USM NEWS PORTAL 

BERITA DALAM TALIAN: PENANTIAN TUJUH TAHUN KANAK-KANAK DERITA JANTUNG BERLUBANG BERKAKHIR

Berita Harian
Penantian tujuh tahun kanak-kanak derita jantung berlubang berakhir
Oleh Hazira Ahmad Zaidi | 5 Jun 2024

Pakar Kardiologi Pediatrik Hospital USM, Dr Mohd Rizal Mohd Zain (tengah) bersama pakar dan jururawat dari UK meninjau keadaan pesakit kanak-kanak yang sudah menjalani pembedahan jantung dan ditempatkan di dalam wad khas di Hospital USM. - Foto Hazira Ahmad Zaidi
Pakar Kardiologi Pediatrik Hospital USM, Dr Mohd Rizal Mohd Zain (tengah) bersama pakar dan jururawat dari UK meninjau keadaan pesakit kanak-kanak yang sudah menjalani pembedahan jantung dan ditempatkan di dalam wad khas di Hospital USM. - Foto Hazira Ahmad Zaidi

KOTA BHARU: Penantian tujuh tahun kanak-kanak menderita penyakit jantung berlubang dan saluran sempit berakhir selepas terpilih menjalani pembedahan amal melalui Program Kebajikan Kardiotorasik USM – Healing Little Heart (HLH).

Siti Nur Dayana Othman, 7, adalah antara 10 pesakit kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung kongenital yang menjalani pembedahan dalam siri lawatan pasukan perubatan Healing Little Heart (HLH) dari UK ke Hospital USM pada tahun ini, bermula pada 2 hingga 6 Jun ini.

Bapa kanak-kanak itu, Othman Zakaria, 48, berkata anak bongsu daripada tiga beradik itu disahkan menghidap penyakit jantung berlubang dan saluran sempit sejak lahir.

"Anak saya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Mahmud 2, Besut, Terengganu adalah seorang yang aktif, namun disebabkan jantungnya bermasalah menyebabkannya tidak boleh bermain atau melakukan aktiviti secara berlebihan disebabkan mudah penat.

"Kebiasaannya apabila berada di sekolah, anak saya hanya dapat mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam kelas selama beberapa jam dan guru akan menghubungi saya untuk datang mengambilnya disebabkan keadaannya yang lemah.

"Kadang-kala apabila saya melihat dia kepenatan, kuku kaki dan tangan serta bibirnya akan menjadi kebiruan disebabkan penyakit yang dihidapi," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital USM, di sini, hari ini.

Beliau berkata, anaknya itu sepatutnya menjalani pembedahan jantung dua tahun lalu namun terpaksa ditangguhkan disebabkan kesihatan Siti Nur Dayana yang tidak mengizinkan pada ketika itu.

"Alhamdulillah pada Isnin lalu, anak saya menjalani pembedahan jantung dan keadaannya semakin sihat berbanding sebelum ini," katanya.

Othmanjuga bersyukur kerana anaknya itu terpilih di antara salah seorang pesakit jantung kanak-kanak untuk menjalani pembedahan amal yang dilakukan pasukan perubatan HLH dari United Kingdom dengan pakar perubatan serta kakitangan Hospital USM.

"Sehingga kini saya masih belum dimaklumkan mengenai kos pembedahan, namun ia kurang daripada RM3,000. Dengan adanya pembedahan amal melalui Program Kebajikan Kardiotorasik USM – HLH ini ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung," katanya.

Keratan Akhbar

  • Created on .
  • Hits: 180

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024