USM NEWS PORTAL 

BERITA DALAM TALIAN: USM BERJAYA KEKALKAN STATUS SWAAKREDITASI

Astro Awani
USM berjaya kekalkan status swaakreditasi
4 April 2024

USM berjaya kekalkan status swaakreditasiUSM dianugerahkan status swaakreditasi pada 29 April 2010. - Foto USM

GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mengekalkan pengiktirafan sebagai sebuah universiti berstatus swaakreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) hingga tahun 2027.

USM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengiktirafan pengekalan status swaakreditasi itu diberi berikutan audit MQA yang telah menilai dan mengenal pasti kekuatan serta perkara yang perlu diberi perhatian oleh USM.

MQA turut mengucapkan tahniah kepada USM susulan pencapaian itu dan berharap keputusan audit berkenaan dapat membantu pihak universiti dalam melaksanakan perancangan di masa hadapan.

"Ia satu perakuan melayakkan sesebuah Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) mengakreditasi program akademik atau pengajiannya sendiri berpandukan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) dan standard serta ketetapan ditetapkan MQA dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dari semasa ke semasa, kecuali program profesional yang memerlukan akreditasi serta pengiktirafan badan profesional yang relevan.

"Namun, sebagai sebuah universiti berstatus swaakreditasi, pihak MQA akan melaksanakan Audit Institusi bagi pengekalan status berkenaan dalam tempoh masa setiap lima tahun," menurut kenyataan itu.
USM dianugerahkan status swaakreditasi pada 29 April 2010.

Dalam kenyataan itu USM turut memaklumkan bahawa Audit Pematuhan Swaakreditasi telah dilaksanakan pada 8, 9 dan 14 Feb 2022 manakala Audit Susulan terhadap syarat-syarat pengekalan swaakreditasi diadakan pada 17 Ogos 2023.

Setelah proses audit selesai USM berjaya mengekalkan statusnya sebagai sebuah universiti swaakreditasi bermula 25 Mac 2024 hingga 2027.

"Pihak universiti merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Pusat Swa-Akreditasi USM yang diterajui Pengarahnya Prof Dr Azura A Rashid dan juga kesemua Pusat Tanggungjawab (PTJ) lain yang terlibat dalam eksesais pengauditan berkenaan," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

Keratan Akhbar

  • Created on .
  • Hits: 176

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024