USM NEWS PORTAL 

BERITA DALAM TALIAN: PAKAR BEDAH UK BANTU 90 PESAKIT JANTUNG KANAK-KANAK PANTAI TIMUR

KOSMO
Pakar bedah UK bantu 90 pesakit jantung kanak-kanak Pantai Timur
Oleh ROSMIZAN RESDI | 5 Jun 2024, 


Mohd. Rizal (dua dari kanan) bersama pakar bedah HLH semasa merawat kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung kongenital sempena Program Kebajikan Kardiotorasik USM – HLH di Hospital USM, Kubang Kerian dekat Kelantan hari ini. FOTO ROSMIZAN RESD

KOTA BHARU – Seramai 90 pesakit kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung kongenital mendapat rawatan dan manfaat daripada pembedahan amal melalui Program Kebajikan Kardiotorasik Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) – Healing Little Heart (HLH) sejak 2015.

Pakar Kardiologi Pediatrik Hospital USM, Dr. Mohd. Rizal Mohd. Zain berkata, lebih daripada 100 pembedahan dijalankan sepanjang tempoh tersebut sempena lawatan HLH ke Hospital USM yang sudah memasuki tahun ke-10.

Menurutnya, siri lawatan pada tahun ini disertai enam orang terdiri daripada termasuk Pakar Bedah Kardiotorasik Pediatrik, Pakar Kardiologi Pediatrik, Pakar Kardiologi Pediatrik Intensif dan jururawat dari Hospital Glenfield Leicester, United Kingdom (UK) yang bergabung dengan pakar-pakar dan kakitangan Hospital USM.

“Program pada tahun ini bermula pada 2 hingga 6 Jun lalu bagi membantu kira-kira lapan hingga 10 pesakit jantung kanak-kanak dari Kelantan dan juga Terengganu berusia dalam lingkungan 21 hari hingga lapan tahun.

“Semua pesakit kanak-kanak itu menghidap pelbagai masalah jantung kongenital yang dijadualkan menjalani pembedahan sepanjang lima hari diketuai pasukan perubatan HLH selain dibantu oleh pakar perubatan dan kakitangan Hospital USM,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Kebajikan Kardiotorasik USM – HLH di Hospital USM, Kubang Kerian di sini hari ini.

Mohd. Rizal yang juga Pengarah Program Kebajikan Kardiotorasik USM-HLH memberitahu, kos yang perlu dibayar bagi setiap pesakit bagi program itu sangat minimum iaitu kurang daripada RM3,000 malah ada pesakit yang tidak dikenakan bayaran bergantung kepada alatan dan ubatan yang diperlukan untuk setiap pesakit. – KOSMO! ONLINE

Keratan Akhbar

  • Created on .
  • Hits: 119

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024