BERITA DALAM TALIAN: USM,MCMC JALIN KERJASAMA PERKASA TEKNOLOGI KOMUNIKASI DAN PENDIGITALAN NEGARA
Bernama BM
USM,MCMC JALIN KERJASAMA PERKASA TEKNOLOGI KOMUNIKASI DAN PENDIGITALAN NEGARA
5 June 2024
GEORGE TOWN, 5 Jun (Bernama) -- Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menjalin kerjasama ke arah usaha pemerkasaan teknologi komunikasi dan pendigitalan negara.
Pemeteraian itu membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama memperkukuh penyelidikan, pemindahan pengetahuan dan pemerkasaan bakat dalam membentuk generasi masa hadapan yang lebih cemerlang sekali gus bersedia menghadapi pelbagai keadaan sosioekonomi yang kompleks serta sentiasa berubah.
Naib Canselor USM Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed menandatangani MoU itu bagi pihak USM manakala MCMC diwakili Timbalan Pengarah Urusan Datuk Zulkarnain Mohd Yasin di Bangunan Canselori USM di sini hari ini.
Abdul Rahman berkata MoU itu turut melibatkan beberapa pengisian program seperti sesi perkongsian ilmu dengan pelajar menerusi karnival kerjaya, pameran ilmu dan pencarian bakat iaitu sesi temu duga pelajar untuk berkhidmat di MCMC sebagai pelatih industri mahupun pekerja.
"Saya berterima kasih kepada MCMC kerana memberikan kepercayaan kepada USM untuk mengadakan penyelidikan, pertukaran pelajar, kakitangan bersama dengan MCMC dan dalam usaha mengejar teknologi ini kita perlu berpandukan atau beralaskan kepada nilai-nilai kita sendiri.
"Di USM ini selain daripada pusat-pusat pengajian berasaskan sains, kita ada kekuatan dalam pusat pengajian berasaskan sastera dan kemanusiaan. Justeru, saya berpandangan ini akan memberi keseimbangan kepada masyarakat di dalam penggunaan teknologi terkini," katanya.
Sementara itu, Zulkarnain menyifatkan kolaborasi itu sebagai permulaan baik kepada kedua-dua pihak dan ia tidak hanya melibatkan aspek pembangunan teknologi komunikasi tetapi juga mengambil kira aspek kemanusiaan.
"Sebab itu MCMC, kita sentiasa berkolaborasi dengan pihak akademik dan juga universiti tempatan bagi memperkasakan lagi keupayaan dalam membuat dasar atau polisi intervensi yang lebih tepat melalui kerjasama penyelidikan yang dijalankan pihak universiti.
"MCMC dan universiti mempunyai kelebihan tersendiri justeru itu, jika digabungkan kedua-dua kepakaran ini bukan saja akan memanfaatkan institusi kita tetapi juga semua warga kerja USM, MCMC, pelajar dan masyarakat keseluruhannya," katanya.
Tiga buah pusat pengajian USM iaitu Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan dan Pusat Pengajian Sains Komputer menerajui kerjasama dua hala itu dengan Bahagian Geospatial dan Pengurusan Data MCMC.
-- BERNAMA
- Created on .
- Hits: 209