USM NEWS PORTAL 

BERITA DALAM TALIAN: PINDAAN AUKU BERI LEBIH AUTONOMI, SELARAS AGENDA PEMERKASAAN MAHASISWA

Berita Harian Online
Pindaan AUKU beri lebih autonomi, selaras agenda pemerkasaan mahasiswa
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof | 19 Mac 2024

Foto hiasan - BERNAMA
Foto hiasan - BERNAMA

GEORGETOWN: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM) menyifatkan kelulusan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 di Dewan Rakyat, semalam, bakal memberi lebih autonomi kepada mahasiswa selaras agenda Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperkasakan golongan itu.

Yang Dipertuanya, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman, berkata pindaan akta itu juga dilihat dapat memperkukuh daya kepimpinan mahasiswa menerusi kecekapan pengurusan kewangan oleh badan pelajar.

Beliau berkata, ia berikutan pindaan terbabit antara lain membenarkan MPP atau badan pelajar memungut wang dan menerima sumbangan, selain menguruskan kumpulan wang atau akaun.

"Seterusnya, penyelarasan terhadap tempoh pemilihan MPP yang lebih teratur mengikut tahun akademik pula akan menambah baik proses demokrasi pelajar dan tempoh keahlian MPP itu sendiri.

"Dalam hal ini, MPP USM berpendapat tempoh keahlian MPP akan tetap terjamin mengikut tahun akademik susulan pindaan itu.

"Selain itu, pindaan akta berkenaan juga adalah satu daripada usaha ke arah pemerkasaan autonomi dan kebebasan dalam penganjuran sesuatu program," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Muhammad Nazmi berkata, pindaan terbaharu itu yang turut menyaksikan tindakan tatatertib ke atas pelajar di universiti awam tidak lagi tertakluk bawah kuasa Naib Canselor, sebaliknya akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar pula memperlihatkan pemantapan amalan tadbir urus yang lebih sistematik dan teratur.

Justeru, beliau berkata, MPP USM sentiasa komited menyokong sebarang usaha merealisasikan agenda pemerkasaan mahasiswa dan memperjuangkan hak kebebasan golongan itu.

"Oleh itu, besar harapan kami supaya pindaan AUKU ini dapat direalisasikan segera dan diterima baik oleh semua pihak terbabit," katanya.

Semalam, media melaporkan Rang Undang-Undang (RUU) Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2023 (AUKU) yang diluluskan di Dewan Rakyat, akan dibentangkan untuk kelulusan Dewan Negara pada April depan.

RUU itu dibentangkan bagi bacaan kali kedua dan digulung Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, selepas dibahaskan oleh 22 Ahli Parlimen.

Keratan Akhbar

  • Created on .
  • Hits: 301

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024