1,260 PESERTA SERTAI LARIAN WATER FUN RUN SEMPENA SAMBUTAN WORLD WATER DAY 2026 DI USM

USM PULAU PINANG, 16 Mei 2026 – Kira-kira 1,260 orang peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat dan umur menyertai program Water Fun Run 2026 yang berlangsung meriah di Padang Kawad, Universiti Sains Malaysia (USM), sempena Sambutan World Water Day 2026.
Program yang dianjurkan antara fokus utamanya meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemuliharaan dan penggunaan air secara lestari.

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Chow Kon Yeow yang hadir bagi merasmikan program ini di samping penglibatan agensi-agensi strategik dan rakan kerjasama dalam usaha memperkukuh agenda kelestarian air negara.
Pada ucapan perasmian, Kon Yeow berkata, Pulau Pinang perlu terus melangkah ke hadapan dengan pelbagai usaha kerajaan negeri memacu pembangunan sosioekonomi yang lebih pesat, termasuk memastikan aspek keselamatan dan kelestarian sumber air sentiasa mampan di Pulau Mutiara ini.

“Kerajaan negeri bersama Kerajaan Persekutuan dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) sentiasa bekerjasama dalam mengurus sumber air negeri ini secara lebih berkesan bagi memastikan rakyat terus menerima bekalan air yang berkualiti dan mampan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa berbilion ringgit telah diperuntukkan bagi memperkasakan struktur dan infrastruktur air di Pulau Pinang menjelang tahun 2030 sebagai persediaan menghadapi peningkatan permintaan dan cabaran masa hadapan.

“Kerajaan negeri juga sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan berlakunya krisis bekalan air yang berpunca daripada perubahan iklim dan faktor luar jangka lain,” tambah beliau lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa pengguna memainkan peranan penting dalam menjamin kelestarian air melalui amalan penggunaan secara berhemah dalam kehidupan seharian.

Dalam pada itu, Kon Yeow merakamkan ucapan tahniah kepada USM khususnya Kampus Induk dan kampus-kampus lain atas kejayaan mencatatkan penjimatan penggunaan air.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak terutamanya USM, rakan strategik dan para peserta yang telah memberikan sokongan dalam menjayakan sambutan Water Fun Run 2026,” ucap beliau.
Di majlis yang sama, mewakili Naib Canselor USM, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dr. Azlan Amran berkata, sambutan World Water Day bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi platform penting dalam memperkukuh kesedaran bahawa air merupakan sumber strategik yang menentukan kelangsungan kehidupan, pembangunan ekonomi, dan kesejahteraan masyarakat.
“Berhadapan dengan landskap global yang semakin mencabar, isu air kini berkait rapat dengan perubahan iklim, tekanan terhadap sumber semula jadi, dan keperluan memastikan keselamatan air pada masa hadapan,” kata beliau.
Azlan turut menyatakan Institusi pengajian tinggi seperti USM turut memikul tanggungjawab besar dalam membentuk kesedaran masyarakat terhadap penggunaan air secara lestari.
“Komitmen berterusan USM dalam pengurusan air telah membuahkan hasil apabila penggunaan air universiti berjaya dikurangkan sebanyak 4.07 peratus pada tahun 2024 berbanding tahun sebelumnya, dan diperkukuhkan lagi dengan pengurangan 7.5 peratus di Kampus Induk pada tahun 2025.
“Kelestarian air bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan yang menuntut tindakan segera dan berterusan. Setiap titisan air perlu dihargai serta diurus secara lestari demi masa depan bersama,” katanya.
Program Water Fun Run tahun ini merupakan penganjuran bersama Rancangan Khidmat Komuniti, Pusat Rancangan Kokurikulum USM, Kelab Perancangan dan Pengurusan Pembangunan dengan kerjasama Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd serta Water Watch Penang.
Turut hadir ke program ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd., Dato’ Ir. Pathmanathan K.; Presiden Water Watch Penang, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Chan Ngai Weng; Ahli Lembaga Pengarah PBA Holdings Berhad, Dato’ Ir. Sabri Abdul Mulok; Pengarah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara Wilayah Utara, Ts. Khithob Ahmad; Setiausaha Bahagian, Bahagian Kawal Selia Air Pulau Pinang, Najwa Juaini Azmi; dan Pengarah Projek Bersama World Water Day: Water Fun Run 2026, Nurain Izzati Azlal dan Syahir Safaraz Salleh.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa
SDG3, SDG6, SDG11, SDG13, SDG17
- Created on .
- Hits: 338