USM NEWS PORTAL 

BERITA DALAM TALIAN: USM PROMOSI PROGRAM LEPASAN IJAZAH JALIN KERJASAMA PENDIDIKAN MALAYSIA-LUBNAN

Bernama BM
USM PROMOSI PROGRAM LEPASAN IJAZAH JALIN KERJASAMA PENDIDIKAN MALAYSIA-LUBNAN
26 Mei 2024 

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Kedutaan Besar Malaysia di Lubnan dengan kerjasama Pusat Luar Pesisir Universiti Sains Malaysia (USM) telah berjaya menganjurkan sesi penerangan mengenai "Peluang Pendidikan Malaysia-Lubnan: Meneroka Program Lepasan Ijazah di USM" di kedutaan negara di Beirut.

Menurut kenyataan daripada kedutaan, sesi itu dihadiri oleh kira-kira 30 tetamu, termasuk Presiden, Dekan, dan Profesor dari pelbagai universiti tempatan, termasuk Dr Hassan Al Lakiss, yang merupakan Presiden Universiti Islam Lubnan (IUL) sebagai salah seorang tetamu utama.

Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Azri Mat Yacob menyampaikan ucapan aluan sambil menekankan pelbagai peluang pendidikan yang tersedia melalui perkongsian Malaysia-Lubnan.

Beliau menyoroti pencapaian penting dengan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) pada 10 Oktober 2023 antara USM dan IUL yang memudahkan penyediaan kursus lepasan ijazah dengan kerjasama IUL.

Duta itu juga memberikan penjelasan mengenai landskap pendidikan tinggi Malaysia yang kukuh, termasuk 20 universiti awam, 435 institusi pendidikan tinggi swasta, 105 kolej komuniti, dan 36 politeknik.

Beliau berkata USM berada di kedudukan ke-137 dunia, menekankan komitmen Malaysia terhadap kecemerlangan dalam pendidikan.

Menurut kedutaan, Pengarah Luar Pesisir USM Dr Nour A. Alsalman memberikan pembentangan yang menarik mengenai program lepasan ijazah yang ditawarkan di USM, menyoroti pelbagai peluang yang tersedia untuk pelajar Lubnan.

Kedutaan Malaysia di Beirut komited untuk terus meningkatkan kerjasama pendidikan antara Malaysia dan Lubnan.

"Komitmen ini sejajar dengan kepatuhan Malaysia terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, terutamanya SDG keempat mengenai Pendidikan Berkualiti.

Malaysia menyasarkan untuk menerima 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2025, mencerminkan daya tarikan negara ini sebagai destinasi utama bagi pelajar global yang mencari pengalaman pendidikan yang pelbagai dan berkualiti tinggi," menurut kenyataan itu.

Dalam satu lagi pertemuan berkaitan, pada Selasa (21 Mei 2024), kedutaan menyatakan bahawa Azri dan Setiausaha Pertama, Johan Arief Jaafar mengadakan pertemuan yang produktif dengan Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi di Kementerian Pendidikan dan Pendidikan Tinggi Lubnan, Dr Mazen El Khatib.

Perbincangan mereka bertumpu kepada usaha memajukan kerjasama pendidikan dan mengaktifkan semula perbincangan mengenai draf Perjanjian Kerjasama dalam bidang Pendidikan Tinggi dan Penyelidikan Saintifik antara Lubnan dan Malaysia.

-- BERNAMA

Keratan Akhbar

  • Created on .
  • Hits: 150

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024