USM NEWS PORTAL 

BERITA DALAM TALIAN: USM LANCAR PERKHIDMATAN BAS BAHARU, HASIL PROGRAM TEMU ANWAR

Bernama BM
USM LANCAR PERKHIDMATAN BAS BAHARU, HASIL PROGRAM TEMU ANWAR
7 Jun 2024

Kredit: USM

Kredit: USM

Kredit: USM

GEORGE TOWN, 7 Jun (Bernama) -- Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini melancarkan perkhidmatan bas baharu USM 5550 hasil cetusan idea pelajar universiti berkenaan ketika sesi pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Program Temu Anwar pada 11 Jun 2023.

Pengerusi Lembaga Gabenor USM Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata inisiatif berkenaan merupakan amanah daripada Perdana Menteri untuk mendapatkan bas baharu di samping memastikan perkhidmatan terbaik kepada warga USM. 

“Dalam program itu wakil pelajar kita (Wan Hafiz Irshad Wan Mohd Zuhdi), pelajar perubatan di Kota Bharu (Kelantan) meminta Perdana Menteri untuk memberi peruntukan kepada USM bagi mendapatkan bas-bas baharu.

"Jadi Perdana Menteri telah menyambut cadangan berkenaan dan memohon pihak USM untuk membuat perolehan tiga bas bagi kegunaan kesemua kampus,” katanya selepas merasmikan bas baharu itu di USM di sini hari ini.

Awang Adek berkata pihaknya gembira kerana dapat melancarkan bas pertama itu dalam masa setahun manakala dua bas lagi diperoleh menjelang akhir tahun ini yang akan digunakan untuk kegiatan pelajar di luar kampus atau perjalanan jauh sekali gus menggantikan bas yang usianya melebihi 15 tahun.

Beliau berkata tiga bas terbabit yang bernilai RM2 juta akan digunakan di kampus induk USM di sini, Kampus Kesihatan di Kota Bharu dan Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Sementara itu, Wan Hafiz Irshad, 23, yang menjadi wakil pelajar selaku Speaker Parlimen Mahasiswa USM membawa isu itu kepada Anwar menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas keprihatinan beliau terhadap keperluan pelajar dengan terus meluluskan permohonan serta-merta.

"Kita telah usahakan kepada pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), pihak universiti untuk dapatkan bas itu, cuma ada kekangan kewangan. Disebabkan itulah saya terdetik untuk sampaikan kepada Perdana Menteri supaya isu ini dapat diselesaikan dengan segera.

“Saya cukup bersyukur hasil kesinambungan MPP sekarang, Pengerusi Lembaga Gabenor yang cukup komited dan Alhamdulillah tak sampai setahun kita sudah dapat bas baharu,” katanya. -- BERNAMA

Keratan Akhbar

  • Created on .
  • Hits: 76

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024