USM NEWS PORTAL 

BERITA DALAM TALIAN: ARCA BUDDHA DI BUKIT CHORAS LEBIH TUA DARIPADA ANGKOR WAT

Bulletin TV3
Arca Buddha di Bukit Choras lebih tua daripada Angkor Wat
26 Jun 2024


FOTO: NSTP

GEORGE TOWN: Penemuan arca Buddha berbentuk manusia dari abad kelapan hingga kesembilan di kawasan Tapak Warisan Arkeologi Bukit Choras, Yan, Kedah menunjukkan kawasan itu sebagai tapak keagamaan yang penting pada ketika itu dan lebih tua berbanding Angkor Wat di Kemboja dan Borobudur di Indonesia.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Roslan Abdul Rahman berkata, penemuan oleh pasukan penyelidik Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM) itu menjadi aset arkeopelancongan dan tarikan kepada pelancong untuk datang ke Kedah.

“Kita akan buat pameran tidak lama lagi apabila pihak USM sudah membuat kajian yang lengkap terhadap relik itu dan kami juga belum membuat keputusan sama ada jumpaan-jumpaan ini akan dipamerkan di muzium terpilih atau membangunkan Bukit Choras sebagai produk arkeopelancongan baharu seperti yang dibuat di Kemboja dan Indonesia.
ADVERTISING

“Yang kita jumpa adalah lebih tua daripada Angkor Wat dan Borobudur. Itu yang menarik buat kami,” katanya pada sidang media berkenaan penemuan itu di PPAG, USM di sini hari ini.

Beliau berkata penyelidikan dari 21 April hingga 21 Mei lepas oleh pasukan penyelidik tempatan diketuai Dr Nasha Rodziadi Khaw itu adalah kerjasama antara Jabatan Warisan Negara (JWN) dan USM.

Datuk Roslan berkata, penyelidikan arkeologi fasa Ill telah mendedahkan struktur binaan pada bahagian dinding utara dan barat hingga memperlihatkan dengan jelas struktur utama candi Bukit Choras yang mempunyai seni bina yang unik.

Beliau berkata penemuan penting di tapak adalah sebuah arca Buddha bersaiz manusia yang diperbuat daripada stuko, iaitu sejenis bahan campuran kapur, air dan pasir yang ditemukan di dinding utara candi itu.

“Berbeza dengan arca yang dijumpai ketika Fasa I dan Fasa ll, arca kali ini lengkap bersama kepalanya dengan ciri-ciri ikonografi seperti jubah, riak wajah, dan pakaian dapat dilihat dengan jelas. Selain itu, turut ditemukan ialah sebuah prasasti Sanskrit yang diukir di atas badan batu serta serpihan tembikar tanah.

“Sebagai langkah keselamatan dan penyelidikan lanjutan, relik itu telah dibawa keluar dari tapak di Bukit Choras dan ditempatkan sementara di makmal PPAG USM bagi kerja-kerja konservasi secara menyeluruh,” katanya.

Menurut Datuk Roslan setakat penyelidikan Fasa Ill, sebanyak tiga prasasti telah ditemukan di Bukit Choras, dengan prasasti itu mengandungi mantra yang menceritakan tentang doktrin agama Buddha.

Penemuan terkini di tapak berkenaan katanya membuka ruang kepada tafsiran baharu berkaitan kedudukan geostrategik Kedah Tua sebagai sebuah kota penting dalam jalur perdagangan maritim Asia Tenggara.

– BERNAMA

Keratan Akhbar

  • Created on .
  • Hits: 50

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024