BERITA DALAM TALIAN: ANAK ISTIMEWA JADI 'PETANI'
Berita Harian Online
Anak istimewa jadi 'petani'
Oleh Zuhainy Zulkiffli | 11 Julai 2024
Peserta PPDK Teluk Bahang gigih mempraktikkan kemahiran menanam tanaman herba yang diajar guru di pusat berkenaan. - NSTP Zuhainy Zulkiffli
BALIK PULAU: Golongan orang kurang upaya (OKU) dalam apa juga kategorinya mampu digerak secara aktif dengan bimbingan dan penyediaan kemahiran dalam bidang tertentu.
Justeru, inisiatif Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Teluk Bahang mengusahakan tanaman herba menyediakan program kemahiran dan membentuk pengurusan diri dan gerak kerja kepada penghuninya dalam bidang pertanian, selain menerusinya mampu meraih keuntungan.
Malah, apa yang lebih baik, pelatih di PPDK berkenaan sudah mampu mengurus tapak semaian tanaman pelbagai herba dan hasilnya dijual kepada penduduk serta pasar awam berhampiran.
Guru PPDK, Siti Rahmah Ramjan, berkata hampir 20 pelatih di pusat itu dilatih kerja bengkel dan pertanian manakala enam lagi sudah melangkah ke alam pekerjaan.
Potensi pelatih dikenali pasti menerusi beberapa kaedah selain komunikasi dua hala bagi memastikan mereka dapat menerima arahan sekali gus membentuk pemahaman.
Kebanyakan peserta berusia 13 tahun ke atas dan tiada latar belakang kemahiran serta tidak pernah kenal peralatan atau tumbuhan.
"Ada beberapa kaedah mengambil masa bagi memastikan mereka mahir seperti dalam bidang pertukangan dan pertanian iaitu berkebun.
"Mereka diterap dan diajar kemahiran mengurus peralatan, bacaan sukatan baja dan lain-lain termasuk aspek keselamatan semasa berada di pusat kemahiran.
"Disebabkan disertai golongan istimewa, kaedah pembelajaran dan pengajaran memerlukan kesabaran tinggi terutama aspek kawalan emosi mereka boleh terganggu dalam keadaan tertentu," katanya.
Sharifah Darweena (tiga dari kiri) pada majlis perasmian Tanaman Herba Kecantikan dan Kesihatan di tapak semaian PPDK Teluk Bahang, baru-baru ini. NSTP Zuhainy Zulkiffli
Beliau ditemui baru-baru ini, di Majlis Perasmian Tanaman Herba Kecantikan dan Kesihatan di bawah Geran Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) Universiti Sains Malaysia (USM), dihadiri Pengarah BJIM, Sharifah Darweena Syed Ahmad Amir Feisal serta Ketua Projek Penanaman Herba dan Fertigasi Halia PPDK Teluk Bahang Dr Norhanishah Mohamad Yunus.
Antara ditanam ialah kesum, salad, pegaga, cekur hitam, cekur kampung, temulawak, daun sup dan beberapa jenis ulam serta herba lain iaitu mempunyai permintaan tinggi di pasar awam.
Sebanyak 150 anak pokok ditanam pelatih PPDK itu terjual dalam tempoh sebulan dan daun kunyit adalah paling laris pada musim perayaan lalu.
"Potensi harga pokok kunyit mencecah RM40 setiap unit yang terjual, kami merancang mahu tanam tanaman lain seperti pokok lemon dan misai kucing.
"Hasil penjualan dalam projek ini untuk kegunaan sewaan premis dan bil utiliti manakala peserta turut meraih pendapatan," katanya.
Pelbagai tanaman herba dan halia secara fertigasi dihasilkan menerusi bimbingan dan jaringan kerjasama antara PPDK dengan USM dan Jabatan Pertanian Barat Daya.
Projek kedua PPDK yang dijalankan di bawah Geran BJIM bukan sahaja meningkatkan pendapatan PPDK tetapi bertindak sebagai aktiviti terapi kepada pelatih.
"Kejayaan penanaman herba di tapak semaian. Pelatih juga berjaya menanam sendiri di kawasan rumah mereka sekali gus memupuk sikap berdikari dan mampu menjana pendapatan.
"Menerusi geran itu, mereka berupaya menjalankan aktiviti penanaman herba kesihatan dan kecantikan dengan selamat, malah sudah dipasarkan.
"Kini, mereka sudah ada jaringan kerjasama dengan peniaga tempatan dan beberapa pusat rawatan yang menggunakan tanaman herba serta halia daripada keluaran PPDK Teluk Bahang," katanya.
Guru PPDK Teluk Bahang Siti Rahmah (dua dari kanan) bersama pelatih yang terbabit dengan aktiviti pertanian. NSTP Zuhainy Zulkiffli
Diajar asas pertanian
Pelatih golongan istimewa dengan masalah pembelajaran, Nur Nabilah Mat Hashim, 28, berkata, dia pernah bekerja di restoran makanan segera namun berhenti kerja kerana kemahiran terbatas.
Katanya, minat berkebun di rumah juga menimbulkan kepuasan serta meneruskan aktiviti itu di PPDK berkenaan.
"Di sini, pelatih diperkenalkan dengan asas penanaman termasuk perkakasan seperti beg poli, sabut, tunas, sukatan baja sehingga kepada pemantauan serangga.
"Paling gembira ketika waktu tuaian, rasa tidak percaya usaha ini berhasil. Di rumah, saya dan ibu tanam pokok herba dan bawang, malah jika ke pasar, ada penduduk minta saya ajar mengenai cara penanaman," katanya.
- Created on .
- Hits: 207