BERITA DALAM TALIAN: PROGRAM KEBAJIKAN KARDIOTORASIK HOSPITAL USM-HLH BANTU LEBIH 90 KANAK-KANAK HIDAP PENYAKIT JANTUNG
Berita RTM
Program Kebajikan Kardiotorasik Hospital USM-HLH bantu lebih 90 kanak-kanak hidap penyakit jantung
Nasional | 5 Jun 2024
Pesakit kanak-kanak yang terpilih akan menjalani pembedahan di Hospital USM serta tidak lagi perlu dirujuk atau dihantar ke Institut Jantung Negara, sekali gus mengurangkan tempoh menunggu mendapatkan rawatan pembedahan jantung.
KOTA BHARU, 5 Jun -Seramai 90 pesakit kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung kongenital di Kelantan dan Terengganu mendapat rawatan menerusi Program Kebajikan Kardiotorasik Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) dan Healing Little Heart (HLH) yang berpangkalan di United Kingdom (UK) sejak 2015.
Menurut Pakar Kardiologi Pediatrik Hospital USM, Dr Mohd Rizal Mohd Zain, dalam tempoh berkenaan lebih daripada 100 pembedahan sudah dijalankan.
Jelasnya, menerusi program itu pesakit kanak-kanak yang terpilih akan menjalani pembedahan di Hospital USM serta tidak lagi perlu dirujuk atau dihantar ke Institut Jantung Negara, sekali gus mengurangkan tempoh menunggu mendapatkan rawatan pembedahan jantung.
Beliau berkata bagi tahun ini, lapan hingga 10 pesakit menjalani pembedahan bermula 2 Jun lepas hingga esok dengan kerjasama pasukan perubatan HLH.
Menurutnya pasukan perubatan HLH disertai enam pakar melibatkan pakar bedah, intensivis, pakar kardiologi pediatrik, jururawat dan perfusionis yang bergabung dengan pakar dan petugas Hospital USM untuk menjayakan pembedahan itu.
"Pemilihan pesakit bergantung kepada keperluan pesakit kita ada senarai menunggu dalam 50 pesakit. Kita lihat kepada keutamaan bukan semata - mata status kewangan tapi majoriti pesakit kita B40, tanpa program ini pon kita memang buat pembedahan 50 - 60 pesakit setiap tahun cuma dengan adanya program ini kita dapat meningkatkan lagi kepakaran kita," katanya.
Bercakap kepada media di Kota Bharu, beliau yang juga Pengarah Program Kebajikan Kardiotorasik USM-HLH berkata, bagi kanak-kanak yang terpilih untuk menjalani pembedahan menerusi program itu hanya perlu membayar pada kos yang minimum.
“Kos yang perlu dibayar setiap pesakit terpilih untuk menjalani pembedahan bagi program ini sangat minimum iaitu kurang RM3,000. Bagaimanapun, kos sebenar melibatkan alatan dan ubatan untuk setiap pesakit adalah lebih tinggi, ada yang mencecah lebih RM20,000 untuk setiap pesakit,” katanya.
- Created on .
- Hits: 254