatkan kuota asas sedia ada di bawah SKDS 1.0 bagi jenis kenderaan pengangkutan awam seperti bas sekolah dan bas ekspres,” katanya. – WILAYAHKU
- Created on .
- Hits: 169