BERITA DALAM TALIAN: PROJEK NAIK TARAF SISTEM BEKALAN AIR BERSIH USM NIBONG TEBAL JANGKA SIAP 30 JULAI
Buletin Mutiara
Projek naik taraf sistem bekalan air bersih USM Nibong Tebal jangka siap 30 Julai
Oleh SUNARTI YUSOFF | 5 Julai 2024
JAWI – Projek menaik taraf sistem bekalan air bersih di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), Nibong Tebal di sini dijangka siap sepenuhnya pada 30 Julai ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata projek milik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kos RM6.15 juta itu akan siap 26 hari lebih awal daripada jadual asal, 26 Ogos depan.
Beliau berkata, projek yang dimulakan sejak 28 Februari 2023 kini telah mencapai 83 peratus pemajuan.
“Projek tangki air setinggi 30 meter ini dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti air bersih kepada hampir 4,000 penghuni di Kampus USM Nibong Tebal yang berkeluasan 364.9 ekar.
“Apabila siap nanti, projek ini dapat membantu untuk menangani masalah tekanan air rendah di bawah nilai 14 psi yang berlaku di kampus ini sejak 10 tahun lalu.
“Antara skop projek termasuklah pembinaan tangki air berkapasiti 1.597 juta liter, tangki sedutan 795,000 liter, rumah pam dan kerja-kerja elektrik serta mekanikal berkaitan,” katanya pada sidang media mengenai projek tersebut dekat USM Nibong Tebal di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang, Ir. Ahmad Nadzri Abdul Majid; Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Prof. Ir. Ts. Shahrel Azmin Sundi serta Jurutera Daerah JKR Daerah Seberang Perai Selatan, Ir. Shaiful Munir Leman.
Sementara itu, Zairil berkata sumber bekalan air mentah bagi projek ini adalah daripada sistem Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).
“Air akan diangkut menggunakan tangki sedutan, dan di sink ada rumah pam yang akan mengepam air ke dalam tangki ini,” jelasnya.
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
- Created on .
- Hits: 174