USM NEWS PORTAL 

BERITA DALAM TALIAN: HOSPITAL USM BANTU 90 PESAKIT JANTUNG KANAK-KANAK SEJAK 2015

My Metro
Hospital USM bantu 90 pesakit jantung kanak-kanak sejak 2015
Oleh Hazira Ahmad Zaidi | 5 Jun 2024

DR RIZAL(tengah) bersama pakar dan jururawat meninjau keadaan pesakit kanak-kanak yang sudah menjalani pembedahan jantung. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
DR RIZAL(tengah) bersama pakar dan jururawat meninjau keadaan pesakit kanak-kanak yang sudah menjalani pembedahan jantung. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Seramai 90 pesakit kanak-kanak yang menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, kerana penyakit jantung kongenital mendapat manfaat menerusi program pembedahan amal.

Pembedahan berkenaan dilakukan melalui Program Kebajikan Kardiotorasik USM-Healing Little Heart (HLH) yang dilaksanakan sejak 2015.

Pakar Kardiologi Pediatrik Hospital USM, Dr Mohd Rizal Mohd Zain berkata, sepanjang tempoh berkenaan, lebih 100 pembedahan sudah dijalankan.

Menurutnya, setiap tahun Hospital USM akan bekerjasama dengan pasukan perubatan HLH untuk melakukan pembedahan jantung kepada pesakit kanak-kanak terbabit.

Katanya, pasukan perubatan HLH United Kingdom (UK) membantu kira-kira lapan hingga 10 pesakit jantung kanak-kanak berusia 21 hari hingga lapan tahun ketika lawatan mereka 2 Jun hingga esok.

"Pesakit kanak-kanak yangt menghidap pelbagai masalah jantung kongenital dijadualkan menjalani pembedahan sepanjang lima hari diketuai pasukan perubatan HLH selain dibantu oleh pakar perubatan serta kakitangan Hospital USM.

"Pasukan perubatan HLH ini terdiri daripada enam petugas termasuk Pakar Bedah Kardiotorasik Pediatrik, Pakar Kardiologi Pediatrik dan Pakar Kardiologi Pediatrik Intensif.

"Turut bersama ialah jururawat dari Hospital Glenfield Leicester, UK yang bergabung dengan pakar-pakar dan kakitangan Hospital USM untuk menjayakan program ini," katanya.

Beliau berkata demikia dalam sidang media selepas Program Kebajikan Kardiotorasik USM-HLH, di sini, hari ini.

Dr Mohd Rizal yang juga Pengarah Program Kebajikan Kardiotorasik USM-HLH berkata, kos pembedahan sangat minimum iaitu kurang RM3,000 malah ada juga pesakit yang terpilih tidak dikenakan bayaran bergantung kepada alatan dan ubatan yang diperlukan.

"Kebiasaannya, kos bagi pembedahan untuk setiap pesakit boleh mencecah lebih RM20,000, namun mereka akan dirujuk kepada Unit Kerja Sosial Perubatan Hospital USM untuk mendapatkan bantuan jika kurang berkemampuan.

"Pesakit kanak-kanak yang terpilih menjalani pembedahan jantung melalui program ini tidak perlu lagi dirujuk atau dihantar ke Institut Jantung Negara (IJN) sekali gus mengurangka tempoh menunggu bagi mendapatkan rawatan pembedahan jantung," katanya.

Keratan Akhbar

  • Created on .
  • Hits: 76

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024