USM NEWS PORTAL 

BERITA DALAM TALIAN: PUSAT RACUN NEGARA TERIMA 3,153 PANGGILAN KES KERACUNAN TAHUN LALU

Berita Harian Online
Pusat Racun Negara terima 3,153 panggilan kes keracunan tahun lalu
Oleh Zuhainy Zulkiffli | 12 Julai 2024

Pegawai Farmasi Pusat Racun Negara (PRN), Adilah Mohamed Ariff. - Foto NSTP/Zuhainy Zulkiffli
Pegawai Farmasi Pusat Racun Negara (PRN), Adilah Mohamed Ariff. - Foto NSTP/Zuhainy Zulkiffli

GEORGETOWN: Pusat Racun Negara (PRN) menerima sebanyak 3,153 panggilan berhubung kes keracunan serta pendedahan kepada racun dari seluruh negara sepanjang tahun lalu.

Angka itu meningkat berbanding 2022 yang mana sebanyak 2,913 panggilan diterima dengan paling ramai mangsa terbabit adalah kanak-kanak terutamanya berusia satu hingga empat tahun.

Pegawai Farmasi PRN, Adilah Mohamed Ariff, berkata, kes berkenaan hanyalah membabitkan pendedahan secara tidak sengaja dengan seramai 13,940 kes dirujuk adalah kanak-kanak usia berkenaan berbanding usia lain dalam tempoh 18 tahun.

"Menerusi data 18 tahun itu juga, didapati tiada hari tanpa kes keracunan yang dirujuk ke PRN sama ada secara sengaja atau tidak, membabit pelbagai peringkat usia," katanya ketika ditemui di PRN yang bertempat di Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.

Mengulas lanjut Adilah berkata, PRN adalah badan kerajaan yang mengendalikan Pusat Panggilan Maklumat dan Nasihat Keracunan, merekodkan data kes keracunan yang dirujuk oleh majoritinya petugas kesihatan daripada pelbagai fasiliti kesihatan.

Katanya, maklumat itu adalah penting bagi rujukan pelbagai pihak terutama agensi kerajaan termasuklah pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Terdapat juga panggilan daripada orang awam iaitu sebanyak 184 pada tahun lalu dan ia menunjukkan masyarakat semakin peka bagi mendapatkan khidmat nasihat awal daripada PRN," katanya.

Menurut Adilah, antara kes yang biasa diterima ialah keracunan berpunca daripada kecuaian penyimpanan bahan seperti pemindahan bekas bahan kimia ke bekas lain seperti botol mineral dan akibatnya individu termasuk kanak-kanak terminum bahan itu.

Ada juga yang mendakwa meletakkan label pada bekas mengandungi bahan racun tanpa menyedari kanak-kanak awal usia tidak tahu membacanya.

"Apatah lagi amalan mengumpan haiwan perosak menggunakan makanan yang digaul bersama racun juga meningkatkan risiko keracunan kepada bukan saja kanak-kanak, malah orang dewasa.

"Sebaiknya produk berasaskan bahan kimia beracun ini disimpan di dalam bekas asal di tempat berkunci dan jauh daripada capaian kanak-kanak, tambahan pula jika ia berwarna warni sudah tentu menarik minat mereka," katanya.

Adilah berkata, selain bahan kimia, pemberian atau pengambilan ubat terlebih dos juga boleh menyebabkan keracunan terhadap individu.

Katanya, penggunaan dron sebagai teknologi terkini yang dimanfaatkan petani bagi meracun sawah misalnya juga boleh meningkatkan risiko pendedahan racun menerusi sebaran angin dan lebih buruk jika pengendalinya tidak memakai pakaian atau alat pelindung diri (PPE).

"Selain terminum produk pencuci serta termakan pelbagai produk kegunaan isi rumah termasuklah ubat gegat, terdapat juga kes kanak-kanak termakan ubat pelangsingan yang mengandungi bahan terlarang dan kita dapati mangsa mengalami gejala sukar tidur serta sawan.

"Ada sebab jika sesuatu produk itu diharamkan di Malaysia dan bahan yang sangat toksik ini boleh menyebabkan mangsa sukar dirawat kerana dalam keadaan tertentu bahan aktif dan kuantitinya dalam produk itu tidak diketahui.

"Lambakan produk haram ini mudah didapati menerusi platform e-dagang atau pasar malam, boleh meningkatkan risiko keracunan kepada sesiapa saja yang menggunakannya," katanya.

Berhubung manfaat air kelapa dalam merawat keracunan, Adilah berkata setakat ini, tiada kajian yang pernah ditemui, maka secara umumnya dikhuatiri berlakunya interaksi memudaratkan antara racun yang dimakan dengan air kelapa.

"Bagi kes dua kanak-kanak termakan keropok dipercayai mengandungi racun, kita menjangka ia mempunyi bahan aktif yang boleh menyebabkan sawan dan gangguan kepada sistem saraf pusat.

"Namun ujian analisis kimia yang boleh menentukan bahan kimia sebenar memandangkan produk itu tidak berdaftar dengan Lembaga Racun Makhluk Perosak Malaysia," katanya.

Keratan Akhbar

  • Created on .
  • Hits: 58

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024