SEMPANA USM JOHAN SAYEMBARA TEMASYA PANTUN ISLAMI USAS
Pasukan SEMPANA Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi mengharumkan nama universiti apabila berjaya dinobatkan sebagai Johan Temasya Pantun Islami yang berlangsung di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Perak baru-baru ini.
Kejayaan tersebut mengulangi pencapaian cemerlang yang pernah dilakar oleh pasukan berkenaan apabila muncul juara buat pertama kali pada tahun 2019, sekali gus membuktikan konsistensi USM dalam mengangkat seni warisan pantun di pentas universiti.
Temasya yang berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 10 Oktober 2026 itu menghimpunkan lima pasukan daripada institusi pengajian tinggi seluruh negara, iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, UiTM Dengkil, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), dan USM.
Pasukan SEMPANA USM diwakili oleh Muhammad Syawwal Radzi (Tahun 3, Pusat Pengajian Sains Fizik), Muhammad Aiqim Bukhari (Tahun 3, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan), Raihana Mohd Razif (Tahun 4, Pusat Pengajian Pengurusan), dan Nur Ain Zulaika Zulfadli (Tahun 2, Pusat Pengajian Komunikasi).
Sepanjang pertandingan, pasukan USM berjaya mengharungi pelbagai peringkat saringan yang mengetengahkan tema-tema semasa dan berwibawa seperti Al-Ghazwul Fikri, Kecerdasan Buatan dan Kearifan Maritim Melayu sebelum melangkah ke pentas akhir menentang pasukan ADYKALABUDI dari UIAM.
Pada peringkat akhir, SEMPANA USM berjaya mencatat kemenangan bergaya menerusi keputusan sebulat suara juri, 8-0.
Melalui kemenangan itu, pasukan SEMPANA USM membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000, manakala Raihana Mohd Razif turut meraih pengiktirafan sebagai Pemantun Terbaik Peringkat Akhir.