BERITA DALAM TALIAN: APA SAHAJA UNTUK ANAK TERSAYANG
My Metro
Apa sahaja untuk anak tersayang
Oleh Nurul Husna Mahmud, Redzuan Muharam, Hidayatidayu Razali, Mary Victoria Dass, Zuhainy Zulkiffli dan Ahmad Hasbi | 12 Mei 2024
ROSMAWATI tinggal Bersama Nursyuhaila di asrama USM sejak Oktober lalu.
Georgetown: "Tak boleh berjalan, buat apa mengaji (belajar) tinggi-tinggi?"
Itu antara kata-kata terpaksa 'ditelan' Rosmawati Salleh, 56, selepas anak bongsunya yang lumpuh menyambung pengajian ke universiti.
Tidak mahu mengalah dengan takdir, Rosmawati mengambil keputusan tinggal bersama anaknya, Nursyuhaila Abdullah, 22, di desasiswa atau asrama Universiti Sains Malaysia (USM) sejak Oktober lalu untuk membantu gadis terbabit dalam pengurusan diri.
Rosmawati berkata, keputusan itu mengubah cara hidupnya yang perlu tinggal di desasiswa dan terpaksa melupakan pengurusan rumah tangga di Kulim, Kedah.
Bercerita pengalamannya, dia amat terhutang budi kepada pihak universiti kerana memberi kebenaran kepada waris tinggal di asrama berikutan kedua belah kaki Nursyuhaila yang lumpuh hingga paras pinggang dan hanya boleh bergerak menggunakan kerusi roda.
Tambahan pula penyakit dihidapi pelajar Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan itu boleh menyerang pada bila-bila masa menyebabkan kesakitan dirasa 'menusuk hingga ke tulang'.
"Keadaan fizikal Nursyuhaila berubah sejak berusia 15 tahun selepas mengalami tuberkulosis atau tibi yang turut menyerang saraf tunjang namun belum pernah terbit di bibirnya bahawa dia mahu 'mengalah' dengan menamatkan pelajaran.
"Berikutan itu, Nursyuhaila memerlukan penjagaan kerana tidak boleh mengangkat badan bagi menguruskan diri seperti mandi atau duduk.
"Tidak mengapa jika saya terpaksa tinggal bersamanya di asrama kerana ia tidak lama, hanya tiga tahun sahaja," katanya.
Mengulas lanjut Rosmawati berkata, kesungguhan Nursyuhaila sejak kecil terutama dalam hal pelajaran menyebabkan mereka sekeluarga beri dorongan penuh dan berharap mampu mengubah nasibnya apabila dia tiada kelak.
Sudah menjadi rutin kepada Rosmawati bagi menyiapkan Nursyuhaila setiap hari sebelum menjalani kuliah dengan menaiki van disediakan pihak universiti.
"Selain memastikan kebersihan bilik asrama yang diubah suai menjadi mesra orang kurang upaya (OKU), saya turut menjadikan amalan membaca sebagai hobi pada waktu terluang.
"Kini pengajiannya masuk semester kedua dan saya sudah biasa dengan keadaan ini, begitu juga Nursyuhaila. Bapanya meninggal dunia 17 tahun lalu dan kerana itu semangatnya kuat.
"Sakit, demam dan soal kesihatan biarlah hanya saya yang tahu," kata suri rumah itu lagi.
- Created on .
- Hits: 256