Skip to main content

YBM MENTERI PENDIDIKAN TINGGI RASMIKAN PUSAT KANSER TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI, PERKUKUH PERANAN UNIVERSITI DALAM MENANGANI CABARAN KANSER NEGARA

BERITA MUTAKHIR
BERTAM, PULAU PINANG · 22 Ogos 2026

BERTAM, PULAU PINANG, 22 Ogos 2026 – YB Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir hari ini merasmikan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM), sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting negara dalam memperkukuh ekosistem rawatan, pendidikan dan penyelidikan kanser berteraskan teknologi serta inovasi.

Turut hadir ialah kepimpinan Kementerian Pendidikan Tinggi, pengurusan tertinggi USM, agensi kerajaan, rakan strategik industri, profesional kesihatan, warga universiti dan komuniti serta para pemandiri kanser yang turut bersama-sama menyaksikan detik bersejarah perasmian PKTAAB.

Perasmian PKTAAB melambangkan transformasi Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) kepada sebuah pusat kecemerlangan kanser universiti yang menggabungkan perkhidmatan klinikal, pendidikan profesional kesihatan dan penyelidikan translasional bagi memperkukuh agenda kesihatan negara.

Naib Canselor USM berkata, penubuhan PKTAAB mencerminkan komitmen universiti dalam menterjemahkan ilmu, penyelidikan dan inovasi kepada penyelesaian sebenar yang memberi manfaat kepada pesakit dan masyarakat.

"PKTAAB bukan sekadar sebuah pusat rawatan kanser, malah sebuah ekosistem yang menyatukan kepakaran klinikal, pendidikan dan penyelidikan bagi melahirkan inovasi serta mempertingkat kualiti rawatan demi kesejahteraan masyarakat."

Bersempena majlis tersebut, PKTAAB turut melancarkan tiga teknologi rawatan kanser hasil sokongan peruntukan Rancangan Malaysia (RMK) Ke-12, iaitu Linear Accelerator (LINAC) Elekta Evo, Sistem Brakiterapi Flexitron dan ALBA 4000D Hipertermia Radiatif Superfisial. Alatan LINAC EVO merupakan yang pertama di Asia Tenggara manakala Sistem Hipertermia Radiatif Superfisial adalah yang pertama di Malaysia.

Penggunaan teknologi berteraskan kecerdasan buatan (AI), radioterapi adaptif, brakiterapi berketepatan tinggi dan hipertermia terapeutik ini dijangka meningkatkan ketepatan rawatan, mengurangkan risiko komplikasi serta memperkukuh keupayaan PKTAAB menawarkan rawatan kanser setanding pusat perubatan terkemuka dunia. Gabungan ketiga-ketiga teknologi ini telah memulakan inisiatif inovasi rawatan kanser lidah yang terkini dikenali sebagai HyBIRTA iaitu Hybrid Brachytherapy followed by Concurrent IMRT and Hyperthermia.

PKTAAB menghimpunkan kepakaran multidisiplin merangkumi onkologi klinikal, radioterapi, brakiterapi, perubatan nuklear, pengimejan bioperubatan, sains bioperubatan, perubatan transfusi, pergigian dan pembedahan, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai hab rujukan rawatan kanser berasaskan akademik dan penyelidikan.

Penamaan pusat ini sempena Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan penghormatan terhadap jasa negarawan tersebut dalam memperjuangkan pembangunan modal insan, pendidikan serta nilai integriti yang menjadi asas kepada kemajuan negara.

Dengan sokongan teknologi terkini, kepakaran multidisiplin dan jaringan kerjasama strategik di peringkat nasional serta antarabangsa, PKTAAB diyakini mampu muncul sebagai hab kecemerlangan rawatan, pendidikan dan penyelidikan kanser bertaraf dunia, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia memperkukuh sistem kesihatan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Teks: Nurul Amira Mohd Ali
Foto: Norizan Ishak