BERITA DALAM TALIAN: CIKGU HASBULLAH BERSYUKUR LIDAH TAK PERLU DIPOTONG
Kosmo
Cikgu Hasbullah bersyukur lidah tak perlu dipotong
Oleh NOOR HASLIZA NUSI | 29 April 2024
Cikgu Hasbullah (kanan) bersama Shariffuddin (tengah) berkongsi pengalaman menjalani rawatan brakiterapi di PPUSMB, hari ini.
SEBERANG PERAI – Seorang guru yang juga pesakit kanser lidah tahap tiga tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila dia dikhabarkan bebas daripada menghidap penyakit itu selain tidak perlu menjalani pembedahan memotong lidah, dua tahun lalu.
Hasbullah Rashid, 42, guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Paya Besar, Kulim di Kedah itu berkata, dia umpama diberi peluang hidup buat kali kedua selepas empat tahun berjuang dengan kanser lidah.
Menurutnya, dia sememangnya tidak menyangka dapat menempuh liku-liku sepanjang mendapatkan rawatan menerusi teknik brakiterapi atau Hybrid Brachytherapy-Intensity Modulated Radiotherapy (HyBIRT) di Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUSMB) sejak 2018.
“Rasa seperti hidup kali kedua sebaik disahkan bebas kanser pada tahun 2022. Semasa awal didiagnos memang saya berada pada tahap hendak mati dan memikirkan keadaan tiga anak yang masih kecil.
“Lebih tak dapat terima apabila doktor di sebuah hospital kerajaan memaklumkan yang separuh lidah saya terpaksa dipotong dan kesannya saya sudah tidak boleh bercakap lagi.
“Bagaimanapun, setelah menjalani rawatan brakiterapi di sini (PPUSMB), saya akhirnya disahkan bebas kanser,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penutup Program April Bulan Kesedaran Kanser Kepala dan Leher 2024 di PPUSMB, di sini hari ini.
Teknik brakiterapi yang diperkenalkan di PPUSMB berupaya untuk mengekalkan pertuturan dan fungsi menelan.
Sementara itu, seorang lagi warga emas yang juga pesara tentera, Sharifuddin Chaplang, 71, pula memberitahu, dia didiagnos sebagai penghidap kanser pangkal hidung tahap empat ketika berusia 68 tahun.
Bapa kepada empat orang anak itu berkata, dia kini disahkan bebas daripada kanser setelah menjalani rawatan dengan teknik (HyBIRT) di hospital berkenaan.
“Saya positifkan diri dan tak fikir tentang apa yang dihadapi. Pernah kawan-kawan mengatakan 60 peratus yang menghidap kanser akan mati. Saya langsung tak ambil kisah dan kuat diri sehinggalah ke saat ini,” katanya.
Dalam pada itu, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, sehingga kini, hampir 500 kes kanser kepala dan leher telah dirawat PPUSMB dan lebih daripada 70 kes brakiterapi untuk kanser rongga mulut telah dilakukan oleh pakar di hospital berkenaan.
“Setakat ini, PPUSMB merupakan satu-satunya pusat di Asia Tenggara yang mampu merawat kanser kepala dan leher dengan brakiterapi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
- Created on .
- Hits: 275